Pengembaraan di Australia

Pengembaraan di Australia

Tinggalkan gaya hidup rutin anda - Australia mempunyai gurun yang luas, gunung dengan puncak dilitupi salji, jalur pantai yang diukir lautan dan hutan hujan purba untuk anda menikmati kehidupan sebenar. Tunggangi motosikal Harley dari Sydney ke Melbourne atau naiki helikopter di antara cerun berdebu Victoria. Lihat Gurun Simpson di atas unta atau terapung di atas Canberra dalam belon udara panas. Kembara berjalan kaki menyusuri Great Ocean Walk di sepanjang Lautan Selatan atau mencelah melalui gua batu kapur di Sungai Margaret. Kembara berjalan kaki, tunggang motosikal atau kuda atau luncur gantung. Turuni gunung dengan tumpuan yang mendalam dan tali yang cukup tebal. Di Australia, tiada alasan untuk tidak melakukan semua ini.

Pasang pelana dan hirup aroma belukar Australia dalam pengembaraan menunggang kuda di Megalong Valley yang merupakan sebahagian daripada Blue Mountains yang tersenarai sebagai Warisan Dunia. Dengan laluan lebih 2,000 ekar dan kuda untuk setiap peringkat kemahiran dan keyakinan, anda boleh menunggang dengan rentak pantas atau secara santai. Ikuti trek selama dua jam ke rabung lembah yang indah, sertai perjalanan setengah hari ke Sungai Cox atau lakukan penunggangan semalaman melalui hutan belantara epik. Untuk kelayakan ‘berbelukar’ penuh, habiskan masa seminggu di ‘sekolah’ jackaroo, di mana anda akan belajar cara untuk mengumpulkan lembu, mengetam bulu biri-biri dan melibas cemeti.

Sarungkan but pengembara dan kumpulkan stamina anda. Denai yang lasak dan panjang ini melewati rabung Alps Australia yang merentasi tiga negeri dan empat taman negara. Dengan jarak sejauh 65km, iaitu dari Walhalla di Victoria ke Tharwa yang tidak berapa jauh ke selatan Canberra. Naik dan turun Baw Baw Plateau dan Dataran Tinggi Bogong di Victoria. Merentas puncak berceranggah Kosciuszko National Park dan Namadgi National Park berdekatan Canberra. Berkhemah di belantara atau di tapak perkhemahan, pondok bersejarah atau tempat peranginan alpine yang dekat dengan denai. Lakukan trek siang hari atau gabungkan beberapa seksyen yang lebih pendek. Perjalanan dari hujung ke hujung mengambil masa 50 hingga 60 hari dan hanya untuk pengembara yang berani sahaja.

Nikmati keseronokan musim sejuk yang tiada berpenghujung di Gunung Hotham. Cabar diri anda di geluncuran ski yang curam di sekeliling Mary’s Slide, Blue Ribbon atau Heavenly Valley. Atau uji kemahiran anda di cerun landai untuk yang baru belajar di Summit, Big D Playground dan Milky Way. Jika anda seorang peluncur papan salji, terdapat galur, lembangan, sasaran, tetangga, bebibir dan sorokan terbuka yang cukup licin untuk membuat peluncur mahir berasa cemburu. Bergerak dari pub ke pub di salah satu daripada denai merentas desa yang banyak atau naik helikopter untuk ke cerun sepemunya Falls Creek. Di penghujung hari yang penuh keseronokan di atas salji, anda boleh memanjakan diri anda di spa atas gunung.

