Pink Lake, Australia Barat

Lake Hillier, Middle Island, Esperance, WA. © Ockert le Roux

Pink Lake, Australia Barat

Australia Barat merupakan tempat terdapatnya sebilangan ‘tasik merah jambu’ yang luar biasa.

Lake Hillier adalah tasik berwarna merah jambu di Middle Island, kumpulan kepulauan terbesar yang membentuk Recherche Archipelago di pesisiran pantai Esperance.

Dari atas, tasik ini kelihatan seperti gula getah pejal berwarna merah jambu. Tasik ini panjangnya kira-kira 600 meter dan dikelilingi tepian pasir dan kawasan hutan pokok paperbark dan pokok kayu putih yang padat. Satu jaluran gumuk pasir yang diliputi tumbuhan memisahkannya dari Southern Ocean yang kebiru-biruan.

Tiada siapa yang tahu dengan jelas mengapa tasik tersebut berwarna merah jambu. Ahli-ahli sains mengagak bahawa warna tersebut datang daripada bahan yang dihasilkan bakteria yang tinggal di dalam kerak garam.

Tasik merah jambu Middle Islands terawal dikesan melalui jurnal seorang pengembara, Matthew Flinders pada tahun 1802. Flinders telah memanjat puncak tertinggi Middle Islands (kini dikenali sebagai Flinders Peak) untuk meninjau perairan kawasan persekitaran apabila dia menemui tasik yang luar biasa ini. Middle Island dan tasik merah jambu ini terletak di dalam belantara yang masih murni. Satu-satunya cara melihat tasik ini adalah dari udara. Anda juga boleh menerokai pulau-pulau dan beraneka hidupan liar di Recherche Archipelago melalui pelayaran dari Esperance.

Pink Lake yang terletak berhampiran dengan Esperance merupakan sebuah lagi tasik merah jambu yang dilatari antara pemandangan pantai yang paling memegunkan di Australia. Jaraknya sejauh tujuh kilometer dari kota Esperance.

Dalam keadaan cuaca tertentu, tasik ini bertukar menjadi rona merah lembut disebabkan kandungan alga yang tinggi di dalam air. Untuk pemandangan terbaik, pergilah ke tempat meninjau Pink Lake.

Tasik ini telah dikenal pasti oleh BirdLife International sebagai Kawasan Perlindungan Burung (IBA) kerana ia menempatkan sejumlah besar burung tempatan dan burung hijrah.

Terdapat pelbagai perkara untuk dilihat dan dilakukan di sekitar Esperance, termasuk menunggang kuda, berjalan kaki dan berbasikal, memancing, menyelam skuba, memerhati ikan paus (Mei hingga Oktober), meluncur angin, menakik turun, berkayak dan mengembara dengan kenderaan 4WD.

Esperance Museum mempamerkan bahan mengenai sejarah tempatan, termasuk memorabilia perintis, item dari kapal karam, serpihan US Sky Lab yang terhempas di wilayah Esperance pada tahun 1980, artifak Orang Asli dan barangan antik. Terdapat karang tiruan di hujung jeti bandar yang menjadi tempat yang sangat baik untuk memancing atau berjalan santai.

Pandulah dari Esperance West melalui Twilight Beach Road, melepasi West Beach, Chapman's Point, Blue Haven Beach, Salmon Beach, Fourth Beach dan Twilight Beach. Berjalan melalui pantai berpasir putih lembut, lereng granit dan lihat lautan berubah warna, daripada biru firus berhampiran pantai kepada biru tua apabila berhampiran kepulauan Recherche Archipelago.

Gumuk-gumuk pasir yang dibentuk tinggi oleh tiupan angin yang digelar 'Esperance Doctor' menjulang melebihi 50 meter ke udara. Tujui Rotary Lookout untuk panorama Esperance, Esperance Bay, Pink Lake dan pulau-pulau berhampiran persisiran pantai.

Esperance juga adalah pintu masuk ke Cape Le Grand National Park; Stokes National Park dan Cape Arid National Park.

Esperance terletak kira-kira 720 kilometer ke tenggara Perth, di pinggir laut selatan Australia Barat. Ia sejauh lapan jam pemanduan atau dua jam penerbangan dari Perth.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia