Ultimate Winery Experiences of Australia

Ultimate Winery Experiences of Australia

Australia mempunyai lebih daripada 2,400 kilang wain yang bertaburan di 65 wilayah wain di seluruh negara. Wilayah wain Australia menghasilkan lebih daripada 100 jenis anggur yang berlainan dan lebih daripada 30 juta gelas wain Australia diminum di seluruh dunia setiap hari. Australia merupakan tempat untuk beberapa pokok anggur tertua di dunia, sejak tahun 1850-an.

Ultimate Winery Experiences of Australia ialah koleksi kilang wain tersohor di wilayah wain yang paling terkenal di Australia, menawarkan pelbagai pengalaman yang berlainan di sebalik tempat simpanan wain bawah tanah.

Kilang-kilang wain ini bukan sekadar tempat untuk merasa dan membeli wain. Kilang-kilang wain ini juga menawarkan restoran, acara, seni serta lawatan di belakang tabir yang menarik, sesi merasa wain persendirian, pendidikan tentang wain dan gastronomi, semuanya hanya di beberapa lokasi yang paling mengagumkan di Australia.



Margaret River, Australia Barat


Leeuwin Estate, Margaret River, Australia Barat

Leeuwin Estate



Leeuwin Estate, Margaret River, Australia Barat

Leeuwin Estate

Leeuwin Estate

Leeuwin Estate terletak di Margaret River di Australia Barat, antara wilayah wain premium di dunia. Margaret River paling terkenal dengan wain putih, terutamanya campuran Chardonnay dan Semillon Sauvignon. Leeuwin Estate memperolehi reputasi antarabangsa kerana menghasilkan wain yang terbaik. Ia menghasilkan wain jenis chardonnay, Sauvignon Blanc, Cabernet Sauvignon, Shiraz, Riesling dan Semillon.

Leeuwin mengeluarkan vintaj komersial pertamanya pada tahun 1979 dan terus menarik perhatian antarabangsa. Leeuwin kini mengeksport ke lebih daripada 30 negara.

Label wain Leeuwin 'Art Series' telah menjadi terkenal. Pergilah berjalan-jalan melalui galeri seni estet untuk melihat lebih daripada 100 lukisan oleh artis kontemporari Australia yang terkemuka, yang telah diperuntukkan untuk ditampilkan pada label wain. Lawati tempat simpanan wain bawah tanah untuk merasa pengalaman makanan dan wain secara persendirian dan santai. Ikuti proses membuat wain dan rasa sendiri wain tersebut.

Nikmati masakan serantau dan pemandangan menakjubkan di Leeuwin Restaurant yang memenangi anugerah, di ladang anggur yang berlatarkan pemandangan laut dan hutan. Acara istimewa diadakan sepanjang tahun, termasuk kelas memasak, makan malam wain dan siri konsert tahunan musim panas di kawasan terbuka.

Leeuwin Estate terletak kira-kira tiga jam pemanduan dari CBD Perth. Untuk menikmati pengalaman yang tidak dapat dilupakan, anda boleh menaiki penerbangan sewa khas dengan pemandangan selama 45 minit dari Perth ke landasan kecil persendirian Leeuwin.

Kembali ke Atas



Voyager Estate, Margaret River, Australia Barat

Voyager Estate



Voyager Estate, Margaret River, Australia Barat

Voyager Estate



Voyager Estate

Terletak di sudut barat daya Australia Barat, Margaret River adalah antara wilayah wain yang terbesar dan paling berlainan di Australia. Tanahnya, mikroiklim, aspek dan pengaruh maritimnya merupakan ciri sesuai untuk mencipta wain yang menjadi antara yang terbaik di dunia.

Dari seni bina gaya Cape Dutch dan taman yang mengagumkan, hingga ke Wine Room yang menakjubkan dan restoran yang memenangi anugerah, Voyager Estate Margaret River menjadi kilang membuat wain yang mengagumkan. Sejak permulaanya, visi Voyager Estate adalah untuk memberikan pengalaman wain yang tidak pernah dilihat di Margaret River.

Teknik membuat wain yang sensitif menjadi teras falsafah membuat wain Voyager Estate selama lebih daripada 20 tahun, membentuk reputasi wainnya yang mempunyai keseimbangan yang anggun dan ciri yang kompleks. Voyager Estate memberikan fokus yang lebih pada Cabernet Sauvignon Merlot, Chardonnay, Shiraz, Sauvignon Blanc Semillon, Chenin Blanc dan Cabernet Merlot. Ia juga merupakan tempat simpanan tong wain bawah tanah yang terbesar di Australia.

