Masa Yang Amat Menyeronokkan

Masa Yang Amat Menyeronokkan

Setiap musim dingin, saksikan paus kelasa meluncur melalui Byron Bay dan Hervey Bay. Anda pasti terpegun dengan komunikasi akrobatiknya yang kompleks dan dengari irama paus jantan yang mempesona menggunakan hidrofon. Saksikan pergerakan lemah gemalai paus southern right sambil mereka berenang ke utara di jalur pantai Australia Barat dari Geographe Bay, Dunsborough dan Albany. Atau cari haiwan terancam ini – yang pernah satu ketika dahulu diburu sehingga hampir pupus – dari sanktuari paus Head of Bight atau Pelabuhan Victor di Australia Selatan. Lihat mereka mengawan dan melahirkan anak di perairan Warrnambool yang dijadikan nurseri atau tiba dari perairan Antartika bersama-sama dengan paus kelasa di Great Oyster Bay Tasmania yang indah. Bermula dari penghujung April, paus southern right berhijrah ke perairan suhu sederhana di luar pesisir pantai Australia Selatan dan Victoria untuk membiak. Sementara itu, ikan paus kelasa yang bertenaga meneruskan perjalanan ke perairan tropika yang lebih panas sepanjang pantai barat dan timur. Ini bermakna antara Mei dan November, anda boleh melihat mamalia hebat dari banyak tempat yang indah pemandangannya di sepanjang pantai Australia.

Masa Yang Amat Menyeronokkan

Australia Barat

Australia Barat

Saksikan paus kelasa dan southern right bermain-main di Flinders Bay Augusta dari awal Jun. Atau menghala ke Dunsborough pada September, apabila ikan paus biru dan anaknya menyertai dolfin hidung botol di Geographe Bay. Paus southern right, kelasa dan pigmi juga meluncur ke utara dalam penghijrahan mereka melalui air akuamarin ini. Tinjau mereka dari rumah api Cape Naturaliste atau hampiri dan saksikan dari kapal persiaran khusus untuk menyaksikan paus. Lebih jauh ke selatan, pantai Albany yang berceranggah menjadi satu lagi tempat tontonan yang amat menarik. Antara Julai dan Oktober, saksikan paus southern right dan kelasa mengawan dan melahirkan anak dalam laut hijau yang terbentang luas di King George Sound. Ketahui mengenai haiwan bijak ini di muzium interaktif paus di Albany, yang pada satu ketika dulu pernah menjadi stesen memburu paus.

Australia Selatan

Australia Selatan

Berdiri di puncak cenuram sekitar Encounter Bay di Victor Harbor dan saksikan paus southern right yang hampir pupus datang ke sini untuk membiak di antara Mei dan Oktober. Atau naiki kapal pesiaran dari jeti Granit Island untuk melihat mereka bermain dengan anak mereka di perairan Semenanjung Fleurieu yang lebih dalam. Dari Ceduna, lebih jauh di sepanjang pesisir pantai Australia Selatan yang berliku-liku, anda boleh menyaksikan ikan paus melakukan pergerakan balik kuang gerak perlahan dari pelantar cerap atau pantai. Sering kali mereka akan datang ke jarak lebih kurang beberapa ratus meter dari Cenuram Bunda yang tinggi. Anda juga akan dapat melihat singa laut dan ikan yu putih besar. Untuk melihat secara lebih dekat, naiki bot ke perairan sanktuari ikan paus yang dilindungi di Head of Bight.

Victoria

Victoria

Berdiri di Pantai Logans, Warrnambool, tempat paus southern right melahirkan anak, di nurseri yang hampir dengan pantai, antara Jun dan September. Mereka tinggal di sini selama beberapa minggu, dalam usaha membantu bayi mereka membina tenaga untuk perjalanan ke perairan sub –Antartika yang jauh. Sementara itu, paus jantan, yang berusia sekitar setahun, dan yang hampir dewasa menunggu agak jauh di tengah laut. Saksikan detik indah ibu dan anak berinteraksi dari pelantar cerap yang terletak di atas gumuk pasir. Atau menuju ke Lady Bay, tempat ibu-ibu baru sering datang hampir ke pantai, sehingga ada kalanya cukup hampir sehingga anda dapat merasai semburan pemecah air mereka. Ucapkan tahniah kepada mereka dalam pelayaran untuk mencari ikan paus, atau tinjau kepala putih mereka yang berbelulang dari tingkap pesawat ringan di udara. Pada Mei, anda mungkin dapat melihat paus biru yang amat sukar ditemui semasa bulan terakhir mereka mencari makan di Cape Nelson dekat Portland.

Tasmania

Tasmania

Dari Mei, anda boleh melihat paus kelasa dan southern right berenang-renang di tepi pantai melalui perairan yang bening, biru kehijauan di Great Oyster Bay di luar pesisir Semenanjung Freycinet. Naiki kapal pesiaran hidupan liar dari Coles Bay dan saksikan mereka berenang-renang melalui Laut Tasman yang merupakan laluan penghijrahan purba. Dengan pemandangan indah yang meliputi hutan, cenuram granit merah jambu dan pantai putih bersih yang terpencil, anda akan memahami mengapa ikan paus southern right sering tinggal di sini untuk beberapa tempoh yang lama! Anda mungkin dapat melihat beberapa ekor di Mercury Passage, di luar pesisir Maria Island. Atau menuju ke Bruny Island yang liar dan indah, hanya seketika dengan kenderaan dari Hobart. Di sinilah, di Adventure Bay yang mereka lazimnya dilihat.

New South Wales

New South Wales

Belayar keluar dari Pelabuhan ikonik Sydney ke hulu sungai, di mana antara Mei dan lewat November, paus kelasa berenang ke pantai timur. Dari darat, tempat terbaik untuk menyaksikan haiwan ini di Sydney adalah dari The Gap di South Head. Pada Jun pula anda boleh melihat haiwan yang besar dan lemah lembut ini di Byron Bay. Tinjau dari rumah api Cape Byron – ikan-ikan paus ini bermain hanya beberapa ratus meter sahaja dari tempat paling timur Australia. Atau dengari irama paus jantan yang memukau menggunakan hidrofon pada bot yang digunakan untuk melihat ikan paus. Di sebelah selatan Sydney, anda hampir pasti melihat paus di perairan tenang lagi bening di Taman Marin Jervis Bay, yang turut menjadi kediaman dolfin hidung botol.

Queensland

Queensland

Anda akan disimbah oleh tindakan paus kelasa menampar air dengan ekornya dan mengipas sayapnya di Hervey Bay, antara akhir Julai dan awal November. Inilah ibu kota tempat menyaksikan ikan paus di Australia, tetapi anda juga boleh melihat haiwan ini dengan baik dari Point Lookout di Pulau Stradboke Utara, dekat Brisbane. Belayar menaiki kapal pesiaran dari Mooloolaba di Sunshine Coast atau Gold Coast, di mana anda mula boleh melihat hanya 20 minit selepas belayar dari pantai. Untuk melihat secara lebih dekat, hala ke Port Douglas untuk berinteraksi dengan Paus Minke Kerdil di Terumbu Sawar Besar. Anda akan menemui makhluk yang suka bergurau, dan cerdik ini semasa anda bersnorkel dari tali-tali yang terikat pada bot.

Masa Yang Amat Menyeronokkan

Idea Australia selanjutnya