Luxury Lodges of Australia

Luxury Lodges of Australia

Luxury Lodges of Australia adalah koleksi telatap mewah dan kem yang dimiliki serta dikendalikan secara persendirian, menawarkan pengalaman yang tidak dapat dilupakan di beberapa lanskap Australia yang paling mengilhamkan.

Setiap telatap menawarkan pengalaman dan aktiviti tulen untuk mempamerkan ciri rantaunya yang unik - lanskap semula jadi, hidupan liar, makanan dan wain. Pengalaman inilah yang mentakrifkan kemewahan Australia yang baru dan mempamerkan kepelbagaian Australia yang luar biasa.

Dari kem belukar yang mempunyai keistimewaan tersendiri hingga ke rumah ladang warisan dan stesen lembu yang sedang beroperasi - di seluruh Australia anda akan mendapati telatap yang peka terhadap alam sekitar ini terletak di pinggir taman negara; di antara bukit padang pasir; menghadap lautan; di pulau yang dipinggiri dengan terumbu karang Warisan Dunia; serta di tengah hutan hujan yang murni.

Telatap ini menyediakan penginapan untuk hanya beberapa penginap pada satu masa. Anda boleh berehat dan menenggelamkan diri dalam persekitaran alam semula jadi, hidupan liar serta makanan dan wain Australia, sementara dijamin yang anda akan mendapat penginapan mewah dan layanan baik cara Australia yang penuh perhatian namun tidak menonjol.

Telatap Mewah di Australia Barat

Cape Lodge
Cape Lodge

Cape Lodge

Terletak di ladang anggurnya sendiri di rantau wain Margaret River di Australia Barat, menginap di Cape Lodge seperti tinggal di ladang persendirian di desa, yang mempunyai kemudahan yang sama dengan hotel butik bertaraf dunia. Ini akan menguja mereka yang mencari tempat peranginan persendirian yang anggun dan makanan dan wain yang lazat.

El Questro
El Questro

El Questro

Kemewahan rumah ladang El Questro Homestead amat berbeza dengan lanskap Kimberley yang berceranggah di Australia Barat. Terletak di pertengahan taman belantara seluas sejuta ekar dan sejauh 100 km dari kota terdekat, The Homestead menawarkan tempat peranginan eksklusif untuk hanya 18 orang penginap. Juru pandu pakar akan membantu penerokaan belantara Australia ini – dengan pengembaraan berjalan kaki berpandu, berjalan kaki di kawasan gaung atau berendam di dalam kolam terma. Sertai penerbangan berpemandangan melintasi Bungle Bungle Range yang tersenarai dalam Warisan Dunia di Purnululu National Park. Rendam keluar segala masalah yang membebani fikiran anda di dalam kolam air panas semula jadi atau duduk berehat sambil membaca buku di bawah pokok Boabab.

San Salis
San Salis

San Salis

Sal Salis terletak hanya beberapa langkah jauhnya dari Ningaloo Reef, kawasan Australia yang tersenarai dalam senarai Warisan Dunia. Sembilan khemah belantara mewah yang tersembunyi di antara bukit pasir membawa sentuhan gaya safari ke belantara indah yang terpencil ini. Ningaloo Reef dianggap sebagai salah satu tempat yang terbaik di dunia untuk berenang bersama ikan yu paus gergasi yang jinak dan berhijrah di sini setiap tahun. Ia juga merupakan kawasan membiak bagi ikan paus kelasa dan penyu. Cape Range National Park yang berhampiran melimpah-ruah dengan kanggaru, emu dan hidupan liar Australia.

True North
True North

True North

Di Australia Barat anda boleh mendapatkan kemewahan di atas air juga. Belayar di atas kapal pelayaran pengembaraan True North dengan 18 kabin merupakan cara terbaik untuk melihat sungai, gaung dan belantara The Kimberley yang terpencil pada garis pantai Australia. Terdapat helikopter di atas kapal dan 6 bot ekspedisi, 19 kru pakar yang menyediakan khidmat serta makan malam yang terulung untuk tidak lebih daripada 36 penginap. Dapatkan wawasan tentang lanskap yang unik ini dengan juru pandu yang pakar dan ekspedisi harian yang pelbagai.

