Sydney Harbour

Sydney Harbour National Park, NSW
Laluan Coast Track Royal National Park NSW
Laluan America Bay Ku-ring-gai Chase National Park NSW
Pandangan dari Bradleys Head NSW

Sydney Harbour

Sydney merupakan sebuah bandar yang dibentuk oleh pelabuhan semula jadinya yang menakjubkan. Dari Dreamtime hinggalah bangunan moden Sydney Opera House dan Sydney Harbour Bridge; Sydney Harbour merupakan nadi dan inti pati landskap yang meriah ini. Di pintu masuknya terdapat taman negara, tapak Warisan Dunia, warisan Orang Asli dan sejarah banduannya. Berenang di pantai yang murni dan jelajahi serokannya yang tersembunyi, berbasikal merentasi taman yang hening lalu saksikan matahari terbit di gigi lautan dari atas cenuram. Landskap alam semula jadi dan budaya Sydney, yang berlanjutan melepasi pelabuhannya, di sepanjang pantai dan laluan airnya, merupakan tapestri bertenaga yang menunggu anda menjelajahinya.

Lima cara menjelajahi Sydney Harbour

Landskap Bandar Sydney
Landskap Bandar Sydney

1. Pengalaman landskap bandar Sydney

Sydney Harbour merupakan salah satu landskap semula jadi yang begitu berpelbagai pemandangannya di dunia. Pinggir pantai yang dramatik menciptakan tempat meninjau pandangan hebat semula jadi yang tak putus dan peluang menikmati alam semula jadi. Daki ketinggian Sydney Harbour Bridge untuk menikmati pemandangan panoramik ke arah timur menghadapi Sydney Heads dan ke arah barat menghadapi Greater Blue Mountains. Terletak benar-benar di sempadan bandar, oasis bandar Royal Botanic Garden menunjukkan asal usul Australia dengan tanaman yang jarang didapati, yang bermula semenjak pelayaran Captain Cook lagi. Lawati Mrs Macquarie’s Chair untuk tempat istimewa bagi memerhatikan keseluruhan pemandangan yang menakjubkan ini dan luangkan sedikit masa untuk menjelajahi The Rocks, penempatan Eropah yang paling tua di Australia.

Bersnorkel di Nielsen Park
Bersnorkel di Nielsen Park

2. Tarikan di Sydney Harbour

Terbentang di seluruh pelabuhan, pulau-pulau di Sydney Harbour menawarkan pandangan dekat ke dalam sejarah masa lampau Orang Asli, banduan dan samudera Australia. Naik feri dari Circular Quay untuk menjelajahi pulau-pulau Fort Denison dan Goat. Berkhemah semalaman di Cockatoo yang tersenarai dalam Warisan Dunia lalu saksikan bandar ini hidup bercahaya di sekeliling anda. Pergi sejenak ke masa lalu dan angkat layar di dalam bot bersejarah Tall Ship atau temui sejarah Orang Asli pelabuhan ini dengan Tribal Warrior. Lihatlah antara hidupan liar yang paling unik di Australia di Wild Life Sydney, Sydney Aquarium atau Taronga Zoo yang hebat. Pergi bersnorkel di Nielsen Park di sepanjang Rose Bay ke Watsons Bay Walk. Dapatkan ikan dan kentang goreng lalu saksikan kapal persiar berlatarkan pemandangan bandar dari Watson’s Bay kemudian bersiar-siar dengan santainya ke South Head untuk melihat pemandangan yang mengagumkan.

Laluan Coast Track, Royal NP
Laluan Coast Track, Royal NP

3. Taman negara di Sydney

Taman Negara Sydney merupakan perjalanan merentasi sejarah Australia - melindungi kekayaan flora dan fauna Australia, tapak budaya purba Orang Asli, dan kubu ketenteraan. Terdapat juga begitu banyak tempat berenang dan laluan menjalani belukar di mana anda dapat melihat hidupan liar di habitat semula jadinya. Nadi 'hijau' landskap ialah Sydney Harbour National Park yang luas ini, yang mendakap pesisiran pantai di hujung Utara dan Selatan pintu masuk dramatik ke Port Jackson. Inap di Quarantine Station yang bersejarah di mana kapal pendatang yang pertama tiba dalam tahun 1830-an. Jangan lupa menyaksikan ikan paus dalam penghijrahan musim sejuk. Dari Middle Head anda boleh melangkaui pandangan melepasi Lautan Pasifik tanpa halangan ke ufuk. Sertai para sukarelawan dalam menjana semula kawasan belukar. Di selatan bandar, pergilah berjalan-jalan di Coast Track di Royal National Park dan saksikan cenuram, pantai dan pemandangan mengilhamkan dari Bundeena ke Otford. Lebih daripada 300 spesies burung telah dilihat di Royal National Park sahaja. Di utara, Ku-ring-gai Chase National Park menawarkan gabungan indah kawasan belukar dan teluk, hanya sepelaung dari pantai berpasir yang menyenangkan.

Lawatan 'Penemuan Orang Asli
Lawatan 'Penemuan Orang Asli

4. Pengalaman Orang Asli

Bukti panjangnya hubungan Orang Asli dengan negara ini dapat dilihat daripada ukiran batu, longgok buangan, tapak perkhemahan, pokok-pokok berparut yang telah diambil kulitnya dan stensil boleh didapati bertaburan di seluruh landskap ini. Pergilah berjalan-jalan di The Rocks dengan juru pandu Orang Asli untuk mengetahui tentang tradisi dan amalan budaya kaum Cadigal. Berlayar ke Parramatta untuk bersiar-siar di sepanjang Riverside Walk dan perhatikan pokok-pokok berparut di Parramatta Park. Ikuti lawatan Penemuan Orang Asli di Taman Negara Ku-ring-gai Chase atau Royal National Park, dan perhatikan ukiran batu di sepanjang laluan Bronte to Bondi Coastal Walk. Untuk mencicip sedikit budaya Orang Asli yang kontemporari, saksikan persembahan Bangarra Dance Theatre dan nikmati sebilangan makanan asli Australia di Purple Goanna di Redfern atau Gardener’s Lodge Café di Victoria Park.

Berkayak, Royal National Park
Berkayak, Royal National Park

5. Perjalanan pelabuhan dan pinggir pantai

Landskap ini merupakan syurga akuatik lengkap dengan segala-galanya, dari pantai lautan hinggalah pelayaran dan menaki bot sambil berdiri berkayuh di pantai pelabuhan. Berkayak di laluan air di mana-mana landskap untuk mencari sudut menarik khusus untuk anda. Dinginkan tubuh dengan berenang di salah satu pantai setempat yang popular seperti Bronte dan Freshwater, atau berjalan-jalan di sekeliling kolam batunya. Layari perairan di Harbour atau ambil bahagian dalam salah satu renangan lautan yang telah diatur. Lihat berjenis-jenis burung air di tanah lembap tepi sungai Bicentennial Park di Sydney Olympic Park, dan bersiar-siarlah di sekitar hutan bakau terbesar yang masih kekal di Parramatta River. Terokalah hidupan bawah laut yang kaya dalam safari bersnorkel di Clovelly di mana anda mungkin dapat melihat kelibat Bluey, Blue Groper yang tetap tinggal di sini, atau di Bare Island di mana anda boleh dapati ikan pari sand ray dan hidupan bunga karang yang berwarna-warni. Ikuti selaman Underwater Nature Trail di Gordon’s Bay, salah satu tapak menyelam yang paling menguja di Sydney - perhatikan sotong gurita, sotong katak dan nudibrankia yang berwarna-warni.

Lebih Lanjut mengenai Idea Australia