Rangsang deria anda di Kununurra

Rangsang deria anda di Kununurra

Hayati penggembaraan lasak di dunia yang luas, dipenuhi tasik, rabung dan banjaran purba, berlian merah jambu yang sukar ditemui dan stesen yang sangat besar.
Ada sesuatu pada Kununurra yang liar dan terpencil yang menyemarakkan semangat untuk melakukan penggembaraan lasak, meskipun bagi pengembara yang kurang berani. Mungkin ia terletak pada langitnya yang biru, tanahnya yang merah menyala dan pemandangan belukarnya yang berceranggah, atau kedudukannya sebagai pintu masuk ke Kimberley Timur dan beberapa tarikan semula jadi menarik yang menakjubkan di Australia Barat.

Dari sini anda boleh mengunjungi Taman Negara Purnululu yang tersenarai sebagai Warisan Dunia dan menara berbentuk seperti sarang lebah di banjaran Bungle Bungle yang dikatakan berusia 350 juta tahun. Atau lihat versi mini di kalangan amfiteater, galur dan rabung di Taman Negara Mirima.

Anda boleh menaiki helikopter untuk terbang di atas sungai Ord yang mengalir deras dan Tasik Argyle buatan manusia, yang cukup luas untuk disebut sebagai laut pedalaman. Ord Valley adalah pusat pelbagai hasil pertanian yang mengagumkan, yang mengalir dari tasik ini. Kembara berjalan kaki di Penara Mitchell dan lihatlah Air Terjun Mitchell yang begitu gah – rangkaian empat air terjun – yang melata merentasi lapisan batu-batan ke dalam kolam yang dalam. Kemudian kunjungi Lombong Berlian Argyle dan lihatlah berlian merah jambu yang sukar ditemui yang dikeluarkan dari batu purba ini setiap tahun.

Ini sudah tentu hanyalah pengenalan bagai penggembaraan yang ditawarkan oleh Kununurra. Anda boleh menangkap baramundi besar seperti yang ditangkap oleh pemenang pertandingan memancing di sungai-sungai musim hujan yang mengalir deras atau berenang dalam lopak air yang dalam dan dingin menyegarkan di bawah Air Terjun Black Rock yang melata. Berkanu di Lake Kununurra, berkhemah berbumbungkan bintang-bintang di langit dan dekati buaya air tawar, keluang, walabi dan ratusan spesies mergastua di sepanjang perjalanan anda. Tidak sukar untuk melihat mengapa tempat ini dipanggil Kununurra- yang bermaksud ‘air gergasi' dalam bahasa suku Orang Asli yang berpindah randah di landskap ini sejak ribuan tahun dahulu.

Panjat batu-batan dan menakik turun dari cenuram yang curam, meredah belukar atau bushwalk di banjaran yang berceranggah dan naiki kenderaan pacuan empat roda ke beberapa lokasi terpencil di atas muka bumi ini. Luar dari jalan raya, terdapat gaung, air terjun dan stesen ternakan lembu yang sama saiznya dengan negara kecil di Eropah untuk anda terokai. Kunjungi stesen tempat sebahagian daripada filem Baz Lurhman, Australia difilemkan dan anda akan melihat apa yang menyebabkan watak yang dimainkan oleh Nicole Kidman memulakan pengembaraan lasaknya di pedalaman yang amat luas ini.

Apabila anda memerlukan suntikan baru adrenalin, loncat ke atas lembu jantan di rodeo tempatan atau sertai penduduk di sini dalam lumba kuda pedalaman. Untuk pengalaman yang benar-benar menggerunkan, naiki helikopter tanpa pintu untuk terbang merentas banjaran Bungle Bungle atau terbang dari tasik, sungai atau banjaran menggunakan pesawat terapung atau floatplane.

Udara yang segar dan aktiviti bertenaga ini pastinya menyebabkan anda lapar, jadi bentangkan hamparan di Zebra Rock yang berusia 600 juta tahun, makan gaya restoran al fresco sambil matahari melabuhkan tirainya atau nikmati ketam batu pada pencucuk di khemah yang terpencil.

Tiada tempat yang lebih baik untuk menghayati kembara lasak.

 

 

 

Idea Australia selanjutnya