Lakukan pengembaraan Great Ocean Walk, VIC
Lakukan pengembaraan Great Ocean Walk, VIC

Lakukan pengembaraan Great Ocean Walk, VIC

Untuk pengembaraan sebenar di sepanjang Great Ocean Road, sarungkan but pengembara anda. The Great Ocean Walk menjangkau 90km di sepanjang persisiran pantai hebat yang dipukul ombak, dari Teluk Apollo hingga ke berhampiran Twelve Apostles. Berdiri di puncak beberapa tebing pinggir laut tertinggi Australia, berjalan melalui hutan, pantai dan belukar persisiran pantai dan lihat kanggaru, koala, ikan lumba-lumba dan ikan paus yang berhijrah. Anda boleh melangkah ke dalam dan luar denai untuk pendakian singkat, sehari atau semalaman atau lakukan seluruh pengembaraan dalam masa lebih kurang seminggu. Bermalam di penginapan setempat atau tempah lebih awal tapak perkhemahan yang berpemandangan indah.

Luncur angin di Gold Coast Hinterland, QLD
Luncur angin di Gold Coast Hinterland, QLD

Luncur angin di Gold Coast Hinterland, QLD

Terbang seperti yang anda lakukan dalam mimpi anda dengan luncur angin tandem atau para-luncur di Canungra, di Gold Coast Hinterland yang subur. Ini adalah salah satu daripada tempat paling popular di Australia untuk terbang di angkasa, kerana gunungnya yang strategik untuk memulakan peluncuran dan juga  pemandangannya yang indah. Dalam penerbangan 20minit anda boleh melayah di atas bangunan pencakar langit dan pantai berkilau Gold Coast, hutan hujan Gondwanan, Great Dividing Range, Border Ranges dan Brisbane. Pada 3,000 kaki dari tanah dan 1,000 kaki di atas Mt Tamborine, pengalaman ini adalah suatu keseronokan yang tiada tandingan.

Daintree Rainforest yang tersenarai sebagai Warisan Dunia adalah kawasan hutan hujan tertua di dunia, dengan spesies pokok bertarikh seawal zaman dinosaur. Ketahui lebih lanjut mengenai landskap gagah serta purba kala ini dalam lawatan bersama dengan pemilik Kuku Yalanji tradisional. Pergilah berjalan ditemani pemandu di laluan tradisional di sepanjang Mossman Gorge. Ketahui bagaimana kaum Kuku Yalanji menggunakan hutan hujan sebagai sumber makanan, ubat-ubatan, perlindungan dan rohaniah selama lebih daripada 9,000 tahun. Memancing barramundi, melawat air terjun yang mempunyai kuasa penyembuhan suci dan ketahui tentang 5 musim berbeza kaum Kuku Yalanji. Anda juga boleh mengikuti kelas seni Orang Asli dan mendengar legenda Dreamtime dalam suasana kesuburan hutan hujan.

Tidak berapa jauh ke selatan pengeluar wain Sungai Margaret adalah gua Leeuwin-Naturaliste – rangkaian gua batu kapur bawah tanah yang kuno. Ketika kebanyakan pelawat melihat gua awam ini dengan melalui laluan pejalan kaki yang ditetapkan, syarikat penerokaan gua setempat pula ada menyediakan perkhidmatan untuk mereka yang mencari pengembaraan yang lebih mencabar. Menakik turun terus ke dasar hutan ke dalam gua tidak berpenghuni yang hanya boleh diakses dengan menggunakan tali. Atau pakai topi keledar dengan lampu suluh di kepala dan mencelah masuk melalui terowong dan gua yang sempit.  Kepada yang berani dan sukakan cabaran, cuba terokaibahagian gua Calgardup Cave yang dikenali sebagai Rebirthing Canal.

Cubalah satu daripada pengembaraan pacuan empat roda terhebat Australia dalam perjalanan sejauh 660 kilometer ini melalui Kimberley yang luas terbentang. Lihat buaya air tawar di Taman Negara Windjana Gorge dan berenang, berjalan kaki di pedalaman atau bushwalk dan berkhemah di Lennard dan Bell Gorge. Naiki penerbangan untuk melihat pemandangan indah di atas Air Terjun dan Penara Mitchell yang terbentang luas. Tinggal di Taman Hidupan Liar El Questro yang berkeluasan satu juta ekar. Dari sini anda boleh melakukan aktiviti treking berkuda, mendekati hidupan liar di Kimberley dan menaiki bot menelusuri Chamberlain Gorge melewati tubir yang menjulang tinggi dan seni batu batan Wandjina. Bahkan anda juga boleh menikmati pemandangan indah dari basikal lasak yang anda tunggangi dalam Tunggangan Basikal Amal Brisbane ke Broome. Tidak kira bagaimana cara sekalipun anda melalui cabaran pedalaman ini, anda harus ingat yang ia memerlukan perancangan.

