Dijangkiti demam emas di Kalgoorlie

Dijangkiti demam emas di Kalgoorlie

Terokai padang emas dan pekan hantu, sejarah dan pengembaraan lasak di tengah-tengah kawasan barat liar (wild west) di Australia Barat.
Jika anda sukakan kehidupan barat lama, anda akan terasa seperti anda berada pada zaman itu apabila berada di Kalgoorlie iaitu bandaraya padang emas terbesar di Australia Barat. Bangunan bersejarahnya dan pubnya yang berwarna-warni merupakan warisan lebih daripada seratus tahun sejarah kerubut emas.

Kalgoorlie terletak 600km ke timur Perth dan boleh dilawati melalui jalan raya, jalan kereta api mahupun udara. Kalgoorlie diasaskan pada waktu kerubut emas pada tahun 1880-an, apabila pencari harta dari seluruh pelosok negara berduyun-duyun datang ke kawasan ini. Ia merupakan saat yang menyeronokkan namun amat getir bagi pencari emas yang lebih awal kerana ketiadaan penguatkuasaan undang-undang dan merebaknya berbagai penyakit. Dalam tahun 1960-an jumlah penduduk telah bertambah sehingga lebih daripada 200,000 orang dan kebanyakannya terdiri daripada pencari emas. Kawasan ini menjadi terkenal sebagai kawasan koboi yang penuh penyamun dan pelacur.

Hari ini syarikat perlombongan yang berjuta dolar telah menggantikan pencari gali emas dengan matanya yang bercahaya, namun suasana romantik kerubut emas masih segar pada bangunan lama yang hebat, pub bersejarah dan ciri-ciri tersendiri di Kalgoorlie. Di Hannan Street yang dinamakan sempena orang Ireland Paddy Hannan yang berjaya menjumpai emas pada tahun 1893, anda boleh menginap di hotel Hannan malah dapat minum sepain lager Hannan. Terokai tapak perkhemahan pencari gali emas dan bangunan warisan di Australian Prospectors and Miners Hall of Fame. Lihat seni Orang Asli dan Goldfields di Pusat Pelawat Doktor Terbang. Lihat peninggalan impian lombong emas di kotej, pondok dan kedai yang terbiar di pekan hantu yang berdebu di Gwalia.

Jika anda ingin menyelami sejarah perlombongan emas terkini, lawati Super Pit Mine yang besar yang menghasilkan 800,000 auns emas setiap tahun. Berukuran 3.5 kilometer panjang dan 1.5 kilometer lebar, ia sama dalam dengan Uluru dan ketinggian serta ukuran lilitannya hampir sama.

Tempat ini juga kaya dengan keindahan alam semula jadinya. Terokai hutan eucalyptus yang sunyi, dataran yang luas terbentang, dasar tasik yang kering, tanah semak yang rendah dan padang spinifeks ketika berjalan atau ketika memandu kenderaan pacuan empat roda, tetapi pastikan anda bersedia dengan semangat seorang peneroka sebelum bermula. Selain landskap yang indah, anda akan temui hidupan burung yang banyak termasuklah chuditch, mallee fowl dan dunnart.

Kembali semula ke pekan, amat sukar untuk tidak memberi perhatian kepada penduduk tempatannya yang begitu peramah dan semangat kawasan pedalaman mereka yang unik. Sertai festival lumba kuda mereka yang terkenal iaitu The Boulder dan Kalgoorlie Cup. Atau bercerita dengan orang lama di pub. Pub ini boleh anda temui setiap satunya di setiap selekoh jalan di sini jadi anda sememangnya akan berseronok apabila keluar pada waktu malam.

Di sini, pengembaraan, sejarah emas, landskap pedalaman dan ciri-ciri tersendiri merupakan khazanah sebenar.

 

 

Idea Australia selanjutnya