Taman Negara Karijini

Karijini National Park

Dekatkan diri dengan alam semula jadi di Karijini National Park, di Pilbara Australia Barat, di mana bumi terbelah dan terbahagi lebih dua bilion tahun dahulu. Temui jurang menarik, terowong batu marmar, kolam batu hebat dan air terjun yang menarik. Di bawah langit Pilbara yang biru terang, landskap merah berceracak menyediakan tempah teduh untuk himpunan tumbuh-tumbuhan, haiwan dan burung tempatan. Berkhemah di sini berlatarbelakangkan langit pedalaman atau nikmati kemewahan kembali-kepada-alam di penginapan ekologi.

Terletak di Hammersley Ranges, berdekatan sebuah pekan kecil Tom Price, Karijini National Park paling mudah dikunjungi melalui kenderaan pacuan empat roda. Banyak lawatan pengembaraan yang lebih lama bertolak dari Perth ke barat laut, menggabungkan Karijini dengan tarikan seperti Monkey Mia di Coral Coast dan Broome serta Kununurra di Kimberley. Anda juga boleh terbang ke Exmouth, Karratha, Newman, Paraburdoo (berdekatan Tom Price) atau Broome untuk menyertai lawatan atau sewa sebuah kenderaan pacuan empat roda untuk pengembaran swapandu.

Sebaik sahaja anda memasuki taman, landskap liarnya sebenarnya mudah dilalui, serta air terjun, kolam sehijau zamrud dan gaung menjunam bermula betul-betul selepas tempat letak kereta. Terdapat juga jaringan denai pejalan kaki yang mengagumkan, daripada jenis mudah kepada yang sukar, dan semuanya melewati pemandangan yang indah.

Fortescue Falls, satu-satunya air terjun kekal di taman ini terletak kira-kira satu jam perjalanan menuruni bukit ke Dales Gorge. Ketika di bawah, anda boleh berenang di kolam yang berasal dari mata air di kaki Fortescue Falls atau di Fern Pool atau sahut cabaran dua jam kembara jalan kaki pergi balik ke Circular Pool yang indah, di hujung gaung yang lagi satu.

Berjalan kaki ke Junction Oxer Lookout untuk melihat pemandangan yang sukar dilupakan meliputi simpang empat gaung gergasi Red, Weano, Joffre dan Hancock. Anda boleh mengembara berjalan kaki dari sini ke Hancock Gorge yang curam dan mengagumkan, di mana kamar berbatu dan laluan air bawah tanah paling seronok diterokai bersama jurupandu tempatan. Denai yang lebih mudah sedikit menuju ke Weano Gorge dan tempat berenang hebat Handrail Pool.

Denai pendek menuju ke tempat meninjau pemandangan atas Joffre Gorge dan Knox Gorge, atau untuk lebih cabaran anda boleh mengembara berjalan kaki ke gaung itu sendiri. Berjalan di sekitar Kalimina Gorge, dengan kekayaan warna biru dan merahnya atau berenang di kolam spa semula jadi di Hammersley Gorge. Sekiranya anda cergas, pendakian ke puncak Mt Bruce boleh memberikan pemandangan tinggi merentasi dataran spinifeks.

Spinifeks, mulga, ghost gum dan pohon ara hanyalah sebahagian daripada tumbuh-tumbuhan tempatan yang anda akan lihat di sekitar gaung merah berceranggah Karajini. Antara bulan Jun dan September, bunga liar berwarna-warni seperti ara batu, serai dan cadjeput perak juga menari-nari di seluruh landskap berbatu ini. Lihat mereka bersama haiwan asli tempatan seperti walabi batu, dingo, cicak, goanna dan himpunan burung.

Pergi berkhemah atau tinggal di penginapan ekologi mewah tidak jauh dari Weano, Hancock, Knox dan Joffre Gorge yang popular. Anda juga boleh lebih memahami tentang landskap kuno ini di pusat pelawat, yang mempunyai paparan alam semula jadi dan warisan kebudayaan interaktif.

Tak kira bagaimana anda merasainya, anda pasti kagum dengan kuasa semula jadi di Karijini National Park.

Idea Australia selanjutnya