Anda benar-benar boleh mengalami secara dekat keindahan Flinders Ranges yang berceranggah dari dalam kenderaan pacuan  empat roda. Cubalah denai curam berdekatan Wilmington di Southern Flinders atau terokai gunung granit merah dan lereng bukit Arkaroola keemasan yang dilitupi spinifeks di bahagian utara yang terpencil. Ketahui tentang geologi pra sejarah Arkaroola dalam lawatan menaiki kenderaan pacuan  empat roda dengan bumbung terbuka di sepanjang Ridgetop Track atau pandu sendiri melalui Echo Camp Back Track ke lopak air serta lombong emas dan tembaga. Gabungkan pengembaraan pacuan  empat roda anda dengan penerbangan berpemandangan indah di atas Wilpena Pound, sebuah amfiteater semula jadi yang besar di tengah-tengah gunung. Dari udara ia kelihatan seperti sebuah dunia purba yang hilang dan dinosaur masih merayau-rayau di sini.

Jejaki denai perintis John McDouall Stuart semasa anda dalam perjalanan dari Adelaide ke Darwin di Lebuh Raya Explorers. Laluan ini membawa anda melalui wilayah wain Barossa Valley yang terkenal di seluruh dunia dan terus ke dalam Flinders Ranges yang berceranggah. Berjalan di sekeliling lingkaran Wilpena Pound atau terbang di atasnya dalam penerbangan berpemandangan indah. Menginap di bawah tanah di ibu kota baiduri Cooper Pedy dan pekan pedalaman Alice Springs. Berjalan sekitar Uluru dengan bantuan jurupandu Aborigine dan terus ke pinggir Ngarai Kings. Lihat seni batu Aborigine purba di Taman Negara Kakadu yang disenaraikan sebagai Warisan Dunia dan berenang di kolam yang jernih di Taman Negara Litchfield.

Menunggang unta melalui Simpson Desert, NT
Menunggang unta melalui Simpson Desert, NT

Menunggang unta melalui Simpson Desert, NT

Terokai pusat padang pasir pedalaman Australia yang terbentang luas dengan cara tradisi penggembala unta Afghan pada kurun ke-19 dan awal kurun ke-20. Selain daripada menunggang, anda juga akan berjalan sehingga 6 jam sehari, manakala unta akan membawa peralatan anda. Anda akan membantu menggembala unta pada waktu pagi dan petang ketika ia sedang makan, dan di bawah penyeliaan penggembala unta, anda juga akan membantu memasang pelana dan menaikkan peralatan. Alami pemandangan padang pasir yang abadi dan berbagai-bagai warna serta berkhemah pada malam hari di bawah langit yang diterangi oleh bintang. Lakukan trek berjalan selama seminggu atau jadilah seperti si Penakluk Lawrence untuk Australia dalam pengembaraan selama enam minggu.

Rasai angsa magpie, semut hijau, teratai dan lobak belukar pada dalam lawatan makanan belukar Orang Asli di Kakadu National Park. Ia adalah pengembaraan kebudayaan dan perangsangan deria melalui landskap subur yang tersenarai sebagai Warisan Dunia, yang menjadi tempat tinggal bagi 10,000 spesies serangga, 55 jenis ikan, beratus-ratus unggas dan 75 jenis reptilia. Ketahui bagaimana Orang Asli kaum Kakadu memungut kedua-dua makanan dan ubatan dari sistem kehidupan yang kompleks ini. Nikmati ular, labi-labi dan barramundi liar semasa anda mengalami keindahan warna-warna terang yang berubah-ubah di air terjun yang sejernih kristal, tanah paya yang kaya dengan hidupan liar serta hutan monsun yang subur di Kakadu.

