Pantai Barat Tasmania yang Liar

Pantai Barat Tasmania yang Liar

Di pantai barat Tasmania, pengembaraan yang tidak terhad ialah cara semula jadi untuk melancong. Bermula dari bandar memancing Strahan yang cantik dan terpencil. Kemudian berakit di jeram ganas Franklin River atau berlayar atau berkayak menuruni Gordon River yang tenang. Mendakilah melepasi pokok pain Huon yang beribu tahun lamanya di salah satu hutan hujan suhu sederhana yang terakhir di dunia. Terbang tinggi merentasi kawasan liar di dalam helikopter, naiki kereta api bersejarah dari Queenstown dan belayar merentasi Macquarie Harbour. Kawasan ini juga mempunyai kisah manusia yang bersejarah dan berbeza-beza – mengenai penjenayah, peneroka, pembalak, pelombong dan akhir-akhir ini, aktivis alam sekitar.

Perjalanan dari Devonport mengambil masa 3 jam dan 4.5 jam dari Hobart ke Strahan, di atas Macquarie Harbor yang meluas. Ini ialah pintu masuk utama ke kawasan yang tersenarai dalam Warisan Dunia iaitu Franklin-Gordon Wild Rivers National Park, di mana sungai Collingwood dan Franklin yang deras mengalir melalui hutan hujan yang berbatu dan bertemu menjadi Gordon River.
Untuk pengembaraan yang benar-benar tidak dapat dilupakan, sertai pakej pelancongan mengharungi Franklin River. Anda akan meluncur melepasi jeram dan batuan, lembah yang dalam dan puncak berkilat yang dilitupi lumut. Perjalanan menjadi lebih menyenangkan di kawasan selatannya apabila sungai Franklin masuk secara perlahan ke sungai Picton dan Huon.

Lihat pemandangan pada kadar yang lebih tenang dengan mengikuti pelayaran perlahan di sepanjang Gordon River. Dari Strahan, meluncur masuk ke kawasan terpencil Macquarie Harbour dan terokai peninggalan di Sarah Island, petempatan penal tertua di Tasmania. Anda akan melihat kenapa penjenayah yang ditempatkan di kawasan yang gersang dan menggerunkan ini memberi nama ‘Hell’s Gates’ kepada pintu masuk pelabuhan ini. Menyusur sepanjang Gordon River, melepasi hutan hujan suhu sederhana yang tebal, dan berhenti untuk berjalan di antara pokok pain Huon yang menjulang tinggi yang dahulunya digunakan untuk membuat kapal. Pemandu pelancong akan berkongsi cerita mengenai bantahan alam sekitar tahun 1982 dan 1983 yang telah menyelamatkan Franklin River dari pembinaan empangan kekal di situ. Berlayar balik ke Strahan atau lanjutkan lawatan anda dengan perjalanan berkayak dari Heritage Landing. Dayung memudiki sungai di atas air Gordon River yang gelap dan tenang, sambil melihat platipus serta burung air dan berhenti seketika untuk berkelah di tebing sungai.

 Masih belum puas? Belayar merentasi Macquarie Harbour atau terbang di atas kawasan liar yang terpencil dan meluas menaiki helikopter. Redahi gunung dari Strahan ke Queenstown dengan menaiki keretapi stim asal yang pernah mengangkut tembaga dari lombong-lombong Queenstown. Berhenti di beberapa stesen asal dan belajar mengenai sejarah perlombongan kawasan ini dari pemandu pelancong tempatan anda.

Regangkan kaki anda dengan berjalan melalui Franklin-Gordon Wild Rivers National Park. Ikuti Franklin River Nature Trail yang singkat melalui tebing sungai di dalam hutan hujan atau nikmati pemandangan hebat dari Donaghy’s Lookout. Mereka yang berpengalaman luas berjalan dan mereka yang datang bersedia boleh mencuba dakian menggerunkan selama 3-5 hari ke puncak Frenchmans Cap. Ataupun, anda boleh menikmati suasana alam semula jadi dalam pengembaraan empat hari di mana anda akan berlayar, berkayak dan berkhemah.

Dari Strahan, anda juga boleh menaiki bot jet menyusuri King River dan menaiki kenderaan  all-terrain merentasi dumuk pasir Henty di Ocean Beach. Kunjungilah aktiviti menanam semula hutan di Teepookana Plateau, di mana tunggul pokok pain Huon dan ranting yang ditinggalkan oleh pemotong kayu dikumpulkan dan ditanam semula. Dari jambatan gantung, lihat Montezuma Falls iaitu air terjun tertinggi di Tasmania berdekatan Roseberry,. Berkelah dekat Lake Burbury, sebuah tasik hidroelektrik yang dipinggiri gunung dan hutan berstatus Warisan Dunia.

Anda boleh memilih pengembaraan mencabar anda sendiri di pantai barat Tasmania yang liar dan hebat.

Idea Australia selanjutnya