Keseronokan keluarga di Margaret River

Keseronokan keluarga di Margaret River

'Tiada yang seumpama melihat pemandangan berwarna-warni yang berubah-ubah di sekitar Jeti Busselton dan merasakan kedinginan udara petang menyapa wajah pada penghujung suatu hari yang indah.'

Ia merupakan permulaan sebuah perjalanan yang sukar dilupakan bagi Wong Teo Suan dan isteri, yang terbang ke Perth dari Singapura bersama keluarga jauhnya. Setelah menerokai Perth, pasangan itu, bersama dengan anak mereka, menantu perempuan, biras dan dua cucu memandu ke selatan untuk ke kawasan Margaret River.

“Terdapat terlalu banyak untuk dilihat dan dialami – dari pantai yang indah, hutan menakjubkan, gua hebat dan tarikan buatan manusia yang bersejarah hingga ke pengalaman makanan yang pelbagai, kilang wain yang menarik dan cuaca yang baik,” kata Wong.

Keluarga tersebut meluangkan malam pertama di Busselton, di mana Wong sempat mengambil gambar Busselton Jetty yang bersejarah ini. Terbentang sepanjang hampir 2km ke Geographe Bay, ia dianggap sebagai jeti timbunan balak terpanjang di hemisfera selatan. Pelawat juga boleh menaiki kereta api untuk melawat balai cerap bawah air di hujung jeti.

Hari berikutnya diluangkan semata-mata untuk menikmati gourmet, sambil Wong dan keluarganya melewati gudang wain menuju ke perbandaran Margaret River. Wong masih lagi menyebut-nyebut tentang makan tengah hari yang beliau dan isteri nikmati di restoran ladang anggur yang cantik, dan mengatakan daging wagyu dan segelas cabernet “suatu pengalaman gastronomi yang menakjubkan”. Sebagai seorang yang gemar melukis, Wong berasa gembira dapat meninjau galeri seni berdekatan. Anak-anaknya lebih teruja di perhentian mereka yang seterusnya iaitu kilang coklat dan kedai menjual kacang segar dan jem buatan sendiri.

Setelah bermalam di Margaret River, keluarga itu memandu sepanjang Caves Rd yang cantik untuk menerokai Mammoth Caves. Dilengkapi lampu suluh dan set kepala audio, mereka bergerak melalui ruang bawah tanah yang luas, mempelajari tentang fosil hebat dan pembentukan batu kapur.

“Ia suatu pengalaman unik, terutamanya bagi cucu kami yang belum pernah memasuki gua. Semasa keluar dari gua ke jalan berhutan, kami dikelilingi pohon karri yang sangat tinggi dan flora liar,” kata Wong.

Hutan pokok karri yang menakjubkan itu terdapat di sepanjang jalan menuju ke Augusta, di mana Wong dan keluarga melawat Cape Leeuwin Lighthouse. Mereka sampai pada waktu yang sama dengan ribut musim luruh dramatik yang membawa ombak besar dan angin yang menderu-deru. Semasa keluarga mereka memanjat ke puncak rumah api, Wong dan isteri menyaksikan cuaca buruk itu dari sebuah kedai kopi berdekatan.

“Melihat Lautan Selatan yang garang dan Lautan Hindi yang gagah menghentam Cape menjadikan lawatan kami suatu pengalaman yang menakjubkan,” kata Wong.

Wong teringat pemanduan balik ke Perth yang santai, dengan banyak “membeli-belah pada saat-saat akhir” di gudang wain dan kedai gourmet. Lawatan ke kilang keju merupakan kegemaran keluarga itu, di mana mereka melihat gourmet faj, gula nougat dan sarang madu dibuat dengan tangan.

Membuat kesimpulan tentang masa mereka di Margaret River, Wong berkata “setiap satu pengalaman mempunyai keunikan tersendiri dengan begitu banyak kemuncak.” Dia dan isteri teringin melawat Coral Coast di Australia Barat pada lawatan berikutnya, tetapi Wong turut tertarik untuk ke Tasmania.

“Saya teringin merakam kecantikan Tasmania dengan kamera saya dan menghabiskan masa persaraan saya dengan memindahkannya ke kanvas,” katanya.



Baca lebih lanjut mengenai Cerita Percutian Australia

Canberra, bandaraya pencinta alam sekitar
Percutian impian di Gold Coast
Bulan madu Hobart – semuanya tentang lawatan harian
Keajaiban Geologikal di Karijini
Dari Perth ke Pinnacles
Fajar menyingsing di ikon World Heritage Australia
Kembara Australia – dari Red Centre ke Tasmania
Keseronokan keluarga di Margaret River
Keajaiban Kakadu yang sentiasa berubah

Tangalooma, Pulau Moreton
Taman Negara Tasman, Tasmania
Kimberley: cerita Australia yang takkan dilupakan
Valley of The Giants
Percutian Australia yang Hebat
Percutian Tasmania yang boleh diingati
Keseronokan sepanjang Great Ocean Road
Wave Rock: Satu Keajaiban Australia Barat

Idea Australia selanjutnya