Alps Australia

Alps Australia NSW & VIC
Luncur Salji Perisher NSW
Snowy Mountains Kosciuszko National Park NSW
Rail Trail Great Alpine Road VIC

Alps Australia

Di benua yang kebanyakannya kering dan mendatar, tiada perkara lain dapat menyamai cabaran di Alps Australia yang bersalji dan dipenuhi gunung-ganang. Merentangi satu wilayah, dua negeri dan 16 taman negara dan hutan simpan, banjaran Alps menyediakan pemandangan indah dan peluang untuk kembara luar sepanjang tahun. Main ski atau meluncur dengan papan salji semasa musim sejuk atau mengembara berjalan kaki melalui bunga-bunga liar musim panas. Temui tumbuhan dan haiwan unik, hubungkan diri dengan sejarah purba dan moden serta berjalan atau memandu di sepanjang horizon yang seolah tiada penghujungnya. Di puncak Australia ini, anda akan menemui banyak cara untuk mencabar diri sendiri dan memulihkan semula semangat anda.

Anda akan menemui empat perkara di Banjaran Alp Australia

Snowy Mountains, NSW
Snowy Mountains, NSW

1. Kaya dengan keajaiban alam semula jadi yang sukar ditemui

Daki melewati tasik glasier dan hutan pepohon snow gum ke Mount Kosciuszko, puncak tertinggi di Australia. Melingkari puncak ini, sebuah Rizab Biosfera UNESCO mempunyai 20 spesies tumbuhan yang tidak boleh ditemui di mana-mana tempat di dunia selain di sini. Perhatikan bagaimana pepohon abu gunung berubah menjadi hutan snow gum dan padang rumput alpine yang berwarna-warni di Penara Baw Baw di Victoria. Terokai gua bawah tanah dan bermacam ragam hidupan mergastua berhampiran Lake Jindabyne di Snowy Mountains. Atau tinjau kanggaru, wallabi dan katak corroboree yang jarang dilihat di tengah-tengah landskap granit Namadgi National Park dekat Canberra.

Perisher, NSW
Perisher, NSW

2. Dunia penuh cabaran aktiviti lasak

Hayati segala jenis keseronokan musim dingin yang terdapat di pusat peranginan salji yang bertaburan di seluruh Banjaran Alp ini. Kunjungi cerun ski tertinggi di Australia di Charlotte Pass atau ukir salji di Thredbo dan Perisher Blue di New South Wales. Bermain ski atau papan luncur di Mt Buller, Mt Hotham dan Falls Creek yang dikelilingi oleh Alpine National Park di Victoria. Pada musim panas, anda boleh berjalan kaki, menaiki motosikal, menunggang kuda atau kenderaan pacuan empat roda melalui cerun-cerun yang dihiasi hamparan bunga-bunga liar ini. Menakik turun singkapan granit di Namadgi National Park. Di New South Wales, anda boleh berkanu sepanjang Snowy River dan pergi meneroka gua berhampiran Tumut.

Craigs Hut Mt Stirling, VIC
Craigs Hut Mt Stirling, VIC

3. Sejarah lama dan baru

Temui Tumut River di Snowy Mountains bersama pemandu suku Wiradjuri atau ikuti lawatan kebudayaan Orang Asli melalui Yarrangobilly Caves di Kosciuszko National Park. Terokai tapak khemah purba Ngunawal, persiapan batu upacara dan lukisan batu di Namadgi National Park. Berdekatan dengan Rizab Alam Semula Jadi Tidbinbilla terdapat Birrigai Rock Shelter dan Bogong Cave yang berusia 21,000 tahun, yang suatu ketika dulu menjadi tempat suku purba mengumpulkan kupu-kupu bogong. Lihat bangunan mahkamah tempat Ned Kelly dibicarakan di Beechworth, mengembara berjalan kaki ke pondok lembu lama di Bogong High Plains. Temui ramai orang tempatan di acara penjualan anak lembu tahunan Omeo pada hujung minggu panjang bulan Mac.

Mt Stirling, VIC
Mt Stirling, VIC

4. Perjalanan yang berlatarkan pemandangan gunung-ganang

Mengembara melalui laluan berliku-liku dari Melbourne melalui Great Alpine Road yang terletak di Dataran Tinggi Victoria. Jalan bersalut tertinggi Australia membawa anda dari Melbourne, melewati wilayah wain Ovens Valley dan Mount Hotham ke Gippsland. Untuk sebuah cabaran sebenar, berjalan kaki merentas tiga negeri melalui Laluan Jalan Kaki Alp Australia yang kini menjadi lagenda. Ia mengunjur sepanjang 650km, dari Walhalla di Victoria hinggalah ke Tharwa ke sedikit selatan dari Canberra. Berjalan laluan ini selama lapan hingga sepuluh minggu atau berjalan pada waktu siang pada bahagian tertentu seperti penara Baw Baw, Dataran Tinggi Bogong dan Mount Kosciuszko.

Idea Australia selanjutnya