Great Walks of Australia

Great Walks of Australia

Aktiviti berjalan kaki adalah satu cara yang sangat baik untuk menenggelamkan diri anda di dalam alam sekitar semula jadi Australia. Great Walks of Australia adalah pengalaman bertaraf dunia dan merupakan aktiviti berjalan kaki berbilang hari dengan berpandu yang terbaik di Australia. Dari belantara murni Tasmania hingga pedalaman berceranggah di Wilayah Utara, ia merupakan penziarahan ke lanskap yang paling unik dan luar biasa di dunia. Anda tidak perlu meninggalkan keselesaan sama ada di rumah telatap eko, kem belantara yang unik, mandian air panas dan makanan gourmet untuk dinikmati di penghujung hari anda. Jadi, pakailah kasut but pengembaraan anda, pasangkan beg galas anda dan ikuti juru pandu anda dalam pengembaraan luar di Australia yang hebat.

Arkaba Walk, SA
Arkaba Walk, SA

Arkaba Walk, Australia Selatan

Merentasi Flinders Ranges yang purba di pedalaman Australia Selatan, lawatan berjalan kaki berpandu Arkaba Walk selama empat hari ini adalah pengalaman yang akan menenggelamkan anda dalam kisah tempat ini. Lebih daripada 600 juta tahun sejarah geologi bergema melalui kilauan merah pekat serta pemandangan pedalaman Wilpena Pound dan Elder Range yang luar biasa. Kanggaru, walaroo dan emu dapat selalu dilihat di sepanjang perjalanan. Di keliling unggun api, anda akan mendengar kisah perintis yang datang menetap di negara yang indah namun mencabar ini. Habiskan malam anda dengan berkhemah di bawah langit berbintang yang tidak berkesudahan dan kemudian nikmati keselesaan rumah ladang bersejarah tahun 1850-an yang telah dibaik pulih dengan anggun di Arkaba Station.

Bay of Fires Lodge Walk, TAS
Bay of Fires Lodge Walk, TAS

Bay of Fires Lodge Walk, Tasmania

Di tepi Mount William National Park di Timur Laut Tasmania, pinggir laut mengagumkan yang dikenali sebagai Bay of Fires kelihatan tidak terusik selama beribu tahun. Jaluran air berwarna firus dan tanjung berbatu yang murni ini menyediakan lanskap yang dramatik, kepelbagaian yang mengagumkan dan kelimpahan hidupan liar. Dari bulan Oktober hingga Mei, jalani pantai berpasir putih yang lembut, terokai suak dan berkayak di sepanjang Ansons River dalam lawatan berjalan kaki berpandu Bay of Fires Lodge Walk selama empat hari. Berehatlah di Forester Beach Camp atau dalam kemewahan Bay of Fires Lodge yang memenangi anugerah dan manjakan diri anda dengan hasil tani serta wain hasil tempatan Tasmania yang halus.

Cradle Mountain Huts Walk, TAS
Cradle Mountain Huts Walk, TAS

Cradle Mountain Huts Walk, Tasmania

Temui salah satu Kawasan Warisan Dunia Australia yang paling hebat sambil berjalan kaki melalui Overland Track yang terkenal di Cradle Mountain dan Lake St Clair National Park yang tenang dan indah. Cradle Mountain Huts Walk mempunyai dua jenis aktiviti berjalan kaki: aktiviti enam hari untuk mereka yang bercita-cita tinggi dan aktiviti empat hari untuk mereka yang tidak cukup masa. Anda akan berkelana melalui hutan hujan purba, melepasi air terjun serta padang rumput alpine dan dataran rumput 'button' yang dahulunya diliputi oleh glasier. Pada penghujung hari, berehatlah dalam kehangatan dan keselesaan Cradle Mountain Huts yang terpencil. Tambah perjalanan sampingan ke Mount Ossa, puncak tertinggi Tasmania.