Telatap Mewah di Wilayah Utara

Bamurru Plains
Bamurru Plains

Bamurru Plains

Bamurru Plains menawarkan pengalaman belukar yang luar biasa di pinggir Kakadu National Park di Wilayah Utara Australia. Kem yang peka terhadap alam sekitar ini memfokus pada kelestarian alam semula jadi dan perkhidmatan yang berkualiti. Kem sembilan banglo yang eksklusif ini menawarkan semua standard utama kemewahan yang lembut – makan sedap, tidur nyenyak dan minum yang baik. Lokasinya yang betul-betul terletak di dataran banjir Mary River memastikan supaya penginap diperkenalkan kepada pemandangan dan bunyi yang terbaik dan bergaya. Pasukan juru pandu lapangan Bamurru yang bersemangat menawarkan pelbagai aktiviti dari kem itu, termasuk menaiki bot udara juga lokasi yang amat indah di dataran banjir di mana hutan melaleuca yang terendam dan pokok telepok yang berekar-ekar memenuhi horizon, lawatan memerhati buaya dan burung, lawatan memancing, safari pacuan empat roda, penerbangan helikopter dan lawatan berpandu ke galeri seni batu di Arnhem Land - kawasan pedalaman peribumi Australia. Pada waktu malam, penginap boleh berehat sambil menikmati makanan gourmet dan ‘kemewahan belukar liar’ yang menjadi tanda dagangan Bamurru Plains.

Longitude 131°
Longitud 131°

Longitud 131°

Longitud 131° yang mewah dan romantik, merupakan kem perkhemahan ikonik yang peka kepada alam sekitar. Ia terletak jauh di pedalaman Australia di pintu gerbang belantara kembar Uluru-Kata Tjuta National Park yang tersenarai dalam Warisan Dunia. Setiap satu daripada 15 suite kekal berbumbung yang peka terhadap alam sekitar dapat menyaksikan warna Uluru apabila matahari naik dan terbenam. Nikmatilah makan malam di bawah bintang kanopi yang bergemerlapan dengan bunyi didgeridoo yang bergema dalam malam padang pasir. Sertai lawatan eksklusif dengan juru pandu Orang Asli anda dan temui pengalaman pedalaman yang tulen. Anda dapat mempelajari tentang pemilik tradisi budaya lain, melihat flora dan fauna dan menemui lanskap yang hidup, kaya dengan sejarah serta merupakan pusat spiritual dan geografi Australia.

Telatap Mewah di Australia Selatan

Southern Ocean Lodge
Southern Ocean Lodge

Southern Ocean Lodge

Southern Ocean Lodge di Kangaroo Island yang masih murni di Australia Selatan menawarkan gabungan alam semula jadi dan kemewahan. Telatap yang memenangi anugerah ini dianggap sebagai antara yang terbaik di dunia. Dengan mempunyai pemandangan lautan, pantai dan belantara yang menakjubkan, kesemua 21 buah suite mewah menghadap ombak beralun Southern Ocean yang hebat itu. Nikmati makan malam di restoran luar biasa yang menonjolkan hasil tani Kangaroo Island, dilengkapkan dengan pilihan wain eksklusif Australia Selatan. Lebih daripada sepertiga Kangaroo Island diuntukkan kepada taman negara dan pemuliharaan. Lawatan diperibadikan di Southern Ocean Lodge membolehkan penerokaan yang meluas dengan juru pandu yang pakar. Bersiar-siar di antara bunga liar yang hebat dan pokok gam yang tinggi menjulang. Terokai Remarkable Rocks dan Admirals Arch yang telah dibentuk oleh angin. Saksikan anjing laut yang berjemur malas di pantai dan temui haiwan yang paling jarang ditemui di kawasan belukar. Mendakilah ke rumah api di Cape Borda untuk meninjau pemandangan Australia Selatan yang terbaik.

The Louise
The Louise

The Louise

The Louise, yang dikelilingi oleh ladang anggur di rantau wain Barossa Valley Australia Selatan yang terkenal di seluruh dunia, menggabungkan penginapan mewah dengan salah satu pengalaman makan malam terbaik di Australia. The Louise berbangga dengan 15 buah suite yang mewah, setiap satunya mempunyai teres yang menghadap pemandangan ladang anggur yang berukuran beratus-ratus ekar dan mengagumkan. Pengenalan kepada pembuat wain dalam sesi peribadi dan aktiviti khusus yang lain boleh diatur untuk para penginap di The Louise. Menu harian ketua tukang masak untuk dicicip di restoran Appellation yang memenang anugerah mendapat pengiktirafan negara dan terus menjadi magnet kepada nomad makanan. Barossa Valley terkenal sebagai salah sebuah rantau pengeluar wain yang terkenal di dunia. Tempat asal lebih daripada 100 kilang pembuat wain dan lebih daripada 70 kilang mempunyai simpanan wain, ia adalah komuniti yang aktif dengan warisan budaya 150 tahun. Berseronoklah dengan aktiviti menaiki belon udara panas, penerbangan berpemandangan di dalam helikopter, menunggang basikal, berjalan kaki jarak jauh, urutan yang merehatkan, pasar tani, atau bersarapan dengan kanggaru.