Di Wine Room di Voyager Estate, anda akan menemui wain baru dan mempelajari proses membuat wain. Sertai lawatan Estet dengan menaiki bas terbuka yang disediakan oleh kilang membuat wain, diakhiri dengan sesi merasa wain berpandu atau makan tengah hari di restoran. Ladangnya mempunyai taman dan laman menakjubkan, yang mengikut gaya Cape Dutch Afrika Selatan di Estet.

Restoran Voyager Estate menampilkan seni bina yang mengagumkan, dengan siling yang sangat tinggi, perabot kayu antik, pendiang terbuka, candelier tembaga dan pinggan mangkuk rekaan tersuai ala Belanda. Menu berubah mengikut musim dengan ramuan yang didapatkan daripada pengeluar makanan setempat. Minum pagi dan tengah hari juga disediakan tujuh hari seminggu.

Jarak Margaret River adalah kira-kira 270 kilometer atau tiga jam pemanduan dari Perth.

Kembali ke Atas



Barossa Valley, Australia Selatan


Jacob's Creek, Barossa Valley, Australia Selatan

Jacob's Creek



Jacob's Creek, Barossa Valley, Australia Selatan

Jacob's Creek



Jacob's Creek

Jacob's Creek Visitor Centre ialah tempat asal jenama wain Jacob's Creek dan terletak di wilayah wain paling terkenal di Australia, iaitu Barossa Valley di Australia Selatan dengan jarak hanya satu jam pemanduan dari pusat Adelaide. Ia diiktiraf sebagai tapak pelancongan wain yang terkemuka di Australia dan dimasukkan dalam South Australian Tourism Hall of Fame pada tahun 2010 kerana memenangi Tarikan Pelancong Terbaik selama tiga tahun berturut-turut. Ia juga mendapat anugerah semasa 2011 Australian Tourism Awards, Best Tourism Restaurant and Best Tourism Winery.

Pusat ini menawarkan pengalaman pelancongan kulinari yang tidak dapat dilupakan dengan gabungan makanan dan wain yang menguja dan pemandangan seluruh ladang anggur dan perbukitan. Ciri binaan yang mengagumkan menampilkan tanda aras reka bentuk alam sekitar, berdasarkan prinsip kelestarian, mengitar semula dan pemuliharaan tenaga.

Jacob's Creek merupakan ladang anggur komersial yang pertama di Barossa Valley. Ia dinamakan sempena sungai di lokasi asalnya. Hari ini, ladang anggur ini menghasilkan wain jenis Shiraz, Sauvignon, Semillon, Riesling, Cabernet Merlot dan Chardonnay.

Datanglah ke Jacob's Creek Visitor Centre untuk menikmati gabungan makanan dan wain sewaktu makan tengah hari santai di Jacob's Restaurant yang memenangi anugerah ini. Nikmati segelas wain di dek yang menghadap panorama ladang anggur dan Barossa Range. Ketahui lebih lanjut tentang penanaman dan pembuatan wain semasa lawatan ladang anggur. Sertai kelas memasak atau berkelah di tebing Jacob's Creek.

Jarak Barossa Valley adalah kira-kira satu jam pemanduan dari Adelaide.



 

Kembali ke Atas



Seppeltsfield Winery, Barossa valley, Australia Selatan

Seppeltsfield Winery



Seppeltsfield Winery, Barossa valley, Australia Selatan

Seppeltsfield Winery



Seppeltsfield Winery

Dengan warisan yang membanggakan sejak tahun 1851, Seppeltsfield merupakan estet wain Australia yang ikonik.

Warisan Seppeltsfield yang kaya menjadi bahagian penting dalam sebarang lawatan ke estet yang mengagumkan ini. Pemulihan semula ladang anggur dan kampung adalah mengikut visi pengasas Joseph dan anaknya Benno Seppelt. Binaan Gravity Flow Winery yang bersejarah pada tahun 1888 ini dibina di lereng bukit yang berteres dan kembali digunakan hari ini. Kilang membuat wain ini pakar dalam wain jenis Cabernet Sauvignon, Grenache, Shiraz, Touriga, Sangiovese, Nero Davalo dan Palomino.

