Margaret River

Amberley Estate, Wilayah Wain Margaret River, WA. © Tourism Western Australia

Margaret River

Dengan pelbagai kilang wain bertaraf dunia dan restoran pemenang anugerah, Margaret River merupakan salah satu wilayah makanan dan wain yang paling masyhur di Australia Barat. Lawati bilik simpanan bawah tanah dan nikmati bir tempatan di kilang bir butik Margaret River. Di sini anda boleh makan udang karang segar terus dari lautan atau nikmati daging lembu dan trufel organik tempatan. Lawati pasar tani dan cuba keju artisan. Manjakan diri anda dengan coklat buatan tangan atau fudge yang lazat. Setelah selesai pengembaraan makanan anda, luangkanlah masa pula untuk meneroka kawasan Great South West di Australia Barat. Dalam beberapa jam sahaja, anda boleh beralih dari kilang wain ke pantai mengagumkan dengan pecahan ombak bertaraf dunia, bersnorkel dan menyelam, atau berjalan kaki di antara hutan dan gua purba.

Dengan lebih daripada 120 pengeluar wain di wilayah ini, Margaret River menghasilkan antara wain cabernet sauvignon, chardonnay, semillon, sauvignon blanc, merlot dan shiraz yang terbaik di Australia. Mulakan lawatan di Margaret River Visitor Centre, yang menyediakan pameran serta maklumat interaktif tentang wain. Anda boleh mendapat beberapa petua berguna daripada penduduk setempat untuk membantu anda merancang pengembaraan anda.

Antara kilang wain premium di Margaret River termasuklah Leeuwin Estate; Xanadu Wines dan Voyager Estate. Setiap kilang wain menawarkan serangkaian pengalaman makanan dan wain mewah dari sesi merasa wain hingga merasa makanan gourmet gustatori dengan menu bermusim. Terdapat banyak acara makanan dan wain yang diadakan sepanjang tahun. Antara yang paling popular ialah Margaret River Gourmet Escape selama empat hari dalam bulan November yang menarik minat para tukang masak dan pembuat wain dari Australia dan seluruh dunia.

Memandu ke selatan dari Perth adalah cara yang baik untuk melihat-lihat Great South West di Australia Barat. Dalam beberapa jam sahaja, anda boleh beralih dari kilang wain pemenang anugerah ke pantai mengagumkan, hutan yang tinggi, pecahan ombak bertaraf dunia dan gua purba. Sebilangan laluan pemanduan yang hebat membolehkan anda melencong ke mana-mana di sepanjang laluan.

Terokai pantai tenggara Australia Barat dan saksikan pemandangan matahari terbenam di Lautan Hindi. Pergi berenang bersama ikan lumba-lumba di Bunbury dan Rockingham. Cuba cari ikan paus yang berhijrah dari rumah api Cape Naturaliste di Geographe Bay. Tidak jauh dari situ, anda boleh meluncur air, memancing ikan dan berenang di kota Yallingup yang santai. Berjalan kakilah menelusuri jeti kayu yang terpanjang di Hemisfera Selatan dan lihat batu karang serta ikan berwarna-warni di Underwater Observatory di Busselton. Dunsborough memiliki sebilangan pantai terlindung yang amat sesuai untuk berenang, meluncur air dan menyelam, termasuk selaman di bangkai kapal karam HMAS Swan. Nikmatilah jalan di garis pantai taman Leeuwin-Naturaliste National Park yang dramatik atau berjalan dengan santai di antara hutan pokok jarrah, marri dan karri yang dipenuhi bunga liar berwarna-warni yang mekar dalam musimnya. Dari Augusta, tuju arah darat ke Manjimup yang masyhur dengan trufel dan merupakan tuan rumah acara Truffle Kerfuffle dalam bulan Jun.

Margaret River terletak kira-kira 270 kilometer ke selatan Perth.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia