Great Ocean Road

The Twelve Apostles, VIC
Great Ocean Road, VIC
Matahari Terbenam di Johanna Beach VIC
Rocky Beach VIC

Great Ocean Road

Saksikan pendedahan drama alam semula jadi di setiap susur jalan sepanjang Great Ocean Road, yang merangkumi dari Torquay, berdekatan Melbourne, ke Portland. Alami kuasa asli Southern Ocean bila mana ia bertemu cenuram berceranggah, hutan berselirat dan pantai terpencil. Meluncur di Torquay, lihat kehebatan Twelve Apostles berjalan melewati air terjun di Great Otway National Park yang subur. Hubungkan kekayaan sejarah Orang Asli rantau ini di Geelong, Tower Hill dan Lake Condah dan temui ikan paus di Warrnambool yang bersejarah. Panjangkan perjalanan anda dengan menginap di mana-mana pekan di sepanjang pantai seperti di Lorne, Apollo Bay dan Port Fairy.

Lima perkara utama di Great Ocean Road

Bells Beach, VIC
Bells Beach, VIC

1. Ombak, teluk dan pantai

Tunggangi ombak di Pantai Luncur Air di Torquay, Jan Juc, Pt Addis atau pantai ikonik Bells di Victoria. Nikmati kawasan renang yang mesra keluarga, memancing dan berbot di percutian di perkampungan di Anglesea, Lorne dan Apollo Bay. Di sebalik selekoh pantai terdapat tiang batu kapur purba Twelve Apostles. Saksikannya dari sebuah helikopter atau dari pelantar cerap yang dibina pada cenuram. Selam skuba peninggalan kapal di Loch Ard di Port Campbell National Park atau mengembara berjalan kaki melalui Bay of Islands Coastal Park. Selami sejarah dan pemandangan mengasyikkan di Shipwreck Coast di Warrnambool, Portland dan Port Fairy.

Otway, VIC
Otway, VIC

2. Hutan hujan, pergunungan dan taman negara

Tunggang basikal lasak melalui Banjaran Otway Ranges atau naiki Otway Fly Walk melalui kanopi pepohon usia purba sehijau zamrud. Daki ke kemuncak rumah api Cape Otway – rumah api tertua di tanah besar Australia - di Great Otway National Park. Berkelana berjalan kaki atau tunggang kuda melalui rimba belantara ke air terjun yang menderu. Tunggang motorsikal dari Reservoir West Barwon ke Lake Elizabeth. Merayau-rayau di pantai yang lengang dan pelajari mengenai sejarah bangkai kapal di Port Campbell National Park. Di Rizab Negeri Tower Hill, berjalan kaki panduan kendiri memperkenalkan anda kepada tanah lembap, geologi dan makanan Orang Asli.

Kangaroos, VIC
Kangaroos, VIC

3. Hidupan liar besar dan kecil

Berenang bersama-sama ikan lelumba di Queenscliff di Semenanjung Bellarine dan bermain golf di sisi kanggaru yang sedang meragut rumput di Anglesea. Di Great Otway National Park anda boleh berkanu di sebelah koloni platipus di Tasik Elizabeth dan menyaksikan ulat kalimantang menyinari Melba Gully tatkala senja. Hampiri burung emu, angsa murai, echidnas dan mergastua air di Rizab Hidupan Liar Negeri Tower Hill. Saksikan paus southern right melahirkan anak di luar pesisir Pantai Logan di Warrnambool antara Jun dan September. Tinjau haiwan ini agak jauh sedikit di Portland, kemudian naiki kapal persiaran atau berkayak menuju ke sebelah koloni anjing laut yang besar di Cape Bridgewater.

Twelve Apostles, VIC
Twelve Apostles, VIC

4. Perjalanan sepanjang pesisir pantai lautan yang hebat

Pandu Laluan Great Southern Touring, yang seolah-olah mendakap pesisir pantai dari Torquay ke Warrnambool. Lihat pemandangan Lautan Selatan yang menakjubkan dari Anglesea dan di antara Lorne dan Apollo Bay, tempat lebuh raya meredah cenuram laut yang tinggi. Untuk mengalami suasana pesisir pantai secara lebih dekat, lakukan sebahagian atau keseluruhan Great Ocean Walk. Ia berliku-liku sepanjang 91km dari Apollo Bay ke Twelve Apostles. Terokai hutan lembap, puncak cenuram dan pantai terpencil ketika berjalan pada waktu siang atau lakukan kembara jalan kaki sepanjang lapan hari, dengan berkhemah di lokasi yang amat indah pemandangannya.

Budj Bim, Lake Condah, VIC
Budj Bim, Lake Condah, VIC

5. Pelbagai kekayaan sejarah Orang Asli

Lihat rumah batu dan perangkap memancing yang ditinggalkan di perkampungan Orang Asli tetap di Warisan Dunia Lake Condah. Berhampiran Tower Hill, anda boleh sertai lawatan berjalan kaki melalui gunung berapi yang telah pupus di mana Orang Asli pernah tinggal di situ sebelum gunung berapi itu meletus 30,000 tahun lalu. Rasai makanan tempatan, tengok hasil seni dan kerja tangan Orang Asli dan bersiar-siar melalui taman asli di pusat Orang Asli Geelong. Di William Buckley Discovery Trail berdekatan, anda boleh menjejaki cerita Orang Asli selepas penjajahan Eropah. Temui bahan buangan, tumbuhan tempatan dan tinggalan perkhemahan kuno di Yollinko Park Aboriginal Garden di Baron River.

Idea Australia selanjutnya