Telatap Mewah di Queensland

Lizard Island
Lizard Island

Lizard Island

Tempat peranginan pulau di hujung utara Australia, Lizard Island benar-benar terlindung dari kawasan lain di dunia. Terletak di hujung Great Barrier Reef, Lizard Island dipinggiri oleh terumbu, yang mudah dicapai dari 24 pantai pasir putihnya, lebih 1000 hektar taman negara dan pemandangan lautan dari setiap sudut. Menyelam atau bersnorkel terus dari pantai di antara terumbu karang dan ikan tropika yang berwarna terang. Menginaplah di salah satu antara 40 suite persendirian di vila dan nikmati makanan lima bintang serta rawatan spa yang memanjakan diri. Terokai pantai yang lengang di mana jejak kaki yang akan anda lihat hanyalah jejak anda sendiri.

qualia, Hamilton Island
qualia, Hamilton Island

qualia, Hamilton Island

qualia adalah tempat yang mempunyai kecanggihan deria yang mendalam. Terletak di hujung utara Hamilton Island yang terlindung di Great Barrier Reef Australia, qualia mempunyai pilihan 60 pavilion perinadi yang berdiri sendiri, kebanyakannya mempunyai kolam terjun dan tempat mandi semula jadi di luar. Anda boleh menyertai pelbagai aktiviti air dari luncur kayuh, bersnorkel dan menyelam hingga melayari Whitsunday Islands. Manjakan dan rehatkan diri anda dengan rawatan spa di Sap qualia yang memenangi anugerah, atau bermain satu pusingan golf di satu-satunya padang golf pulau kejohanan di Australia, Hamilton Island Golf Club.

Silky Oaks Lodge
Silky Oaks Lodge

Silky Oaks Lodge

Di tanah besar di Tropical North Queensland, hanya 20 minit dari Port Douglas, terletak Silky Oaks Lodge. Telatap ini terletak di kawasan hutan hujan seluas 80 ekar bersempadan dengan Daintree National Park yang tersenarai dalam Warisan Dunia dan menghadap Mossman River yang indah. Daintree dikenali sebagai hutan hujan purba tertua yang masih hidup di bumi ini. Ia sesuai untuk didiami spesies hidupan serta safari. Lawatan berpandu Silky Oak ke dalam hutan hujan ini merupakan bahagian pengalamannya yang memukau. Selain itu, anda boleh menikmati makan malam yang lazat di restoran dalam rumah pokok tempat meninjau hutan hujan purba, kelas yoga awal pagi, memanjakan diri dengan rawatan di Healing Waters Spa, berenang dengan santainya di Billabong atau hanya menikmati pemandangan hutan dan sungai.

Spicers Clovelly Estate
Spicers Clovelly Estate

Spicers Clovelly Estate

Spicers Clovelly Estate menawarkan persekitaran yang merehatkan dengan 10 suite eksklusif yang terletak di antara kawasan subur seluas 22 ekar di pedalaman yang sunyi di Sunshine Coast, Queensland. Mempunyai daya tarikan cara lama, gaya kontemporari Perancis dan makan malam yang lazat di restoran semuanya mencirikan rumah besar desa yang romantik ini.

Spicers Peak Lodge
Spicers Peak Lodge

Spicers Peak Lodge

Dimiliki oleh pemilik yang sama, Spicers Peak Lodge merupakan telatap gunung bukan alpine yang tertinggi di Queensland, degan dikelilingi oleh Main Range National Park seluas 8000 ekar dan tersenarai dalam Warisan Dunia. Pergi berjalan kaki di belukar atau tunggang basikal bukit di hutan hujan tropika, manjakan diri di Spa Anise yang berdiri sendiri, nikmati makan malam terulung di restoran atau hanya nikmati pemandangan Main Range National Park dalam senarai Warisan Dunia, serta kawasan sekitarnya.

