Selami dasar lautan Australia

Selami dasar lautan Australia

Dikelilingi oleh air dan kaya dengan pulau-pulau dan terumbu, Australia adalah impian para penyelam. Perairan kami menjadi tempat berlindung khazanah hidupan marin, dengan lebih 4000 spesies ikan dan kepelbagaian jenis rumpai laut tertinggi di dunia. Berenang dengan yu paus yang besar tapi mesra di Terumbu Ningaloo atau dengan singa laut dan lelumba di Semenanjung Eyre Selatan. Belajar menyelam di Terumbu Sawar Besar Queensland – organisma hidup terbesar di dunia. Atau bersnorkel di Clovelly yang terlindung dan begitu indah pemandangannya di Sydney. Temui kapal selam yang diselaputi kerak kelpa di luar pesisir pantai Semenanjung Mornington atau terokai selirat gua dalam laut di sepanjang pantai timur Tasmania. Perairan suhu sederhana kami mengimbau anda, maka selamlah.

Tujuh tempat yang wajib dikunjungi oleh para penyelam:

Terumbu Sawar Besar, QLD
Terumbu Sawar Besar, QLD

1. Terumbu Sawar Besar, Queensland

Jangan ketinggalan untuk mengunjungi Terumbu Sawar Besar yang tersenarai sebagai Warisan Dunia, ciptaan agung Tuhan yang cukup besar hingga ia boleh dilihat dari angkasa lepas. Ia mengunjur hampir 2,000 kilometer di sepanjang pantai Queensland, dari Cape York ke Bundaberg. Tinggal di Pulau Heron, Lizard atau salah satu daripada Kepulauan Whitsunday dan saksikan Terumbu Heart yang hebat dalam penerbangan khas. Menginap di Cairns atau Port Douglas dan kunjungi taman terumbu dengan jalinan kompleks and berwarna cerah di Pulau Green dan Fitzroy. Berjalan lebih jauh ke Terumbu Agincourt, di pinggir pentas benua. Menyelam melalui ngarai karang yang dipenuhi penyu, tapak sulaiman dan ketam di Lady Musgrave Island dan Lagun Fitzroy berhampiran Gladstone. Terokai bangkai kapal SS Yongala dari Townsville dan Llewellyn dari Mackay.

Ningaloo Reef, WA
Ningaloo Reef, WA

2. Ningaloo, Australia Barat

Sertai parti warna-warni tropika di Taman Marin Ningaloo, terumbu pinggir laut terbesar di dunia. Ia merupakan habitat bagi 200 spesies karang, 50 karang lembut dan lebih 500 spesies ikan. Snorkel atau menyelam di perairan cetek bersama ikan-ikan berwarna-warni di tempat perlindungan terumbu Bundegi Bombies. Dekati bunga karang yang dilihat dalam kisah sains fiksyen, gorgonia dan cambuk laut di mulut Teluk Exmouth. Bermesra dengan antara lain penyu, pari kola, dolfin, dugong, ikan kelawar, ikan angel dan ikan badut, di Lighthouse Bay. Terokai terumbu yang luar biasa dan penghuninya yang indah di Murion Islands. Di antara April dan Jun anda boleh bermesra dengan yu paus, ikan terbesar di dunia.

Semenanjung Mornington, VIC
Semenanjung Mornington, VIC

3. Semenanjung Mornington, Victoria

Menyelam dengan ikan pari, kuda laut, sotong katak, sotong, landak laut, ikan kod batu dan naga laut rumpai di Taman Marin Port Phillip Heads. Dunia marin yang menakjubkan ini terletak di luar pesisir pantai Semenanjung Mornington, hanya sejam memandu dari Melbourne. Berasa takjub dengan jumlah ikan, mergastua dan anjing laut yang banyak di tempat perlindungan Popes Eye yang tidak begitu luas. Berenang dengan dolfin di Sorrento. Menjunam dari 8 ke 18 meter, melewati cenuram, belebas dan gua dalam laut di Terumbu Kelp Beds. Atau menyelam lebih dalam di Port Phillip Heads, yang menawarkan selaman dinding, tempat turun dan kapal selam Perang Dunia Pertama yang telah ditenggelamkan. Belajar menyelam di Jeti Portsea dan temui pelbagai jenis ikan di laluan sekitar Jeti Rye.

Semenanjung Tasman, TAS
Semenanjung Tasman, TAS

4. Laluan Selaman Pantai Timur, Tasmania

Berkunjung di antara 11 tapak selaman yang terhebat sepanjang pantai timur Tasmania, dari Binalong Bay hingga ke Semenanjung Tasman. Kejernihan air berwarna firus di sini membolehkan anda melihat sedalam 10 hingga 40 meter. Saksikan kuda laut berperut besar dan naga laut seperti rumpai air dalam selaman pesisir di Waubs Bay, berhampiran Bicheno. Luncur melewati anemon seperti manikam dan saksikan kumpulan rama-rama hinggap di Rizab Alam Semula Jadi Marin Pulau Governor. Berenang melalui gua yang menakjubkan di Isle de Phoque, yang turut menjadi tempat kediaman koloni anjing laut yang besar. Selam ke Troy D yang ditenggelamkan berhampiran Maria Island atau dari bot ke dalam terumbu dan gua yang besar di Waterfall Bay. Berenang melalui Hutan Fortescue Bay Kelp atau mengelilingi SS Nord, yang telah tenggelam ke paras 40 meter pada tahun 1915.

Baird Bay, SA
Baird Bay, SA

5. Baird Bay, Australia Selatan

Berenang, bersnorkel atau menyelam dengan singa laut dan dolfin hidung botol yang suka bermain-main di Baird Bay yang tenang di Semenanjung Eyre. Perkampungan nelayan ini terkenal dengan koloni singa laut yang terancam yang tinggal di sebuah lagun terlindung luar pesisir. Saksikan ibu bapa dan anak berguling dalam air bening, dari jarak yang sangat hampir. Renung ke dalam mata coklat mereka yang sayu dan izinkan mereka menguit anda untuk mengajak anda main. Menyelam di air yang lebih dalam bersama-sama sekumpulan dolfin yang suka bermain, namun agak lebih sukar ditemui. Di Port Lincoln yang berhampiran, anda boleh berenang dengan sotong dan tuna bahkan anda boleh menyelam dalam sangkar dengan ikan yu putih.

Pelabuhan Darwin, NT
Pelabuhan Darwin, NT

6. Pelabuhan Darwin, Wilayah Utara

Selami bangkai kapal Perang Dunia II dan terumbu pantai yang dipenuhi ikan di Pelabuhan Darwin. Lebih kurang setiap minggu kedua, arus pasang surut membolehkan anda meneroka rahsia bawah laut. Berenang melalui bangkai kapal, yang tenggelam semasa serangan udara 1942 dan kini menjadi tempat tinggal ikan trout karang, yu wobbegong, ikan jew dan barakuda. Saksikan gorgonia, pepohon karang lembut, karang hap, bunga karang pasu dan askidian dalam terumbu cetek yang menyempadani kedua-dua belah pelabuhan. Saksikan matahari terbenam berwarna merah jambu flamingo yang terkenal di Darwin sebelum menyelam pada waktu malam, dalam air laut sebening cermin. Anda akan berpeluang mengimbas landak laut pensil sabak dan ada kalanya sotong kurita dalam air yang disinari cahaya semula jadi.

Gordons Bay, NSW
Gordons Bay, NSW

7. Clovelly dan Gordons Bay, New South Wales

Temui komuniti ikan warna-warni pelangi di terusan berbatu batan nan indah Clovelly serta Gordons Bay yang berhampiran. Di sini, cuma lapan kilometer dari CBD Sydney, kerapu biru, bream, jenahar, ikan raja, ikan devi biru timur, sotong katak besar dan sejenis ikan semilang banyak terdapat di lautan ini. Pergi menyelam pada waktu malam di Clovelly Pool yang terlindung atau harungi ombak yang lebih besar di luar pesisir Sharks Point, di hujung utara Clovelly. Berenang mengelilingi Gordons Bay dalam Laluan Alam Semula Jadi Dasar Laut sejauh 500 meter, melewati terumbu berbatu batan, dataran berpasir dan hutan kelpa. Di kalangan hidupan marin yang anda mungkin jumpai adalah ikan rumpai air, naga laut, wobbegong dan jerung Port Jackson, serta tapak sulaiman laut, lintah bulan dan landak laut.

Selami dasar lautan Australia

Idea Australia selanjutnya