Seppeltsfield ialah satu-satunya kilang membuat wain dalam dunia yang mengeluarkan satu wain vintaj berusia 100 tahun setiap tahun. Ia terkenal dengan Centennial Collection – warisan kukuh untuk setiap vintaj dari tahun 1878 hinggalah ke tahun semasa. Semasa Seppeltsfield Centenary Tour anda boleh melawat Seppeltsfield Centennial Cellar dan merasa wain berwarna kuning keperangan yang dibuat pada tahun lahir anda dan diambil terus dari tong. Rasalah wain merah eksklusif dari Gravity Flow Winery dan wain vintaj berusia 100 tahun yang terkenal ini.

Anda boleh melihat bahagian dalam kuperaj di tempat tong dibuat, meneroka taman warisan atau merasa bir ala Jerman di kios tardisional di tempat berkelah.



Kembali ke Atas



Adelaide Hills, South Australia


Penfolds Magill Estate, Adelaide Hills, Australia Selatan

Penfolds Magill Estate



Penfolds Magill Estate, Adelaide Hills, Australia Selatan

Penfolds Magill Estate



Penfolds Magill Estate

Adelaide Hills merupakan wilayah wain dengan iklim paling sejuk di Australia, diiktiraf di peringkat antarabangsa kerana wain premiumnya yang berlainan, vitikultur dan pemandangan yang menakjubkan.

Penfolds menjadi contoh utama sejak dari hari awal pembuatan wain Australia dan mempunyai reputasi antarabangsa kerana menghasilkan wain dengan kualiti tertinggi.

Magill Estate Vineyard yang bersejarah dan tersenarai dalam warisan ini ditubuhkan pada tahun 1844 oleh Dr Christopher Rawson dan Mary Penfold lapan tahun selepas penubuhan Adelaide.

Pada asalnya, ia dikenali sebagai Grange Vineyard, dinamakan sempena rumah ladang baru mereka 'The Grange', sebuah kotej yang masih berdiri teguh pada hari ini di tengah-tengah pokok-pokok anggur. Pada tahun-tahun seterusnya, ladang anggur ini memberikan inspirasi dan membekalkan buah untuk Penfolds Grange, yang secara meluasnya dianggap sebagai wain Australia yang terhebat. Ladang anggur ini pada mulanya ditanam dengan grenache daripada keratan yang dibawa dari Selatan Perancis.

Kilang membuat wain ini mempunyai daya tarikan dan menggambarkan watak pengasasnya, dengan semangat perintisnya yang telah menjadikan nama keluarga mereka sebutan ramai rakyat Australia lebih daripada 165 tahun lalu.

Hari ini, kilang membuat wain ini menghasilkan wain jenis Shiraz, Chardonnay, Cabernet Sauvignon, Sangiovese, Pinot Noir, Traminer, Pinot Gris, Tempranillo, Viognier, Grenache, Mourvèdre, Riesling, Merlot, Semillon dan Sauvignon Blanc.

Asyikkan diri anda dengan sejarah, falsafah dan semangat industri wain Australia semasa lawatan sejarah di Penfolds Magill Estate. Lihatlah terowong bawah tanah yang mempesonakan, kotej asal dan tempat simpanan wain batu biru yang tersenarai dalam senarai warisan, sebelum anda merasa koleksi premium Penfolds yang terkenal.

Wilayah wain Adelaide Hills terletak di Mount Lofty Ranges dengan jarak kira-kira 15 minit pemanduan dari CBD Adelaide.

Kembali ke Atas



McLaren Vale, Australia Selatan


d'Arenberg, McLaren Vale, Australia Selatan

d'Arenberg



d'Arenberg, McLaren Vale, Australia Selatan

d'Arenberg



d'Arenberg

Terlindung antara bukit bercerun dan pantai yang indah, iklim Mediterranean McLaren Vale mewujudkan keadaan yang sesuai untuk menanam anggur. Anggur Shiraz merupakan jenis anggur paling penting yang ditanam di wilayah ini, jumlahnya kira-kira separuh daripada keseluruhan hasil anggur di kawasan ini. Cuaca dan tanah tempat ini menghasilkan buah-buahan dan wain dengan rasa yang kuat dan warna ungu pekat yang tahan berpuluh-puluh tahun lamanya di dalam botol.

Dibina pada tahun 1912, d'Arenberg ialah salah satu ladang wain yang paling penting di McLaren Vale. Menjelang tahun 1970-an, wain d'Arenberg memperolehi pengiktirafan kebangsaan dan antarabangsa yang penting.

Di d'Arenberg, proses membuat wain tradisional pada masa lalu masih dikekalkan. Wain dibuat dalam kelompok kecil dan mempunyai rasa sebenar wilayah McLaren Vale. Semua anggurnya ditekan menggunakan bakul. Anggur merah masih ditapai secara tradisional dan teknik memijak yang lama dengan menggunakan kaki masih digunakan.

Verandah Restaurant di ladang anggur d'Arry adalah antara restoran paling tersohor di Australia Selatan, yang terletak di atas puncak bukit yang indah bersebelahan dengan tempat simpanan wain bawah tanah. Buat tempahan untuk sesi merasa wain persendirian dan nikmatilah pandangan terperinci tentang seni tradisional membuat wain. Di Blending Bench, anda boleh menjadi pembuat wain dan membuat campuran serta menamakan wain anda sendiri untuk dibawa pulang.

Pergi berjalan-jalan atau berbasikal di sepanjang laluan landasan kereta api lama antara Willunga dan Seaford. Anda akan melalui ladang anggur, melalui pokok zaitun liar dan pokok gam lama serta merasa suasana kawasan desa yang indah ini.

Lebih daripada 50 kilang membuat wain bertaburan di seluruh wilayah McLaren Vale. Kira-kira 270 penanam anggur bebas juga boleh didapati di sini. McLaren Vale terletak kira-kira 35 kilometer ke selatan Adelaide.

Kembali ke Atas



Chapel Hill, McLaren Vale, Australia Selatan

Chapel Hill



Chapel Hill, McLaren Vale, Australia Selatan

Chapel Hill



Chapel Hill

McLaren Vale ialah wilayah yang kaya dengan sejarah. Ia merupakan tempat lahir industri wain Australia Selatan dengan warisan yang unik, termasuklah beberapa ladang anggur tertua di dunia.

Chapel Hill dinamakan sempena gereja kecil bersejarah yang dibina daripada batu besi di kawasan ini pada tahun 1865. Dahulunya, ia merupakan gereja tempatan, kemudian ditukar menjadi sekolah kariah dan kini ia merupakan tempat simpanan wain bawah tanah dan galeri seni.

Kilang membuat wain Chapel Hill ditubuhkan pada tahun 1973 berikutan daripada pemulihan besar-besaran bangunan lama itu. Hari ini, Chapel Hill memiliki dan mengendalikan 44 hektar ladang anggur dan membeli buah-buahan daripada kumpulan penanam anggur terpilih McLaren Vale dan Adelaide Hills.

Kilang membuat wain ini menghasilkan wain jenis Chardonnay, Shiraz, Grenache, Mourvèdre, Cabernet Sauvignon, Sangiovese, Rosé, Tempranillo dan Verdelho.

Terdapat kemudahan di sana untuk menampung seramai 14 tetamu di The Retreat, yang mempunyai pemandangan menakjubkan dari Onkaparinga Gorge hingga Gulf of St Vincent. Restorannya menampilkan hasil tani wilayah McLaren Vale. Anda boleh menyertai kelas memasak atau berehat sahaja berdekatan dengan unggun api sambil menghirup wain yang terkenal itu.

Estet ini bersempadan dengan Onkaparinga National Park yang indah. Kayuh kanu menelusuri Onkaparinga River, iaitu sungai kedua terpanjang di Australia Selatan, yang mengalir ke dalam gaung yang dikelilingi cenuram tinggi. Terdapat aktiviti memancing di kawasan muara dan terdapat banyak jenis laluan pejalan kaki, yang mudah serta pengembaraan berjalan kaki yang mencabar juga. Di sepanjang Echidna Trail anda akan menemui pondok dan tinggalan runtuhan rumah yang dibina pada tahun 1880-an yang tersenarai sebagai warisan.

McLaren Vale terletak kira-kira 35 kilometer ke selatan Adelaide.