Telatap Mewah di New South Wales

Wolgan Valley Resort and Spa
Wolgan Valley Resort and Spa

Wolgan Valley Resort and Spa

Emirates Wolgan Valley Resort and Spa terletak di dalam lingkungan kawasan simpanan pemuliharaan dan hidupan liar di antara dua taman negara di persekitaran belukar Greater Blue Mountains yang termasuk dalam senarai Warisan Dunia. Telatap ini mempunyai 40 suite individu dengan kolam renang persendirian, makan malam khusus dan kemudahan mewah di tengah-tengah hutan belukar semula jadi seluas 4,000 ekar. Tempat peranginan ini melindungi habitat dan hidupan liar di sekelilingnya dengan aktif sambil menyediakan standard kelas pertama dan kualiti yang dijangkakan oleh pengembara dari seluruh dunia yang mencari pengalaman bertaraf tinggi. Nikmati serangkaian aktiviti berasaskan alam semula jadi termasuk kenderaan pacuan empat roda, lawatan warisan, berjalan kaki sambil menikmati alam semula jadi, memerhati hidupan liar dan menunggang kuda. Jangan ketinggalan memerhati salah satu walaroo albino yang amat jarang dijumpa di atas harta tanah ini ketika ia muncul keluar daripada tempat persembunyiannya pada waktu terbenam matahari.

Capella Lodge
Capella Lodge

Capella Lodge

Penerbangan pendek dari pantai timur Australia membawa anda ke ‘pulau harta karun’ yang sebenar. Lord Howe Island adalah syurga yang hilang ditelan masa dan dipelihara dengan elok. Capella Lodge mempunyai sembilan suite pantai kontemporari yang menghadap Lovers Bay yang romantik, dengan gunung kembar Mount Gower dan Mount Lidgebird yang jelas kelihatan menjulang naik di atas dan pemandangan luar biasa mengelilingi lautan. Makanan yang lazat di Lodge Restaurant mempamerkan hasil makanan laut tempatan dan hasil tani segar di rantau ini. Berehat di spa yang kecil dengan menu rawatan semula jadinya yang khusus untuk kerehatan sepenuhnya. Terokai jejak hutan hujan, pantai berpasir putih dan terumbu karang di hujung selatan dunia. Suak berbatu yang terpencil hidup dengan hidupan burung dan hidupan liar yang menakjubkan, yang kebanyakannya endemik pada pulau ini serta lembah melimpah dengan tumbuh-tumbuhan purba. Daki ke puncak Mt Gower yang ditarafkan sebagai lawatan berjalan kaki harian terbaik di dunia.

Telatap Mewah di Victoria

Lake House
Lake House

Lake House

Lake House terletak di pinggir Lake Daylesford yang indah di pusat Victoria’s Spa Country, hanya satu jam setengah perjalanan dari Melbourne. Berbangga dengan salah satu restoran serantau yang paling dihormati dan senarai wain pemenang anugerah dengan kira-kira 10,000 pilihan, Lake House merupakan pusat makanan moden Australia yang menampilkan hasil tani bermusim yang segar. Gabungan pelbagai studio artis, kafe, restoran hebat, spa butik penjagaan diri dan pusat penyembuhan holistik memberi Daylesford rupa bohemian yang anggun. Kesemua 33 bilik di Lake House dihiasi dengan hasil kerja seni asli secara individu dan berbeza antara satu sama lain dari rantau yang kaya dengan budaya ini. Daylesford mempunyai lebih banyak mata air galian daripada mana-mana tempat di Hemisfera Selatan dan spa penjagaan diri di tempat ini menawarkan cara manja untuk mengalami air penyembuh melalui rangkaian rawatan hidroterapi.

Telatap Mewah di Tasmania

Saffire
Saffire

Saffire

Saffire, tempat perlindungan di pantai timur Tasmania, menggabungkan kemewahan berkaki ayam dengan keindahan alam semula jadi Hazards Mountains yang menakjubkan serta air suci murni Great Oyster Bay dan Freycinet Peninsula. Dengan 20 suite mewah dan spa penjagaan diri, Saffire merupakan perayaan seni perkhidmatan, kesejahteraan, makanan tempatan yang digemari, lanskap purba dan hidupan liar yang melimpah-ruah. Terokai dengan bot dan temui pulau yang lengang, hutan belukar yang liar dan pantai yang terlindung dalam lawatan Schouten Island Experience. Daki gunung granit merah jambu dan hutan tepi laut yang kaya hingga ke pantai berpasir putih yang masih terpelihara di Wineglass Bay dan lebih jauh melalui Freycinet National Park. Sertai salah seorang juru pandu Saffire untuk berjalan kaki dengan santai selama dua jam ke rumah api Cape Tourville. Pergi berkayak, memancing ikan atau memerhati burung di sekitar perairan yang tenang di hadapan tempat peranginan. Jangan ketinggalan mendapatkan pengalaman khusus di Marine Farm, cara yang unik untuk menemui tiram dari dekat.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia