Australia Barat

Australia Barat

Terokai Australia Barat dari Perth yang berpantai. Lawati Rottnest Island dan Freemantle ke selatan menuju kilang wain Margaret River, kawasan emas Kalgoorlie dan tasik merah jambu serta garis pantai Albany. Tujui utara ke Pinnacles dan Karijini National Park serta khazanah marin Ningaloo dan Monkey Mia. Di utara Kimberley, pemanduan 4WD menghubungkan Cable Beach, Broome dengan Kununurra dan El Questro Station.

Rancang percutian anda di dan dari Perth di Australia. Anda pasti amat menggemari ibu kota Australia yang terletak paling barat di tanah besar ini, di tebing Sungai Swan, disempadani pantai-pantai Lautan Hindi dan ladang anggur Swan Valley. Dapatkan gambaran keseluruhan ringkas Perth di samping imbasan bandaraya lain di Australia. Ketahui lebih lanjut mengenai tempat-tempat yang perlu dikunjungi di bandar ini dan di sekitarnya. Perth memiliki segala-galanya, dari Kings Park yang subur menghijau dan pantai-pantainya yang lengang hinggalah ke pelabuhan indah Fremantle dan Pulau Rottnest, yang berhampiran.

Dalam lingkungan 30 minit dari Perth anda boleh menerokai ladang anggur bertaraf dunia di Swan Valley, belayar di Swan River menelusuri taman-taman dan bangunan pencakar langit atau menikmati matahari terbenam yang menakjubkan di pantai. Naiki feri ke Rottnest Island yang bebas kenderaan, di mana anda boleh menerokai sejarahnya, berbasikal ke mana-mana 63 pantai dan berkayak ke lebih daripada 20 teluk-teluk yang terpencil. Rasai juadah di Fremantle dan nikmati suasana kafe yang meriah di sepanjang jalan pelabuhan kurun ke-19 yang telah dipelihara dengan baik sampai sekarang. Pastikan juga anda mengetahui serba sedikit sejarah maritim dan penjara yang menarik di Freemantle. Terokai Taman Kings dan kagumi stesen peninjaunya, taman bunga rapi dan warisan Orang Asli. Berenang, meluncur air, memancing, meluncur angin dan belayar di satu daripada 19 pantai Sunshine Coast di Perth yang bersih dan tidak penuh sesak, dari Cottlesloe ke Scarborough.

Ningaloo Reef, WA
Ningaloo Reef, WA

Coral Coast

Coral Coast menawarkan percutian pantai sepanjang tahun dengan pinggir laut sejauh 1,100km yang mengunjur dari Cervantes ke Pinnacles Desert yang berbatu-batan di selatan hingga Exmouth dan Terumbu Ningaloo di utara. Anda boleh mengembara belukar melewati tebing dan gaung laut serta pembentukan diukir oleh Murchison River di Kalbarri National Park. Pandulah kenderaan pacuan empat roda di Cape Range National Park, di sini banjaran batu kapurnya yang menakjubkan bertemu terumbu karang, laut biru jernih dan pantai berpasir di Ningaloo. Berenang dengan yu paus jinak, ikan pari manta dan penyu di Terumbu Ningaloo atau kunjungi Shark Bay World Heritage Area (Kawasan Warisan Dunia Shark Bay), di sini anda boleh memberi makan kepada ikan lumba-lumba bottlenose yang liar di Monkey Mia. Lihatlah singa laut yang pintar dari jarak dekat di Jurien Bay dan sementara anda di sana, jangan lepaskan peluang untuk menikmati pembentukan batu purba Pinnacles yang menakjubkan berdekatan pekan tepi laut di Cervantes.

Gascoyne Murchison outback, WA
Gascoyne Murchison, WA

Pedalaman Hebat

Sahut cabaran pacuan 4 roda di pedalaman Golden Outback Australia Barat. Kunjungi Lucky Bay berdekatan Esperance dan nikmati pasir putih halus dan keadaan berenang yang sempurna atau terokai kekayaan biologi Great Western Woodlands. Pelajari sejarah Orang Asli dan daki Mount Augustus, antara batu yang terbesar di dunia. Saksikan kawasan pedalaman yang berceranggah meriah kembali dengan warna-warni daripada 12,000 spesies bunga liar yang berbeza pada musim sejuk dan awal musim bunga. Atau kunjungi pekan-pekan Wheatbelt yang kecil lagi mesra dan keajaiban geologi seperti Wave Rock, sebuah pembentukan berusia 2,700 juta tahun. Kunjungi Kalgoorlie dan padang emas untuk mengetahui sejarah kerubut emas dan flora serta fauna yang unik. Untuk sesuatu yang berlainan, lawatilah tasik garam Lake Ballard, di sini anda boleh berjalan di antara patung-patung yang menggambarkan penduduk dari pekan berhampiran di Menzies. Dari Lautan Selatan yang berkilauan hingga tengah pedalaman merah Australia Barat, anda tidak akan dapat melupakan pemandangan yang pelbagai dan luar biasa ini.

Cable Beach, Broome, WA
Cable Beach, WA

Barat Laut

Di Broome, tunggangi unta di Cable Beach sepanjang 22km yang menakjubkan, lihat tapak dinosaur yang diabadikan pada batu di Gantheame Point dan saksikan fenomena semula jadi Staircase to the Moon (Anak tangga menuju ke Bulan) di Roebuck Bay. Pandulah kenderaan pacuan empat roda di jalan tanah merah dari Broome sepanjang Semenanjung Dampier, di sini anda boleh menginap di perkhemahan belantara Orang Asli sambil melihat koleksi seni batu prasejarah terbesar di dunia. Lebih jauh ke utara di Derby di Kimberley Coast, anda boleh menyaksikan matahari terbenam di King Sound dan terbang melintasi Horizontal Waterfalls di kepulauan Buccaneer Archipelago iaitu air terjun melintang yang hanya ada dua di dunia. Dari Kununurra, anda boleh menerokai kubah berbentuk sarang lebah di Bungle Bungle Range yang tersenarai sebagai Warisan Dunia di Purnululu National Park. Berlayar di Ord River dan Lake Argyle yang luas, sebuah tasik buatan manusia yang boleh menampung 32 juta meter padu air. Jauh ke selatan, jangan ketinggalan melihat gaung merah, pokok boab, air terjun dan kolam renang berwarna hijau zamrud yang menakjubkan di Karijini National Park.

Margaret River, WA
Margaret River, WA

Barat Daya

Menyelam untuk melihat bangkai kapal karam terbesar iaitu HMAS Swan yang boleh dilawati di Hemisfera Selatan dari Dunsborough. Di Busselton, kunjungi jeti berusia 140 tahun sepanjang 1,841 meter kemudian lawatlah kawasan wain bertaraf dunia di Margaret River, di sini anda boleh juga berenang di dalam air yang jernih di Bunker dan meluncur di Surfers Point. Lihat fosil di Mammoth Caves, tasik bawah tanah berbayang di Lake Cave dan stalaktit runcing di Jewel Cave. Ikutilah perjalanan indah menelusuri hutan karri yang mencuar tinggi ke Hamelin Bay, di sini anda boleh bersnorkel dengan ikan pari dan berjalan di atas pasir yang cantik di Boranup Beach. Lawati Augusta yang romantik, di sini terletaknya rumah api di tanjung Cape Leeuwin yang memisahkan Lautan Hindi dan Lautan Selatan. Berenang dengan ikan lumba-lumba di Bunbury dan cuba kenali ikan paus dari pekan Augusta, Albany dan Dunsborough dari bulan Jun hingga Oktober. Rasailah kekayaan hasil tempatan yang ditawarkan Great Southern semasa di Albany.

Australia Barat merupakan tempat terdapatnya sebilangan ‘tasik merah jambu’ yang luar biasa. Lake Hillier adalah tasik berwarna merah jambu di Middle Island, kumpulan kepulauan terbesar yang membentuk Recherche Archipelago di pesisiran pantai Esperance.

Dari atas, tasik ini kelihatan seperti gula getah pejal berwarna merah jambu. Tasik ini panjangnya kira-kira 600 meter dan dikelilingi tepian pasir dan kawasan hutan pokok paperbark dan pokok kayu putih yang padat. Satu jaluran gumuk pasir yang diliputi tumbuhan memisahkannya dari Southern Ocean yang kebiru-biruan.

Gunakan peta untuk menerokia tempat untuk dikunjungi dan aktiviti untuk dilakukan

States
States

Idea Australia selanjutnya

Maklumat Lanjut

Anda boleh mendapat maklumat lanjut dengan berkunjung ke laman web Tourism Western Australia