Berkanu dan berkayak di Australia

Berkanu dan berkayak di Australia

Dari serokan yang tenang dan air buri ke sungai dan gaung yang indah, Australia menyediakan banyak tempat untuk berdayung.  Berkanu menyusuri Blackwood River yang berliku-liku melalui barat daya Western Australia atau sepanjang jalan air tenang yang berselirat di Coorong di South Australia.  Berkayak laut dari St Kilda Beach di Melbourne atau di bawah Harbour Bridge di Sydney.  Berakit merentasi jeram yang mengganas di Franklin River di Tasmania atau Tully River di North Queensland.  Berkanu atau berkayak merentasi Katherine Gorge di Northern Territory atau berdayung di sekeliling Lake Burley Griffin di Canberra.  Sewa sebuah kayak untuk beberapa jam atau luangkan beberapa hari berkanu safari melalui salah satu taman negara kami yang asli.

Freycinet National Park, TAS
Freycinet National Park, TAS

Tasmania

Meluncur menyusuri perairan Hobart pada waktu senja atau pergi ke selatan menuju ke anak teluk terlindung di sekitar Kettering.  Jauh ke timur, mendayung melepasi cenuram batu igneus yang mengagumkan di Tasman Peninsula dalam satu lawatan berkayak dengan pemandu pelancong. Untuk mengalami pengembaraan, sertai ekspedisi kayak pelbagai hari ke Bathurst Harbour di Southwest National Park yang terpencil.  Berkayak laut melepasi gunung granit merah jambu dan pantai putih yang terpencil di Freycinet National Park.  Lihat dolfin di dalam air yang biru dan helang laut berlegar-legar di udara.  Berakit merentas North Esk River dari Launceston.  Menyusuri Franklin River yang deras atau berkayak melalui Gordon River yang tenang di hutan belantara yang tersenarai dalam Warisan Dunia berhampiran Strahan.  

Ningaloo Marine Park, WA
Ningaloo Marine Park, WA

Australia Barat

Berkanu menyusuri Blackwood River yang tenang dari Bridgetown atau Nannup di barat daya negeri ini.  Menyusur sepanjang Frankland River melepasi kawasan hutan jarang dan hutan simpan dari Walpole, jauh ke selatan.  Meluncur melepasi helang, burung yang pandai menyanyi dan burung randuk tanah lembap di tebing berbatu Murchison River di Kalbarri National Park di utara.  Berakit meredah Avon River yang deras dari Northam dan di sinilah perakit profesional berdepan dengan arus Multiplex Avon Descent yang mencabar pada setiap bulan Ogos.  Berkayak bersama ikan yang berwarna-warni dan terumbu di Ningaloo Reef dan bersama dolfin di Monkey Mia.  Berdayung berhampiran singa laut, penguin kecil dan dolfin di Seal Island dan Penguin Island berhampiran Rockingham.

Murray River National Park, SA
Murray River National Park, SA

Australia Selatan

Berkayak bersama dolfin, bangkai kapal karam dan bakau di Port River yang terletak hanya 15 minit dari pusat Adelaide.  Berkanu dengan pemandu pelancong Orang Asli melalui tasik, sungai dan lagun Murray River yang indah pemandangannya.  Meluncur dari Loch Luna melepasi burung dan tapak warisan Orang Asli serta terokai labirin Chowilla yang mempunyai billabong (tasik ladam) yang bersambung antara satu sama lain atau bersiar-siar dari Katarapko Creek.  Di Coffin Bay National Park, anda boleh berkayak di laut melepasi cenuram purba, pantai dan gumuk pasir.  Berkayak di sepanjang lagun dan laluan air di Coorong dengan pemandu pelancong Orang Asli.  Berkayak di laut dari Tumby Bay dan Port Lincoln melalui Sir Joseph Banks Group Conservation Park.

Gippsland Lakes, VIC
Gippsland Lakes, VIC

Victoria

Berkanu di Yarra River, Melbourne dari Docklands ke Federation Square dan tempat lain.  Berkayak di St Kilda Beach atau lihat anjing laut dan dolfin semasa lawatan harian di Mornington Peninsula.  Belajar untuk berkayak di laut dari Anglesea dan Apollo Bay di sepanjang Great Ocean Road.  Di Grampian, anda boleh mendayung di perairan Lake Bellfield, Lake Fyans atau Lake Wartook.  Berakit di Mitta Mitta River atau Howqua serta Delatite River di High Country, Victoria.   Di Gippsland anda boleh berkanu dan berkayak melalui Snowy River atau menyusur dari Bairnsdale di sepanjang Mitchell River ke Gippsland Lake.  Sertai pengembaraan berkayak di Upper Murray River berhampiran Corryong.

Sydney, NSW
Sydney, NSW

New South Wales

Berkayak dari Rose Bay ke pantai di Sydney Harbour atau mendayung di sekitar Manly.   Berkayak melalui Royal National Park dari Bundeena di selatan Sydney.  Susuri Colo River di Hawkesbury Valley yang terletak di sebelah barat Sydney.  Berkanu di Edward River yang dikelilingi barisan pokok gam di Deniliquin yang terletak di pusat luar bandar negeri ini.  Di North Coast, berkayak dengan dolfin di  Nelson Bay atau melalui Bongil Bongil National Park.  Berakit di Nymboida River atau di Barrington Tops National Park.  Menyusur sepanjang Bellingen River atau melalui hutan bakau Ballina.  Di selatan Sydney, berkayak di laut di Jervis Bay atau berkanu melalui Kangaroo Valley.   Berkayak melalui hutan belantara di Ben Boyd National Park di Sapphire Coast yang terletak jauh ke selatan.

Brisbane, QLD
Brisbane, QLD

Queensland

Berkanu, berkayak atau berbasikal-akua di sekitar Moreton Bay, berhampiran Brisbane.  Di selatan Gold Coast, ketahui tentang sejarah perkayakan sungai Orang Asli kawasan ini dengan pemandu pelancong Balunjali tempatan.  Berjumpa dengan dolfin, penyu, ikan pari dan ikan semasa berkayak dari 1770.  Dari Cairns, berakit di lebih daripada 45 sungai yang deras arusnya di Tully River atau terapung dengan bot boleh kembung menyusuri  Barron River di Barron Gorge National Park.  Berakit menyusuri arus deras di North Johnstone River atau arus yang lebih perlahan di Russell River.  Berkayak dari Mission Beach ke Dunk Island dan pulau lain yang dilitupi hutan hujan di Great Barrier Reef.   Di pedalaman Queensland, berkanu di Lawn Hill Gorge di Boodjamulla National Park atau di sepanjang air kekal di Muttaburra.

Lawn Hill, NT
Lawn Hill, NT

Wilayah Utara

Berkanu atau berkayak di Katherine River melepasi hutan pokok gelam dan pandan serta dinding batu pasir yang dramatik di Katherine Gorge  Pergi dan balik pada hari yang sama atau meluncur melalui lapan gaung yang bersambung antara satu sama lain dalam perjalanan satu malam.  Mengembara dengan pemandu pelancong Orang Asli dan ketahui tentang kepentingan kawasan ini kepada pemilik Jawoyn tradisional.  Berkhemah di atas pantai yang putih di tepi sungai.   Lihat pelbagai jenis burung, rama-rama yang berwarna-warni, buaya dan ikan.  Penggemar berkanu sejati boleh menghabiskan enam hari berdayung ke takat sungai di Daly River.   Di Flora River Nature Park yang terletak di sebelah barat daya Katherine, anda boleh berkanu menyusuri laluan air yang tenang melepasi empangan tufa dan tumbuhan sungai yang rimbun.

Lake Burley Griffith, ACT
Lake Burley Griffith, ACT

Wilayah Ibu Kota Australia

Berdayung di sekeliling Lake Burley Griffin di Canberra dengan berkanu, berkayak atau berbasikal hidro.  Berdayung dan terapung dari Commonwealth Place melepasi Captain Cook Memorial dan taman yang dihias indah.  Lihat angsa hitam dan burung lain di kawasan tanah lembap Kingston Harbour.  Anda juga boleh berkayak merentasi Lake Burley Griffin menuju ke Molonglo River dalam satu lawatan wain dan makanan.  Menjamu selera dengan makanan wilayah sambil melihat ladang anggur hingga bangunan kebudayaan ikonik di Canberra.  Dari Canberra, anda boleh berkanu menyusuri Googong Foreshores yang senyap dan dikelilingi belukar yang terletak di selatan Queanbeyan.  Belayar melepasi Limestone Bridge Arch iaitu peninggalan batu kapur yang tertanam di dasar laut 420 juta tahun dahulu.

Berkanu dan berkayak di Australia

Idea Australia selanjutnya