Alam Semulajadi Australia

Alam Semulajadi Australia

Dekati alam semulajadi Australia yang indah.  Terdapat burung, tumbuhan, dan haiwan yang hanya ditemui di sini, serta 15 keajaiban yang disenarai sebagai Warisan Dunia dan lebih daripada 500 Taman-taman Negara.

Alami kuasa hebat kawasan pedalaman Australia di Red Centre dan Kimberley di Western Australia.  Bersnorkel dengan kumpulan ikan dan batu karang di  Terumbu Sawar Besar (Great Barrier Reef), Queensland.   Hampiri koala, kanggaru, anjing laut, burung penguin dan burung undan di tempat perlindungan hidupan liar di Kangaroo Island.  Jelajahi kawasan tanah lembap dan air terjun di Kakadu National Park yang merupakan kediaman satu pertiga daripada semua burung di Australia.  Atau kembali ke masa purba di Daintree Rainforest di mana sesetengah tumbuhan Australia telah wujud semenjak Gondwanaland.  Antara bulan Mei dan November, anda boleh melihat ikan paus dari sepanjang jejak bunga liar Western Australia.

Penggemar alam semulajadi boleh menikmati pelbagai pengembaraan hebat –  sama ada memandu  atau berjalan kaki di kawasan pedalaman Australia. Mendaki Overland Track Tasmania yang terkenal, kawasan pedalaman Gold Coast yang subur atau jelajahi Blue Mountains sepanjang Six Foot Track.

Australia terkenal dengan aktiviti luar, alam semula jadi dan pengalaman hidupan liar yang menakjubkan. Dari kehebatan pedalaman Kimberley; sehinggalah kehidupan liar Tasmania; dan pemerhatian burung di Kakadu National Park; terdapat banyak cara untuk melihat hidupan liar Australia yang unik dan kepelbagaian landskap. Di sini disenaraikan 10 pengalaman semula jadi yang terbaik di Australia.

Anda mungkin tahu tentang monolit merah di Red Centre, Australia. Anda mungkin tahu bahawa ia suci untuk Orang asli tempatan dan ia menghasilkan warna-warna yang menakjubkan pada waktu matahari terbit dan terbenam. Anda mungkin tidak tahu bahawa anda boleh mengalaminya melalui kaca mata Orang asli atau terdapat banyak lagi tapak suci dan mengagumkan di pusat Australia yang luas. Sepupu Uluru iaitu Kata Tjuta terletak hanya 40 kilometer dari sini dan anda akan temui Kings Canyon yang menakjubkan tidak jauh dari Alice Springs.
Anda mungkin tidak sedar bahawa lanskap ini mempunyai tumbuh-tumbuhan hijau dan lubang air yang subur serta jalan merah berdebu dan bidur batu besar. Dan anda mungkin tidak akan betul-betul faham tentang keajaiban, kehebatan, kesunyian dan keterasingan yang baik di Red Centre, Australia hinggalah anda tiba di sini.

Tunggang unta ketika matahari terbenam menyusuri Broome’s Cable Beach dan naik pesawat merentasi Bungle Bungle Ranges yang tinggi. Belayar di Lake Argyle yang besar dan lihat air pasang lebih tinggi daripada bangunan di Buccaneer Archipelago. Memandu kenderaan pacuan empat roda di Gibb River Road melepasi gaung dan sungai yang deras atau ikut laluan bertanah merah dari Broome ke pedalaman Dampier Peninsula. Selamat datang ke Kimberley – dunia dengan horizon yang luas, gaung purba, pembentukan batu yang pelik, kolam batu yang menguja dan pantai yang indah.

Anda boleh berenang, snorkel, menyelam dan belayar di Great Barrier Reef yang tersenarai dalam Warisan Dunia, sebuah karya semula jadi yang agung dan sangat besar sehingga ia dapat dilihat dari ruang angkasa.
Ia terbentang lebih daripada 2,000 kilometer sepanjang pantai Queensland, dari pekan tanah besar Port Douglas hingga ke Bundaberg. Melawat sebentar ke pulau yang bersih dan dikelilingi pokok palma, kemudian terokai pulau karang berwarna pelangi dan hidupan marin di bawahnya.

