Terpegun dengan Twelve Apostles

Terpegun dengan Twelve Apostles

Tinjau keseluruhan kawasan ini di menara batu kapur terkenal di Great Ocean Road.
Lupakan perkara remeh di pesisir pantai yang dramatik, berceranggah dan ditiup angin, tempat Twelve Apostles bersemayam.

Tiang batu kapur menjulang tinggi dari Lautan Selatan ke Taman Negara Port Campbell ibarat sentri mulia dari dunia purba. Pada satu ketika dahulu – lebih 20 juta tahun yang lalu – ia dihubungkan dengan cenuram tanah besar ini. Ombak dan angin telah mengukir gua yang kemudian bertukar menjadi gerbang lengkung, dan akhirnya menghancurkannya menjadi tiang yang menjulang hingga ke ketinggian 45 meter.

Unsur melampau terus menghakis timbunan ini pada kadar lebih kurang dua sentimeter setahun. Hari ini hanya lapan tingkat yang tinggal dan sesetengahnya telah pun kalah dek unsur semula jadi beberapa tahun yang lalu. Gerbang London adalah sebahagian daripada jambatan dwi-rentang semula jadi sehingga 1990 apabila gerbang yang paling hampir dengan pantai runtuh, hingga menyebabkan dua pelancong terkandas. Satu lagi Apostle setinggi 50 meter runtuh pada tahun 2005.

Melihat jalur pantai ini memberi perasaan penghujung dunia yang menyegarkan apabila ia ditiup angin dan dipukul badai laut. Rasakan percikan air laut di wajah anda, dengar lubang hembus menderum sambil ia menyemburkan air dan saksikan buih-buih lautan di sekitar susunan ini.

Pada hari-hari yang lebih tenang, anda boleh melihat Twelve Apostles ini berubah dari bayang yang suram menjadi monumen berwarna kuning pasir yang disinari mentari. Abadikan pemandangan yang menyentuh jiwa pada waktu fajar menyingsing dan senja melabuhkan tirai atau sedari betapa luasnya tempat ini dari pantai yang lebar di bawah. Turuni Tangga Gibson 70 meter yang mendakap permukaan cenuram ke pasir pantai, di mana anda begitu kerdil di sebelah susunan batu gergasi di situ.

Ketahui mengenai sejarah kapal yang terhempas, geologi dan ekologi pantai dalam perjalanan pandu sendiri di Loch Ard Gorge. Atau dekati Apostles yang mengagumkan seperti Razorback, Island Archway, Thunder Cave, Bakers Oven Rock, Sentinel Rocks dan Grotto. Anda juga boleh melihat pantai yang diukir serta bangkai kapal sambil belajar sejarahnya dengan menaiki helikopter.

Unsur-unsur ini semakin menghakis tiang-tiang besar ini sejak berjuta tahun yang lalu, namun hanya beberapa minit sahaja diperlukan untuk menghakis masalah remeh anda.

 

Idea Australia selanjutnya