Kembali ke Atas



Hunter Valley, New South Wales


Wyndham Estate, Hunter Valley, New South Wales

Wyndham Estate



Wyndham Estate, Hunter Valley, New South Wales

Wyndham Estate



Wyndham Estate

Hunter Valley ialah wilayah yang menghasilkan wain tertua di Australia dan Wyndham Estate adalah antara ladang anggur yang tertua di Australia. Sejak penanaman ladang anggur Shiraz komersial yang pertama di Australia pada tahun 1830, Wyndham Estate menumpukan usaha untuk mencipta wain yang kaya, keras dan penuh rasa. Ia mengeksport ke 65 negara dan diiktiraf di peringkat antarabangsa di seluruh dunia untuk wain Shiraz serta jenis wainnya yang lain.

Ladang membuat wain bersejarah ini berada di ladang anggur berukuruan 100 hektar dan kawasan desa sunyi yang berhadapan Hunter River yang indah. Terokai Dalwood Heritage Trail yang berliku melalui ladang anggur ini ke rumah berusia 180 tahun yang merupakan rumah salah seorang pengasas proses membuat wain Australia, George Wyndham. Kemudian, ketahuilah tentang projek pemuliharaan Hunter River semasa anda berjalan-jalan di sepanjang tebing yang kelihatan seperti taman. Anda boleh menyertai kelas pakar merasa wain; atau merasa pelbagai pilihan wain di tempat simpanan wain bawah tanah, termasuklah vintaj yang disimpan lama dengan teliti. Olive Tree Restaurant ala Mediterranean menghidangkan hasil tani rantau bermusim, dilengkapi dengan pemandangan estet.

Hunter Valley terletak kira-kira dua jam pemanduan ke utara Sydney.

Kembali ke Atas



Audrey Wilkinson, Hunter Valley, New South Wales

Audrey Wilkinson



Audrey Wilkinson, Hunter Valley, New South Wales

Audrey Wilkinson



Audrey Wilkinson

Pokok anggur yang pertama di Hunter Valley ditanam oleh keluarga di sini pada tahun 1820-an, menjadikannya wilayah membuat wain tertua di Australia.

Kilang membuat wain Audrey Wilkinson ini bermula pada tahun 1866 apabila keluarga Wilkinson mengambil alih tapak yang sekarang merupakan sebuah tapak ladang anggur. Keluarga Wilkinson adalah antara perintis dalam industri membuat wain Australia dan menubuhkan kilang membuat wain selepas mempelajari proses membuat wain di Perancis dan Jerman. Kilang membuat wain ini dinamakan sempena Audrey Wilkinson, yang mewarisi ladang anggur ini pada umur 15 tahun selepas kematian ayahnya. Audrey dianugerahkan deria rasa yang menakjubkan dan telah menghasilkan beberapa wain terbaik di Australia. Menjelang awal tahun 1900-an, Audrey Wilkinson telah mengumpul anugerah di seluruh Australia untuk wain Hock, Claret dan wain keras yang dihasilkan olehnya. Kuantiti wain yang besar dieskport ke London.

Hari ini, kilang membuat wain Audrey Wilkinson membuat wain buatan tangan dengan menggunakan teknologi membuat wain yang terkini. Ia menghasilkan jenis wain yang memenangi anugerah iaitu Semillon Sauvignon Blanc, Verdelho, Chardonnay, Rosé, Merlot, Cabernet Sauvignon dan Shiraz.

Lawati muzium di tapak yang menempatkan kilang membuat wain lama yang bersejarah, di tempat tong dan wain serta peralatan membuat tong dipamerkan.

Terdapat juga dua buah kotej tetamu di tapak untuk penginapan keluarga seramai enam pasangan sebagai tempat bermalam, berehat dan untuk menikmati privasi serta keindahan ladang anggur yang menakjubkan ini.

Ladang anggur Audrey Wilkinson terletak di kaki bukit Brokenback Mountain Ranges dengan pemandangan Hunter Valley 360 darjah. Tempat simpanan wain bawah tanah dibuka setiap hari sepanjang tahun kecuali pada Hari Krismas. Hunter Valley terletak kira-kira dua jam pemanduan ke utara Sydney.

Kembali ke Atas



Yarra Valley, Victoria


De Bortoli, Yarra Valley, Victoria

De Bortoli



De Bortoli, Yarra Valley, Victoria

De Bortoli



De Bortoli

Falsafah keluarga untuk berkongsi wain dan makanan dengan keluarga serta rakan disatukan di De Bortoli yang menakjubkan ini, terletak hanya SATU jam pemanduan dari Melbourne.

