Fesyen dan rekaan Australia

Fesyen dan rekaan Australia

Rekaan terkini, riang dan inovatif Australia telah mendatangkan kesan dalam semua aspek daripada fesyen kepada barang perhiasan diri kepada perabot. Dari Collette Dinnigan kepada Ken Done, berikut merupakan gambaran kepada beberapa pereka Australia yang terkenal untuk diberi perhatian.

Fesyen Australia cenderung untuk lebih santai dan riang berbanding koleksi Eropah.Ini kerana iklimnya yang panas, gaya hidup luar dan pengaruh budaya yang luas. Pereka Australia juga mempunyai reputasi membuat rekaan lain dari kebiasaan. Ia berlaku di litar lumba Melbourne apabila peragawati Inggeris Jean Shrimpton pertama kali mempesona dunia dengan skirt mini pada tahun 1965. Pereka tempatan Prue Action meneroka skirt serupa yang mendedahkan lutut dan mendapati dirinya meneraju fesyen global yang berani. Pada tahun yang sama, Joseph Saba mula menggunting seluar dan kemeja berdekatan dengan Prue di Flinders Lane. Kini, koleksi Saba masih menggabungkan gaya yang praktikal dan nilai elegan dalam gaya sebenar Australia. Seorang lagi pereka Australia yang bertahan ialah Carla Zampatti, yang mula menjalinkan potongan klasik Itali dengan fabrik ringan pada tahun 1980-an.

Hari ini, Australia mempunyai ramai pereka di pentas peragaan antarabangsa. Anda pasti terpikat dengan rekaan feminin oleh Leona Edminston dan kembalikan jiwa rock dalam diri anda dengan Wayne Cooper. Rasai keterujaan dengan Lisa Ho yang telah mereka pakaian untuk selebriti seperti Tyra Banks dan Carmen Electra. Kenali Collette Dinnigan, yang rekaannya sentiasa muncul di peragaan pada minggu fesyen Paris. Pereka terkemuka Australia yang lain termasuk Willow, Josh Goot, Alice McCall, Kirrily Johnston, Aurelio Costarella, Maticevski, Nicola Finetti, Zambesi, Jayson Brunsdon dan Zimmerman.

Kenali kebanyakan daripada personaliti fesyen ini, di samping pereka yang sedang menempa nama di minggu fesyen Australia. Lihat koleksi musim bunga/panas di Sydney pada Mei dan koleksi musim luruh/sejuk di Melbourne pada Oktober dan November. Terdapat juga Festival Fesyen Melbourne yang terkenal pada bulan Mac.

Dapatkan fesyen jalanan yang diterima global dengan jenama Ksubi yang berasal dari Sydney atau jeans Sass dan Bide yang dipakai oleh ikon fesyen seperti Kate Moss. Tinjaulah kualiti gaya santai yang klasik oleh R.M Williams dan lengkapi rupa pengembala Australia dengan kot Driza-Bone, topi Akruba dan singlet Bonds. Budaya luncur ombak Australia telah membenihkan gayanya yang tersendiri, dan anda boleh menggayakan jenama tempatan seperti Rip Curl, Billabong dan Mambo.

Pereka Australia melibatkan pereka grafik, barang kemas, pereka fesyen, pembuat perabot dan artis tekstil. Mereka datang dari latar belakang yang pelbagai dan berpaksikan kepada pengaruh yang meluas, tetapi berkongsi keunikan Australia. Kunjungi Studio Rekaan Johnny Chamaki, yang dimulakan oleh seorang lelaki yang telah mencipta kerusi Outlaw yang diinspirasikan oleh Ned Kelly. Perabot klasik yang lain termasuk kerusi kontur kemas yang direka oleh Grant dan Mary Featherson dan kerusi keluli kangaru oleh Drew Martin.

Ayuh lihat permaidani yang menampilkan flora dan fauna Australia rekaan Catherine Martin. Kunjungi kedai Ken Done dan lihat rekaan berani, berwarna warni dan asli yang ditampilkan semasa Olimpik Sydney 2000 yang telah sebati dengan Australia. Dinosaur Designs menghasilkan perhiasan diri besar yang diperbuat daripada damar, dihasilkan dengan tangan yang diinspirasikan oleh alam semulajadi. Saksikan pereka kraf Australia bekerja dengan pelbagai bahan, termasuk gangsa, kaca, dedaun bulu, kulit, pewter, perak dan balak.

Dari fesyen mewah ke cincin damar dan kerusi kangaru, fesyen dan rekaan Australia akan mengejut dan mengagumkan anda.

 

Idea Australia selanjutnya