Lihat hidupan liar asli di hutan di syurga ekologi Kangaroo Island.
Lihat burung undan berwarna merah jambu berlegar-legar di langit, anjing laut berbaring di atas pasir di Seal Bay dan koala yang mengantuk di atas pokok. Duduk di atas astaka besar pasir dan lihat penguin kecil berhijrah beramai-ramai atau berpasangan ketika haiwan ini berjalan menuju ke pesisir Penneshaw setiap malam. Beli hasil keluaran segar – dari madu Ligurian hingga ke ayam yang diternak secara lepas bebas dan telurnya – dan wain yang dihasilkan oleh 30 orang penanam dari Cape Willoughby hingga ke Kingscote. Menginap di tempat penginapan warisan dan lihat antara rumah api pertama South Australia di Cape Willoughby, Cape Borda dan Cape du Couedic. Berenang di pantai terpencil di Stokes Bay, meluncur air di Vivonne Bay dan memancing ikan dari Emu Bay. Memandu sambil melihat pemandangan indah menuju ke gua bawah tanah di Kelly Hill Conservation Park dan Remarkable Rocks di Flinders Chase National Park. 

Datang dan terokai Kakadu National Park yang tersenarai dalam Warisan Dunia yang terletak lebih kurang tiga jam ke timur Darwin.
Dalam taman negara terbesar Australia, anda akan temui tubiran berceranggah, hutan hujan subur dan galeri seni batu yang berusia sehingga 50,000 tahun. Ketahui tentang budaya Orang asli dari pemilik tradisi orang Bininj/Mungguy. Saksikanlah berjuta-juta burung migrasi di antara tanah lembap. Lihat telipuk lembut, buaya prasejarah, air terjun yang hebat bunyinya dan lubang air yang berkilau-kilauan. Alami keajaiban Kakadu dalam enam musim berbeza yang dramatik. Daripada telipuk lembut hingga ke buaya prasejarah, Kakadu mempunyai pelbagai khazanah yang menunggu untuk diterokai.

Jelajahi hutan hujan Australia yang menakjubkan, disenaraikan dalam Warisan Dunia. Ia merentasi seluruh negara ini dan mempunyai setiap jenis iklim. Pelopori litupan tebal tropika Hutan Hujan Daintree di Queensland atau lalui trek ke belantara suhu sederhana Tasmania. Lihat flora yang berasal dari era dinosaur di hutan hujan Gondwanan berdekatan Teluk Byron. Atau temui kawasan hutan hujan kering di wilayah Kimberly di Barat Australia.

Anda akan mendekati alam semula jadi apabila anda mengembara di Australia. Di sini terdapat 550 taman negara dan 15 keajaiban yang tersenarai dalam Warisan Dunia.  Jelajahi tanah lembap dan hidupan liar di Kakadu National Park yang tersenarai dalam Warisan Dunia dan Litchfield National Park semasa memandu di Natures Way dari Darwin.  Ikut Great Alpine Way melalui Alp Australia dan tasik, pantai serta taman negara di Gippsland.  Kelilingi Tasmania dan lihatlah pantai yang tenang, gunung merah jambu, dan laut yang biru kehijauan di timur dan hutan World Heritage yang tebal serta sungai deras di sebelah barat.  Selami diri anda sepenuhnya dengan kecantikan semula jadi Australia dengan berjalan di denai kami yang banyak terdapat di sini.

Regangkan kaki anda dan luaskan jiwa anda semasa berjalan di denai epik di Australia.  Berjalan pada siang hari dalam perjalanan mengikut bahagian-bahagian jarak dekat atau berjalan dari satu hujung ke hujung lain yang mengambil masa berminggu-minggu malah berbulan-bulan untuk menghabiskannya.  Merentasi hutan belantara Tasmania yang tersenarai dalam Warisan Dunia melalui Overland Track atau ikut Larapinta Trail melintasi West MacDonnell Ranges di Northern Territory.  Berjalan di Heysen Trail di South Australia yang dibahagikan kepada bahagian-bahagian perjalanan jarak dekat dan terbentang dari Fleurieu Peninsula hingga ke Flinders Ranges.  Luangkan masa tiga hari di Blue Mountain yang tersenarai dalam Warisan Dunia atau berjalan melalui hutan hujan Gondwanan di Gold Coast.  Berjalan pada waktu siang melalui Wilsons Promontory di Victoria atau selami keindahan hujung barat daya Western Australia melalui Bibbulmun Track.

Australia mempunyai keseluruhannya 19 tapak Warisan Dunia UNESCO, yang termasuk sesetengah hutan hujan tertua di bumi ini dan kira-kira satu pertiga kawasan marin yang dilindungi di dunia.