De Bortoli Wines ditubuhkan pada tahun 1928 di Bilbul, New South Wales. Kini menginjak ke generasi keempat, keluarga De Bortoli mempunyai ladang anggur di wilayah wain paling terkenal di Australia termasuklah Yarra Valley. Yarra Valley Estate merupakan tempat beberapa tanaman tertua di lembah itu, yang ditanam sejak tahun 1970. Buat masa ini, keluarga tersebut menanam Chardonnay, Pinot Gris, Riesling, Semillon, Gewurztraminer, Sauvignon Blanc, Pinot Blanc, Pinot Noir, Cabernet Sauvignon, Shiraz, Sangiovese, Nebbiolo dan Merlot.

Lihat cara wain premium dibuat dalam lawatan di sebalik tabir di ladang anggur dan kilang membuat wain serta rasa wain yang sedang mematang terus dari tong. Rasalah wain vintaj yang terkini di tempat simpanan wain bawah tanah dan juga keju yang matang dengan baiknya dari kedai Keju yang menghadap ladang anggur yang indah.

Restoran 'Locale' di kilang membuat wain ini menggambarkan kekayaan warisan Itali keluarga De Bortoli. Ia merupakan tempat yang sesuai untuk menikmati hasil tani bermusim dan setempat untuk dipadankan dengan wain berkualiti yang ditanam di estet.

Kembali ke Atas



Tarrawarra Estate, Yarra Valley, Victoria

Tarrawarra Estate



Tarrawarra Estate, Yarra Valley, Victoria

Tarrawarra Estate



Tarrawarra Estate

Tarrawarra Estate terkenal kerana memberikan pengalaman merasa wain dan sajian restoran yang tidak dapat dilupakan di Yarra Valley, Victoria. Kilang membuat wain ini menghasilkan wain jenis Pinot Noir, Chardonnay, Merlot, Shiraz, Viognier, Rousanne dan Marsanne.

Seni bina moden tempat simpanan wain bawah tanah yang menyerlah ini membingkaikan pemandangan ladang anggur yang menakjubkan, tanah ladang yang bercerun dan lembah di sebaliknya. Beberapa ekar pertama pokok anggur itu ditanam pada tahun 1983. Dengan dipantau oleh pembuat wain, semua wain Tarrawarra ditanam dengan teliti, dipetik sendiri dan dibiarkan matang di estet. Lawati bilik tong untuk mengetahui tentang sejarah dan proses membuat wain di estet ini.

Kakitangan tempat simpanan wain bawah tanah yang berpengetahuan ini bersedia untuk menceritakan tentang wain mereka yang telah memenangi anugerah, yang turut ditampilkan dalam restoran dan dipadankan dengan hasil tani segar bermusim dari taman dapur dan ladang tempatan Yarra Valley. Nikmati makan tengah hari dan wain yang dipilih oleh pakar pelayan wain estet untuk melengkapkan menu bermusim.

Tarrawarra Estate terletak di Yarra Valley, kira-kira sejam pemanduan ke timur laut Melbourne.

Kembali ke Atas



Mornington Peninsula, Victoria


Montalto Vineyard & Olive Grove, Mornington Peninsula, Victoria

Montalto Vineyard & Olive Grove



Montalto Vineyard & Olive Grove, Mornington Peninsula, Victoria

Montalto Vineyard & Olive Grove



Montalto Vineyard & Olive Grove

Mornington Peninsula Victoria ialah wilayah yang cantik dengan bukit bercerun, kebun buah-buahan, dusun buah zaitun, rumah agam bersejarah dan lebih daripada 200 ladang anggur. Topografi semula jadi dan iklim sederhana wilayah ini amat sesuai untuk penanaman anggur.

Montalto menghasilkan wain iklim sejuk yang premium, khusus untuk jenis Pinot Noir dan Chardonnay. Estet ini terkenal dengan suasana yang mesra, seni bina Australia yang tenang, tempat simpanan wain bawah tanah dan keindahan tanahnya yang mempunyai dusun buah zaitun, restoran dan kafe yang terkenal, laluan berarca serta tanah lembap.

1500 pokok buah zaitun yang matang di kawasan itu menghasilkan minyak zaitun lebih tulen yang ditekan semasa cuaca sejuk, buah zaitun jeruk estet dan tapenade buah zaitun. Produk mereka hanya tersedia dari estet dan boleh dirasa di tempat simpanan bawah tanah.