Freycinet Experience Walk, TAS
Freycinet Experience Walk, TAS

Freycinet Experience Walk, Tasmania

Freycinet Experience Walk meliputi keseluruhan kepanjangan Freycinet Peninsula di pantai timur Tasmania. Pergilah berjalan kali di granit merah jambu Hazard Mountains dan hutan pantai yang kaya hingga ke pantai pasir Wineglass Bay yang murni. Perjalanan empat hari ini akan membawa anda jauh dari laluan biasa ke sudut yang jauh dan jarang diterokai di Freycinet National Park. Anda akan merasakan seolah-olah anda seorang sahaja yang wujud di dunia ini. Mengembaralah mengikut jejak kaum Oyster Bay Tribe, dengan berjalan pada laluan purba yang sama, yang dijalani mereka kira-kira 30,000 tahun yang lalu. Dialu-alukan setiap malam oleh Friendly Beaches Lodge yang memenangi anugerah; para penginap menikmati seni bina mengagumkan, layanan yang benar-benar mesra dan bilik peribadi dengan katil yang selesa.

Great Ocean Walk by bothfeet, VIC
Great Ocean Walk oleh bothfeet, VIC

Great Ocean Walk oleh bothfeet, Victoria

Dari bulan September hingga Mei, temui keindahan alam liar Australia dalam aktiviti Great Ocean Walk sepanjang 104-kilometer , salah satu laluan berjalan kaki berjarak jauh yang terulung di negara ini. Laluan ini merentasi seluruh Shipwreck Coast dan Great Ocean Road, di sepanjang garis pantai yang luar biasa di antara Apollo Bay dan Twelve Apostles yang ikonik. Denai ini hidup dengan hidupan liar yang asli: anjing laut berbulu, walabi, koala dan tumbuh-tumbuhan yang hanya terdapat di kawasan ini sahaja. Keseluruhan laluan ini mengambil masa tujuh hari, atau anda boleh memilih laluan yang lebih pendek selama empat hari. Setiap malam anda akan kembali ke keselesaan vila eko mewah bothfeet, dengan mandian panas, bilik mandi persendirian dan spa kaki serta makan malam yang hebat dengan makanan dan wain lazat yang disediakan oleh ketua tukang masak.

Larapinta Trail by World Expeditions, NT
Larapinta Trail oleh World Expeditions, NT

Larapinta Trail oleh World Expeditions, Wilayah Utara

Serapi pemandangan aneh dataran banjir yang luas terbentang, singkapan berbatu permatang pisau dan kebesaran tanah purba ini yang sangat indah, sambil berjalan kaki berpandu di sepanjang garis permatang West MacDonnell Range. Larapinta Trail yang panjangnya 72 kilometer amat sesuai bagi pejalan kaki yang berpengalaman dengan bahagian-bahagiannya yang mencabar. Ia mengambil masa kira-kira enam hari untuk menyelesaikannya. Anda akan mengikuti jejak pemilik tradisi, peneroka awal dan pengembara moden. Tidur di bawah bintang-bintang dengan gaya orang asli bushman yang dipanggil ‘swag’. Menginaplah di khemah belantara eksklusif sementara tuan rumah anda menyediakan makanan daripada hasil tani tempatan dalam kepencilan pedalaman Australia yang indah permai.

Maria Island Walk, TAS
Maria Island Walk, TAS

Maria Island Walk, Tasmania

Hanya beberapa tempat di bumi ini yang menawarkan ketenangan dan keindahan semula jadi yang belum tercemar seperti di Maria Island National Park, terletak hanya beberapa kilometer di luar pantai timur Tasmania. Ia merupakan gabungan hidupan liar yang jarang dijumpai, warisan banduan dan lanskap yang menakjubkan. Dalam aktiviti Maria Island Walk, anda akan menikmati berjalan kaki santai di sepanjang pantai pasir putih yang sunyi pada waktu siang dan makan malam gourmet diterangi lilin pada waktu malam. Nikmati jalan kaki santai berkaki ayam dalam mencari cangkerang yang jarang dijumpai atau berenang di dalam air jernih bak kristal. Tidak seperti pengembaraan berjalan kaki di belantara yang lebih mencabar, anda tidak perlu menjadi pejalan kaki yang berpengalaman untuk menikmati aktiviti ini. Menginaplah di kem belantara atau rumah yang tersenarai dalam senarai warisan yang selesa.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia