Warisan Pulau Tasmania

Bay of Fires - TAS
Lake Oberon- TAS
Tasmanian Devil
Wineglass Bay - TAS

Warisan Pulau Tasmania

Landskap Warisan Negara Pulau Tasmania merupakan belantara yang asli dan indah namun mudah diziarahi, ia terdiri daripada pinggir pantai yang luar biasa, hutan tebal dan pergunungan yang diliputi salji. Terpisah dari tanah besar Australia ketika Zaman Ais yang terakhir, pulau ini telah berkembang dalam keterasingan yang mengagumkan selama hampir 10,000 tahun, ini menciptakan muzium hidup tumbuhan dan haiwan yang paling tua dan jarang didapati di dunia. Keindahan Warisan Pulau Tasmania yang masih tidak terusik begitu berharga sehinggakan ia memenuhi lebih banyak kriteria Warisan Dunia berbanding mana-mana tempat lain di seluruh dunia. Di sini, anda akan menemui pengalaman alam semula jadi dan pengembaraan bertaraf dunia yang tak berpenghujung, dan tertawanlah oleh warisan Orang Asli dan sejarah banduan dan petempatan awal Australia.

Lima sebab anda akan menyukai Warisan Pulau Tasmania

Wineglass Bay dan The Hazards
Wineglass Bay dan The Hazards

1. Belantara asli

1.4 juta hektar yang membentuk kawasan Belantara Warisan Dunia Tasmania meliputi sehingga satu perlima pulau ini. Southwest National Park ini sendiri lebih besar daripada kebanyakan negara-negara kecil! Kawasan lain yang kaya dengan warisan sejarah dan alam semula jadi termasuklah Franklin-Gordon Wild Rivers National Park, Tarkine di barat laut dan Cradle Mountain-Lake St Clair National Park yang menempatkan hutan-hutan purba dan Lake St Clair, tasik yang terdalam di Australia. Tujui puncak Mount Wellington untuk melihat pemandangan mengagumkan Tasman Peninsula atau berenang di dalam air biru nilam Wineglass Bay, salah satu antara 10 pantai terbaik di dunia.

Kawasan Bersejarah Port Arthur
Kawasan Bersejarah Port Arthur

2. Sejarah yang kaya

Ketahui tentang sejarah banduan awal Australia di Kawasan Bersejarah Port Arthur yang disenaraikan sebagai Warisan Dunia. Dengari kisah petempatan banduan terawal di Sarah Island atau rasai perjalanan dengan kereta api West Coast Wilderness Railway yang menampilkan sekilas pandangan mengenai warisan pelombongan Australia. Banyak muzium eksklusif yang mempamerkan sejarah banduan dan samudera Australia. Ketahui tentang warisan Orang Asli Tasmania yang kaya dan kumpulan manusia yang paling lama terpencil dalam sejarah di bahagian barat laut Rocky Cape National Park. Bersiar-siarlah di sepanjang jalan berbatu buntar melepasi gudang lama abad ke-19 di sekitar Sullivan’s Cove dan Salamanca Place di Hobart, serta melawati pasar berwarna-warni yang menjadi hidup pada setiap hujung minggu.

Tasmanischer Teufel
Tasmanischer Teufel

3. Berjalan di kawasan belantara

Pikul beg galas anda dan jelajahi antara laluan pejalan kaki terbaik di Australia. Overland Track dari Cradle Mountain ke Lake St Clair dan Bay of Fires Walk di sepanjang pinggir pantai timur laut adalah dua laluan pejalan kaki terbaik di Australia. Freycinet Experience Walk, perjalanan empat hari diiringi penunjuk jalan yang melalui sepanjang pantai Freycinet Peninsula. Ikuti penunjuk jalan dalam Maria Island Walk atau jelajahinya mengikut kelapangan anda. Terpegunlah dengan pokok pain Huon, salah satu organisma hidup tertua di bumi pada laluan pejalan kaki Tahune Forest. Ketahui tentang Harimau Tasmania yang telah pupus dan bersemukalah dengan Tasmanian Devil yang terancam atau platipus yang sukar ditemui. Saksikan burung nuri perut jingga, salah satu burung yang paling jarang dijumpai di dunia.

Penerbangan Pemandangan, Gordon River
Penerbangan Pemandangan, Gordon River

4. Pengembaraan kawasan belantara

Nikmati ketenangan pelayaran persiaran atau berkayak di Sungai Gordon yang sunyi atau cabar diri anda dengan berakit meredah jeram di Sungai Franklin. Berski, berjalan atau mendaki batuan di puncak Ben Lomond National Park yang berceranggah. Lawati pulau terpencil di luar pantai Tasmania termasuk Bruny Island, King Island dan Flinders Island. Temui penjaga rumah api di Bonnet Island yang terpencil dan saksikan Little Penguins ketika ia naik ke darat selepas bermain-main di laut sepanjang hari. Jelajahi pekan Stanley yang bersejarah, daki atau naiki lif kerusi ke puncak ‘The Nut’, mendulang batu nilam berdekatan pekan lombong timah Derby atau naiki pesawat untuk menikmati pemandangan kawasan belantara yang luas.

Kilang membuat wain, Tamar Valley
Kilang membuat wain, Tamar Valley

5. Makanan dan Wain

Nikmati hasil tanaman gourmet segar dan wain cuaca sejuk bertaraf antarabangsa dari kawasan penanaman wain Coal River dan lembah Derwent serta Huon. Makan dan minum sambil anda menjelajahi kilang-kilang membuat wain di sepanjang Laluan Pelancongan Tamar Valley. Tinjau galeri antik, kedai kraf tangan dan pasar di desa Georgian di Evandale. Rasai bir dan wiski butik ternama di Australia, nikmati hasil organik yang kaya seperti buah beri yang mengecurkan, epal yang rangup, daging daripada lembu padang rumput dan makanan laut segar yang didapati dari air tulen di Southern Ocean. Pastikan anda masih punyai ruang untuk menikmati coklat buatan tangan, keju yang lazat dan aiskrim buatan sendiri yang didatangkan terus dari padang rumput tenusu yang subur.

Idea Australia selanjutnya