Buat perjalanan melintasi tengah hutan yang disenaraikan sebagai Warisan Dunia di Tasmania, di laluan sejauh 65 kilometer yang terkenal ini dari Cradle Mountain ke Lake St Clair. Lawati keseluruhan Laluan Darat dalam masa enam hari atau lakukan perjalanan balik hari yang singkat dari Pusat Pelawat Cradle Mountain dan Dove Lake. Anda perlu menempah terlebih dahulu dengan Perkhidmatan Taman dan Hidupan Liar Tasmania dan bawa bersama khemah yang berkualiti dan beg tidur yang hangat. Walaupun laluan tersebut mempunyai lapan teratak asas yang mempunyai alat pemanas, masih belum terjamin yang ia tidak ditempah sepenuhnya. Masa paling baik untuk berjalan di denai adalah di antara bulan November dan April, ketika cuaca agak sederhana dan hari siang yang lebih panjang.

Ia mengambil masa selama sejam setengah untuk mendaki ke pucak Hazard Ranges, tetapi sebagai ganjaran anda akan menikmati pemandangan hebat seluruh Wineglass Bay, di mana gunung merah senja, laut biru menghijau dan pasir memutih bertemu. Banjaran yang bercerancang ini juga tempat yang popular untuk memanjat tembok batu dan abseiling, dari bidur besar Main dan Flowstone Walls, ke batu tongkol yang bertaburan. Untuk banyak lagi cabaran, cubalah tebing laut granit berdekatan Bluewater Bay, yang hanya boleh diakses dengan pacuan  empat roda. Terdapat tempat perkhemahan untuk pendaki berdekatan ceracak kelabu curam yang popular di Whitewater Wall dan Lassies Wall.

Terapung di atas bangunan nasional, taman-taman dan jalan yang dirancang dengan teratur dalam belon udara panas. Anda akan melayang-layang di atas Bangunan Parlimen Lama dan Baru, Galeri Nasional, Muzium Nasional dan Memorial Peperangan. Canberra adalah satu daripada sebilangan kecil bandar di dunia di mana belon boleh terbang begitu hampir dengan bangunan-bangunan kerajaan. Kebanyakan lawatan bermula pada subuh hari, menawarkan perspektif yang ajaib pada bandar formal ini. Sama seperti penerjunan udara, penerbangan sejam ini bergantung kepada keadaan cuaca. Semasa Canberra Balloon Fiesta dalam bulan Mac, anda boleh menyertai berdozen-dozen belon lain yang menghiasi angkasa. Tamat penerbangan anda - dan hari Canberra anda bermula - dengan sarapan champagne.

Anda tidak boleh mengendahkan panggilan alam semulajadi di Murrumbidgee River Corridor yang mudah dicapai dari Canberra. Segala jenis perhubungan semulajadi boleh dijalin sepanjang bahagian pendek dan menakjubkan sungai ini, sebahagian dari perjalanan agung sepanjang 1,600km dari Alps Australia yang bergunung-ganang. Berjalan-jalan di laluan pendek berdekatan Uriarra Crossing atau Tharwa atau cuba laluan 27km Murrumbidgee Discovery Track. Berenang, berkayak dan berpiknik di Casuarina Sands dan bermain kad di bawah kawasan teduh di kawasan perkhemahan Cotter. Memancing untuk Murray cod dan nikmati siulan burung tempatan di kawasan belukar. Pilih destinasi hari anda dari Canberra atau gabungkan beberapa kawasan berpemandangan indah dengan perjalanan perkhemahan di tepi sungai.

Pengembaraan di Australia

Idea Australia selanjutnya