Menjadi kaya di Bendigo

Menjadi kaya di Bendigo

Terokai sejarah, budaya dan seni bina kolonial kerubut emas di pekan Victoria yang dahulunya pernah berkembang dengan begitu pesat.
Emas mungkin sudah tiada lagi, tetapi kesejahteraan dan kegembiraan masih berterusan di pusat serantau yang anggun dan bersejarah di Bendigo. Bangunannya yang tersergam dan mewah, warisan Cina dan muzium yang hidup merupakan warisan era kerubut emas 1850an dan 60an yang telah merobah wilayah ini.

Bendigo era 1880an, merupakan lapangan emas yang terkaya di dunia, kekayaan yang telah mendanai banyak bangunan yang halus buatannya, termasuk Bendigo Town Hall, air pancut Alexandra yang baru dibaik pulih, dan bangunan indah yang dahulunya pejabat pos, galeri seni dan mahkamah undang-undang. Kunjungi tempat ini sambil bersiar-siar melalui lebuh hias yang lebar dan jalan-jalan yang dibarisi pepohon, yang membuatkan anda berasa anda mungkin dapat melihat wanita dengan skirt payung yang besar dan para peneroka menghisap paip di luar.

Sertai rombongan di atas trem bertutur Bendigo, di mana ulasan audio akan memberi panduan kepada anda mengenai sejarah dan bangunan bersejarah Bendigo. Lihat seni Australia dari seawal 1850 atau jamu mata di banyak kedai-kedai antik di sini. Malahan anda boleh memakai topi keledar keselamatan dan turun setinggi tiga tingkat ke dalam terowong lombong lama dalam lawatan berpandu. Selepas itu tenangkan diri dengan sepain bir di hotel Shamrock, yang dibina semula sebanyak tiga kali, setiap kali lebih hebat daripada yang sebelumnya.

Sambil anda menyelami sejarah kerubut emas, Bendigo juga mempunyai kisah bangsa Cina untuk anda terokai. Ketahui mengenai sepuluh ribu pelombong Cina yang datang berduyun-duyun ke sini semasa zaman kerubut emas di Muzium Naga Emas, dan kemudian hayati ketenangan di taman klasik. Anda boleh mengunjungi Rumah Berhala asal atau topekong yang dibina pada tahun 1860, meneroka tempat pengebumian Cina terbesar di Australia atau saksikan tinggalan penggalian orang Cina. Anda pasti akan menyukai Perarakan Easter, di mana naga maharaja tertua dan terpanjang di dunia akan melakukan tarian berwarna-warni di seluruh pekan ini.

Lama sebelum orang Cina dan Eropah tinggal di sini, orang Jarra Jarra telah menduduki tanah tempat emas ditemui ini. Anda boleh merayakan pesta Minggu NAIDOC tahunan bersama-sama dengan keturunan suku Orang Asli ini di Bendigo. Atau lihat telaga batu Jarra Jarra semasa berjalan kaki di Terumbu Eureka.

Apabila anda sudah selesai dengan sejarah ini, bersantai di salah sebuah taman bandar yang indah, lawati kilang wain tempatan atau berbasikal melalui Laluan Belukar Bendigo melewati bunga-bungaan yang terang warnanya, hidupan liar yang banyak dan bangunan warisan yang terkenal.

Anda tidak perlu tinggal lama di Bendigo untuk menyedari bahawa ia masih berkembang maju dalam berbagai-bagai cara.

Idea Australia selanjutnya