Imbas masa lalu di Grampians yang hebat

Imbas masa lalu di Grampians yang hebat

Terokai seni batu dan landskap berceranggah di banjaran gunung setua Dreamtime.
Jangan ketinggalan untuk mengunjungi Grampians, gunung dan hutan yang menjulang menggapai awan, seperti pulau yang hebat di tengah-tengah tanah ladang yang mendatar di barat Victoria. Ia taman negara yang menjadi tempat tinggal berbagai-bagai jenis tumbuhan dan haiwan peribumi dan sejarah Orang Asli yang kaya dan berterusan.

Kebanyakan tapak Orang Asli Victoria terletak di Grampians, yang dikenali sebagai Gariwerd oleh suku Orang Asli yang telah mempunyai pertalian dengan tempat ini sejak 22,000 tahun yang lalu. Bukti kehidupan mereka – termasuk timbunan ketuhar purba dan 60 tapak seni batu dengan lebih 4,000 motif berbeza – bertaburan di seluruh wilayah ini.

Kunjungi tempat perlindungan Bunjil yang terkenal dan lihat Bunjil, pencipta tradisional tanah ini yang digambarkan dengan dua dingo. Berjalan di sekitar Tempat Perlindungan Ngamadjidj dan lihat semangat Ngamadjidj menari dengan dua lembaga putih pada dinding. Gulgurn Manja diterjemahkan sebagai 'tangan-tangan remaja', dan tempat perlindungan di Grampians Utara ini dipenuhi kesan tangan-tangan kecil berwarna hartal kuning. Anda juga boleh mengimbas pusat kebudayaan Grampians atau menyertai lawatan berpandu dari Halls Gap untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai lima komuniti Orang Asli di Victoria.

Terjalin dalam sejarah ini adalah landskap yang amat menguja yang terbina sepanjang jutaan tahun. Lakukan treking di cenuram yang berceranggah dan air terjun yang melata di Taman Negara Grampians. Pergi memancing atau berkanu di Lake Bellfield dan Lake Wartook dan dekati haiwan peribumi seperti koala, kanggaru, emu dan helang ekor baji. Lakukan perjalanan ke Taman Negeri Mt Arapiles-Tooan, di mana anda boleh mendaki formasi batu yang dramatik. Jauh ke hadapan sedikit terletak Taman Negara Little Desert, di mana hamparan belukar heath mempamerkan bunga-bunga liar yang beraneka warna dari Ogos ke Oktober. Terokai gunung-gunung batu pasir Grampians dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda atau alami kehebatannya dalam pesawat ringan.

Walau bagaimanapun anda menyelami keajaiban purba Grampians, kami jamin ia amat sukar dilupakan.

Idea Australia selanjutnya