Montalto adalah pakar dalam pendidikan wain dan pasukan tempat simpanan bawah tanahnya yang mahir dan berpengetahun tidak sabar untuk berkongsi semua perkara tentang wain, ladang anggur serta kilang wain mereka dengan anda. Alamilah falsafah 'estet ke hidangan' Montalto semasa makan tengah hari tiga sajian di Montalto Restaurant ala Perancis, yang dianggap terbaik di semenanjung ini.

Mornington Peninsula terletak kira-kira satu jam ke selatan Melbourne.

Kembali ke Atas



Tasmania


Josef Chromy Wines, Tamar Valley, Tasmania

Josef Chromy Wines



Josef Chromy Wines, Tamar Valley, Tasmania

Josef Chromy Wines



Josef Chromy Wines, Tamar Valley

Tempat simpanan wain bawah tanah dan restoran Josef Chromy Wines merupakan lokasi yang menakjubkan untuk menikmati pengalaman wain dan makanan Tasmania bertaraf tinggi yang dibuat menggunakan hasil tani tempatan yang segar.

Dengan berlatarkan taman Inggeris lama dan dirian pokok oak yang berusia 100 tahun, serta menghadap tasik yang indah, kilang wain dan ladang anggur, kilang wain ini diakui sebagai antara 10 Teratas di Australia. Tempat simpanan wain bawah tanah terletak di rumah ladang tahun 1880-an yang asal. Unggun apinya sentiasa bernyala dan terdapat pemandangan menarik untuk dilihat semasa anda menikmati pelbagai wain iklim sejuk yang memenangi anugerah, termasuklah Sparkling, Pinot Gris, Riesling, Sauvignon Blanc, Chardonnay, Pinot Noir, Merlot, Botrytis Riesling dan Ruby Pinot Port.

Kilang membuat wain dinamakan sempena Josef Chromy, yang terkenal dalam industri makanan dan wain Tasmania. Beliau mempunyai kisah hidup yang mengagumkan semasa beliau datang ke Australia dari Eropah pada tahun 1950-an. Visi beliau adalah untuk mencipta wain, makanan dan pengalaman dengan kualiti yang luar biasa.

Pergi berjalan di tengah-tengah pokok anggur. Nikmati sajian di restoran yang memberikan hasil tani rantau setempat yang terbaik dengan wain yang memenangi anugerah. Untuk mereka yang sukakan pengembaraan, ketahuilah seni melontar joran dan dapatkan pengenalan tentang melontar joran, atau terbang di atas belantara ikonik di Tasmania, diikuti dengan makan tengah hari santai.

Josef Chromy Wines terletak di Tamar Valley, kira-kira 15 minit pemanduan ke arah selatan Launceston.

Kembali ke Atas



Moorilla Estate, Hobart, Tasmania

Moorilla Estate



Moorilla Estate, Hobart, Tasmania

Moorilla Estate



Moorilla Estate, Hobart

Moorilla Estate menawarkan gabungan wain, makanan, seni dan penginapan mewah yang jarang ditemui dan menarik, dekat dengan ibu negeri Tasmania iaitu Hobart.

Moorilla ialah kilang wain terbaru yang dibina di ladang anggur tertua di Tasmania. Kuantiti kecil wain butik beriklim sejuk dihasilkan di estet, dengan pelbagai jenis wain termasuklah Chardonnay, Pinot Noir, Riesling, Sauvignon Blanc, Cabernet Merlot dan Syrah.

Moorilla Estate berkongsi satu tapak yang mencabar minda iaitu Museum of Old and New Art (MONA), yang menempatkan koleksi seni peribadi terbesar di Australia. Bermalamlah di MONA Pavilions yang moden lagi mewah, dinamakan sempena seni bina dan artis Australia.

Terdapat pelbagai pilihan makanan di sana, dari masakan dengan pengaruh Perancis di The Source Restaurant, hinggalah sajian yang dikongsi di Moorilla Wine Bar; dan kafe MONA yang lebih kasual. Bir Moo Brew juga dihasilkan di situ.

Moorilla terletak di Derwent River, 12 kilometer arah utara bandar Hobart. Cara menakjubkan untuk melawat ladang anggur adalah dengan menaiki feri dari Hobart dan menyelusuri sungai.

Kembali ke Atas

Ultimate Winery Experiences

 

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia