Ketahui lebih lanjut tentang pengalaman masak-memasak yang terdapat di Australia – bahagian yang menyeronokkan dalam syurga makanan. Chef dan pembuat wain kami telah menimba ilmu dari pakar yang terbaik, kemudian mengolahnya untuk menghasilkan makanan dan wain mengikut cita rasa mereka sendiri. Mereka telah mengubah hasil tanaman menjadi wadah tumpuan masakan dan wain yang memenangi anugerah. Sama ada anda mahu sepinggan makanan laut yang segar, Riesling yang rancak, masakan Asia yang moden atau sosej buaya, Australialah tempatnya. Sebagai tuan rumah yang mesra dan mengalu-alukan kedatangan tetamunya, serta faham selok-belok kami, kami pasti anda tidak akan lupakan kenangan bersama kami.
Lapan cara untuk menikmati makanan dan wain Australia
Selamat datang ke Mindil Beach Sunset Market Darwin di mana anda boleh alami udara Asia Pasifik dalam suasana tropika yang menyamankan. Pohon kelapa yang meliuk ditiup angin sewaktu matahari terbenam, dengan aroma sate yang berdesir dan mi yang pedas di udara. Dibuka setiap malam Khamis dari bulan Mei hingga Oktober, pasar yang popular ini mempunyai lebih daripada 60 gerai makanan yang mampu memenuhi selera anda pada waktu malam.
Di sebalik pinggir Melbourne terdapat Lembah Yarra - sebuah tempat menarik yang bersih, air bersih yang sejuk dan segar serta suasana yang mesra. Di sebalik bukit yang beralun, terdapat 55 buah tempat penghasilan wain, yang terdiri dari perusahaan kecil milik keluarga hinggalah ke Chateau Yering dan Domain Chandon yang terkenal. Nikmati makan malam di restoran gourmet dan rasai pinot noir, chardonnay dan wain dalam suasana seakan-akan di wilayah ladang wain Perancis dan Itali.
Barossa Valley, Australia Selatan
Hirup wain dari lebih daripada 60 tempat simpanan wain, termasuk Yalumba, Wolf Blass dan Peter Lehman di ibu kota wain Australia. Di Barossa anda berpeluang menemui mereka yang bekerja keras menjayakan label-label terkenal dan berbual dengan mereka mengenai kemahiran mereka. Anda juga boleh memadankan wain kegemaran anda dengan keju tempatan dalam jejak makanan dan wain, kunjungi kilang wain bersejarah, belajar merasa wain atau ketahui rahsia simpanan wain daripada pakar wain. Pastinya, tiada sesuatu yang dapat mengalahkan makan tengah hari yang panjang di bawah teduhan pepohon gum dengan sebotol wain terkemuka di wilayah ini, Barossa Shiraz atau Eden Valley Riesling.

Nikmati pinot noir, cabernet chardonnay di Lembah Sungai Coal yang teramat indah pemandangannya, dengan memandu hanya 10 minit dari Hobart. Rasai wain iklim dingin di tempat simpanan wain dan rasai hasil Tasmania yang segar di restoran ladang anggur di sini. Hayati pemandangan indah perairan ini dan berhenti di perkampungan bersejarah Richmond sebelum menyempurnakan perjalanan sehari anda yang mempesona.
Nikmati pemandangan lautan yang mengagumkan sambil menikmati makanan di pelbagai tempat makan tepi pantai di Bondi. Nikmati gelato di Bondi Pavilion gaya 1920an atau saksikan sang suria melabuhkan tirai dengan segelas koktel di salah sebuah restoran terkemuka di sini. Di kafe yang terletak di Campbell Parade, Hall Street dan berkumpulan sekitar lorong-lorong Bondi, anda akan mendapati segala-galanya dari tapas hinggalah ke sarapan pagi lewat yang terbaik di dunia hinggalah ke ikan dan kentang goreng klasik.
Swan Valley, Australia Barat
Manjakan diri anda dengan hasil tempatan yang segar dan berkualiti serta wain yang telah meraih anugerah di wilayah wain tertua di Australia Barat dengan menaiki bot dari Perth. Nikmati pemandangan ladang anggur, air terjun dan belukar yang subur dalam perjalanan melayari Swan River. Kemudian berlabuh seketika untuk merasai wain di simpanan wain, kunjungi kilang bir kecil-kecilan dan ladang anggur atau berkelah makan tengah hari. Lembah Swan juga hebat untuk menunggang kuda, menunggang basikal, bermain golf, meninjau hidupan liar dan mengembara berjalan kaki ke tempat-tempat bersejarah. Tinjau kedai antik, pub dan galeri di kampung bersejarah Guildford sebelum menghala pulang.

Jamu selera dengan buah-buahan tempatan seperti pisang, betik, mangga, nanas dan laici yang dihidangkan dalam ‘mangkuk buah eksotik dunia’ berdekatan Cairns. Tetapi, ada lagi selain buah-buahan yang hidup subur di tanah gunung berapi yang subur, lingkaran hutan hujan yang menghijau dan perairan tropika yang bersih di kawasan ini. Cubalah makanan laut, daging buruan, pasta buatan segar dan makanan belukar organik. Lawati kebun permakultur organik di dalam hutan hujan, nikmati makan malam barramundi segar yang baru ditangkap di Cairns atau rasai makadamia dan kopi di ladang dataran tinggi.

Lawati tempat penghasilan wain, kafe desa, galeri seni dan studio kraf dengan memandu sendiri merentasi kawasan desa Canberra. Inilah kawasannya di mana anda boleh menikmati buah-buah hasil tempatan – meja sajian yang dipenuhi makanan dan sebotol wain bermutu tinggi tahun lepas yang enak. Duduk di perbaringan dan nikmati sarapan sambil bermalas-malas di atas katil yang bersalut cadar linen yang dingin dan juga dengari kicauan burung di beranda. Beli barangan kaca dan tembikar buatan tangan dari galeri dan rasai daging panggang api kayu dan wain buatan sendiri di ladang.