Tapak Warisan Dunia di Australia

Uluru, NT. © James Fisher dan Tourism Australia

Tapak Warisan Dunia di Australia

Australia mempunyai keseluruhannya 19 tapak Warisan Dunia UNESCO, yang termasuk sesetengah hutan hujan tertua di bumi ini dan kira-kira satu pertiga kawasan marin yang dilindungi di dunia.

Tapak Warisan Dunia UNESCO adalah sebuah tempat, seperti kawasan belantara, pulau, tugu bersejarah, bangunan atau bandar yang dianggap oleh jawatan kuasa antarabangsa sebagai tempat yang mempunyai kepentingan budaya atau fizikal yang istimewa kepada masyarakat antarabangsa.

Tapak yang dicadangkan hendaklah mempunyai ‘nilai universal yang penting' dan memenuhi sekurang-kurangnya satu daripada sepuluh kriteria budaya atau semula jadi. Tapak Warisan Dunia menjadi khazanah nasional yang mesti dilindungi dan dipelihara oleh negara tuan rumah.

Kebanyakan destinasi ikonik Australia adalah tapak yang tersenarai dalam Warisan Dunia seperti Great Barrier Reef dan kawasan Tropika Lembap di Queensland yang termasuk Daintree Rainforest; Greater Blue Mountains di New South Wales; Kakadu dan Uluru/Kata Tjuta National Parks di Wilayah Utara; dan Purnululu National Park di Kimberley, Australia Barat.

Ningaloo Coast di Australia Barat baru-baru ini telah dimasukkan pada Senarai Warisan Dunia kerana keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian biologinya. Ningaloo-Shark Bay National Landscape kini berbangga dengan dua kawasan Warisan Dunia di kedua-dua hujung utara dan selatannya. Kawasan Warisan Dunia Tasmanian Wilderness yang seluas 1.3 juta hektar memenuhi tujuh daripada sepuluh kriteria, lebih banyak daripada mana-mana tempat yang lain di bumi ini.

Kawasan persekitaran semula jadi dan murni belum tercemar yang begitu luas di Australia ini telah juga menarik status Warisan Dunia, seperti Gondwana Rainforests di Australia yang merentasi New South Wales dan Queensland; dan Willandra Lakes Region di NSW.

Kebanyakan tapak Warisan Dunia di Australia terdapat di lokasi terpencil dan anda memerlukan semangat mengembara yang tinggi untuk melawatinya, seperti Australian Fossil Mammal Sites di Naracoorte, South Australia dan Riversleigh di Queensland.

Terdapat 11 tapak yang membentuk Tapak Banduan Warisan Dunia yang mewakili penghijrahan paksa terhadap banduan ke tanah jajahan untuk hukuman dalam abad ke-18 dan ke-19; dan merupakan contoh terbaik sejarah Australia yang kaya.

Tapak sebegini di New South Wales ialah Old Government House dan Domain di Parramatta; Hyde Park Barracks dan Cockatoo Island Convict Site di Sydney; dan Old Great North Road yang berhampiran Wiseman's Ferry.

Di Tasmania, Kawasan Bersejarah Port Arthur di Tasman Peninsula; Cascades Female Factory di Hobart; Darlington Probation Station di Maria Island; Kawasan Bersejarah Coal Mines berhampiran Premadeyna; dan Brickendon-Woolmers Estates berhampiran Longford kesemuanya merupakan Tapak Banduan Australia Warisan Dunia.

Australia Barat pula mempunyai Fremantle Prison; manakala Norfolk Island di luar pantai New South Wales mempunyai Kingston and Arthur's Vale Historic Area.

Bangunan penting yang telah berjaya untuk disenaraikan sebagai Warisan Dunia ialah Sydney Opera House, serta Royal Exhibition Buildings dan Carlton Gardens di Melbourne.

Malah beberapa pulau, keseluruhan kawasannya juga termasuk dalam senarai yang berprestij ini, seperti Fraser Island di Queensland, keseluruhan Lord Howe Island Group di luar pantai New South Wales; dan pulau-pulau Macquarie, Heard dan McDonald Islands di rantau sub-Antartika di luar pantai Tasmania.

Sesetengah kawasan Warisan Dunia Australia hanya boleh dicapai menggunakan kenderaan pacuan empat roda atau dengan penerbangan, namun kebanyakannya hanya dapat dicapai melalui operator pelancongan setempat.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia