Kesihatan & Keselamatan

Kesihatan & Keselamatan

Secara umumnya, Australia merupakan destinasi yang selamat dan para pelancong menikmati pengalaman perjalanan yang lancar dari aspek keselamatan dan jaminan peribadi. Sistem politik kami yang stabil, jalan raya yang diselenggarakan dengan baik, kadar jenayah rendah dan mutu kesihatan tinggi menjadikan Australia negara yang selamat dan mudah untuk diterokai.

Dengan petua mudah, anda dengan selamatnya boleh menikmati landskap unik Australia di pedalaman yang luas, pantai laut yang liar dan belantara yang indah. Namun, seperti semua pelancongan di negara sendiri atau di tempat lain, anda patut mematuhi langkah berjaga-jaga yang sama berkenaan keselamatan diri dan harta benda anda.

Di sini, anda boleh mendapatkan maklumat berguna tentang kemudahan dan perkhidmatan kesihatan yang tersedia serta pautan laman web untuk maklumat lanjut yang terperinci.

Insurans Pelancongan & Perkhidmatan Perubatan

Polisi insurans pelancongan yang melindungi anda daripada kecurian, kehilangan, kemalangan dan masalah kesihatan sebelum anda melancong amat disyorkan. Jika anda merancang untuk melakukan sebarang aktiviti-aktiviti lasak seperti selam skuba, pengembaraan belukar atau perjalanan ke kawasan terpencil, sila semak sama ada perlindungan anda merangkumi aktiviti-aktiviti ini. Jangan lupa membawa butiran perlindungan insurans dan nombor hubungan kecemasan bersama anda.

Sistem penjagaan kesihatan awam Australia dipanggil Medicare dan hospital Australia membekalkan kemudahan rawatan perubatan dan standard penjagaan yang bertaraf dunia. Kerajaan Australia mempunyai perjanjian penjagaan kesihatan salingan dengan sesetengah negara untuk rawatan yang diperlukan dari segi perubatan semasa melawat Australia, namun anda sebaik-baiknya memeriksa kelayakan anda sebelum anda meninggalkan negara anda dan pastikan anda mempunyai insurans pelancongan yang bersesuaian untuk melindungi penginapan anda di Australia.

Pemvaksinan & Rawatan Perubatan

Tiada pengimunan atau pemvaksinan yang khas diperlukan semasa melawat ke Australia melainkan anda datang dari atau telah melawat negara yang berwabak demam kuning dalam lingkungan enam hari sebelum ketibaan anda. Namun, peraturan dan nasihat perubatan boleh berubah dengan notis yang singkat, jadi semak dengan doktor anda dan semak laman web Kerajaan Australia yang berkenaan sebelum anda keluar dari negara anda.

Ubat yang dibawa masuk ke Australia untuk kegunaan peribadi tertakluk kepada kawalan dan mesti diisytiharkan semasa ketibaan anda. Anda disarankan supaya membawa preskripsi atau surat daripada doktor anda yang menyatakan keadaan anda dan ubat yang dibawa. Jika anda perlu mendapatkan ubat preskripsi semasa berada di sini, preskripsi tersebut mesti dikeluarkan oleh doktor di Australia.

Pelancongan Mesra

Banyak masa digunakan dan banyak usaha telah dilakukan sejak kebelakangan ini untuk memastikan pelancong kelainan upaya tidak terhalang daripada menikmati keindahan dan keseronokan Australia. Jika anda mengalami masalah kesihatan atau mempunyai keperluan khas, banyak perkhidmatan yang tersedia boleh ditemui di sini. Bincangkan keperluan khas ini dengan ejen pelancongan anda atau layari laman web berikut untuk membantu anda membuat persiapan sebelum bertolak.

Perlindungan matahari

Matahari di Australia sangat terik dan boleh menyebabkan selaran matahari pada kulit walau hanya terdedah selama 15 minit pada musim panas, jadi adalah penting anda melindungi diri anda daripada sinaran matahari walaupun pada hari mendung.

Kerajaan Australia telah melakukan banyak usaha sejak beberapa dekad yang lalu dalam mendidik orang Australia tentang cara melindungi diri mereka daripada dedahan terlampau terhadap sinaran ultra ungu (UV) matahari yang merupakan punca utama barah kulit, iaitu barah paling utama di Australia.

Semua kanak-kanak di Australia kini menyapu krim pelindung matahari dan memakai topi bertepi lebar ke sekolah dan kebanyakan pakaian renang kini dihasilkan dengan bahan pelindung sinaran matahari.

Semasa melancong di Australia, jadilah “celik matahari” dan lindungi diri anda daripada sinaran matahari dengan memakai pakaian yang melindungi sebanyak kulit yang mungkin, sentiasa sapu krim pelindung matahari kalis air bertahap tinggi semasa berenang, pakai topi dan cermin mata hitam yang memberikan perlindungan kepada muka, hidung, leher, telinga dan mata serta duduk di kawasan yang teduh.

Penjagaan tambahan harus dibuat pada waktu tengah hari kerana pada masa itulah sinaran UV paling terik dan pastikan anda minum air yang mencukupi untuk mengelakkan penyahhidratan.

Pemberitahuan SunSmart UV daripada Kerajaan Australia akan memberitahu anda tempoh anda perlu berjaga-jaga dan pemberitahuan tersebut akan dipaparkan pada halaman cuaca dalam hampir semua surat khabar harian dan juga laman web Biro Meteorologi.

Majlis Barah Australia telah menghasilkan pelbagai produk perlindungan matahari yang berkualiti tinggi dengan harga berpatutan, termasuk cermin mata hitam, pakaian perlindungan UV, krim pelindung matahari, topi, pelindung matahari, gogal, khemah, payung dan alat solek. Kesemua ini ada dalam talian dan juga di kedai Majlis Barah negeri dan wilayah, farmasi dan cawangan runcit yang lain di seluruh negara.

Keselamatan Luncur Air & Pantai

Kebanyakan penduduk Australia tinggal berdekatan dengan persisiran pantai dan pantai telah lama menjadi keistimewaan dalam identiti Australia. Orang Australia menggemari air, dan setiap hari ribuan orang akan membanjiri persisiran pantai Australia untuk berenang, meluncur, bersantai dan bergembira. Namun, pantai kami yang cantik menawan juga ada bahaya tersembunyi dalam bentuk arus yang kuat dan keadaan pantai boleh berubah secara dramatik bagi mereka yang tidak biasa dengannya.

Pantai terkenal selalunya diawasi oleh penyelamat sukarela dari bulan Oktober hingga April. Bendera merah dan kuning menandakan kawasan paling selamat untuk berenang. Jaga keselamatan, sentiasa berenang dalam lingkungan bendera-bendera ini dan jangan berenang berseorangan.

Jika anda merancang untuk menyelam, semak dengan operator selam tempatan atau hubungi Persatuan Industri Selam di negeri yang akan anda kunjungi untuk maklumat lanjut mengenai keadaan tapak, peraturan keselamatan, lesen, permit dan keperluan kelas penyelam.

Hidupan Liar

 Hidupan liar Australia yang unik dan luar biasa merupakan tarikan pengunjung kami yang utama, tetapi dengan adanya pengetahuan am, anda tidak perlu terlalu khuatir akan hidupan liar Australia yang bahaya.

Serangan ikan yu adalah sangat jarang di Australia. Jaringan ikan yu di pantai Australia menjauhkan ikan yu, tetapi anda boleh mengurangkan lagi risiko anda dengan selalu berenang di antara bendera di pantai yang dironda dan jangan berenang berseorangan.

Buaya tinggal di sungai dan muara pantai merentasi bahagian utara Australia. Apabila menghampiri habitat buaya, patuhi tanda keselamatan dan jangan berenang dalam sungai, muara, sungai pasang surut, kolam dalam atau persisiran paya bakau. Dapatkan nasihat pakar tentang buaya sebelum berkhemah, menangkap ikan atau menaiki bot.

Ubur-ubur terdapat dalam air tropika dari bulan November hingga April. Dalam tempoh ini, anda hanya boleh berenang di kawasan dengan halangan ubur-ubur yang didirikan di pantai-pantai yang paling terkenal. Anda juga perlu memakai pakaian perlindungan semasa berenang di kawasan ini dan sentiasa mengambil perhatian pada tanda amaran.

Terdapat ular dan labah-labah yang berbisa di Australia, tetapi kejadian patukan dan sengatan amat jarang berlaku dan biasanya tidak membawa maut. Semasa mengembara belukar atau mendaki, elakkan patukan dengan memakai kasut perlindungan dan gunakan pengetahuan am anda. Jika dipatuk, anda mesti mendapatkan rawatan perubatan dengan segera.

Melancong di lokasi terpencil

Laluan di pedalaman Australia merupakan perjalanan kenderaan pacuan empat roda yang paling menyeronokkan di dunia, tetapi memandu di kawasan terpencil dan berceranggah di Australia memerlukan persediaan yang terperinci. Sebelum memulakan perjalanan ke pedalaman tanpa teman, periksa keadaan jalan raya, pastikan kenderaan anda dilengkapi dengan alat keperluan, sediakan peta yang lengkap, bekalan tambahan dan rancangan kecemasan. Pastikan anda memaklumkan seseorang tentang ketibaan jangkaan anda. Jarak di antara bandar-bandar di Australia biasanya beratus-ratus kilometer, jadi rancanglah perjalanan anda dengan baik. Sedia maklum bahawa liputan telefon mudah alih mungkin terhad di kawasan terpencil. Jika kenderaan anda rosak di kawasan terpencil, sila sentiasa berada di kenderaan anda. Ini ialah asas menyelamatkan diri yang paling penting. Sesetengah jalan tidak sepatutnya dilalui melainkan anda mengembara secara berkumpulan dan terancang.

Semasa mengembara ke belukar atau mendaki, periksa jarak dan tahap kesukaran perjalanan dan guna pemandu tempatan untuk perjalanan yang panjang dan mencabar. Semak laman web Taman Australia untuk mendapatkan maklumat terkini tentang keadaan laluan dan bahaya.

Bencana alam

Dari semasa ke semasa Australia mengalami pelbagai 'bencana alam' dan antaranya termasuk kebakaran belukar, banjir, kemarau, gelombang haba, ribut kencang dan kadang kalanya gempa bumi dan tanah runtuh. Peristiwa ini biasanya dianggap sebagai sebahagian daripada ciri nasional Australia serta sebahagian daripada kitaran semula jadi corak cuaca di Australia.

Banyak agensi Kerajaan Australia mempunyai peranan masing-masing semasa berlakunya kecemasan. Laman web Kecemasan Kesihatan Kerajaan Australia membekalkan maklumat yang terkini, mesej kesihatan yang penting dan aturan respons berkaitan dengan kesihatan.

Perkhidmatan Kecemasan

000 ialah nombor bagi semua perkhidmatan kecemasan di Australia. Operator akan menghubungkan anda kepada polis, ambulans atau bomba. Anda hanya perlu memanggil 000 semasa kecemasan.

Idea Australia selanjutnya

Pautan berikut membekalkan maklumat lanjut tentang pelancongan yang selamat dan sihat di Australia:

Perkhidmatan Kastam & Perlindungan Sempadan Australia: www.customs.gov.au

Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Australia: www.daff.gov.au/aqis

Jabatan Kesihatan & Penuaan Kerajaan Australia: www.health.gov.au

Keselamatan Nasional Australia: www.nationalsecurity.gov.au

Rawatan Perubatan Australia: www.medicareaustralia.gov.au

Kecemasan Kesihatan: www.healthemergency.gov.au

Pelancongan mesra: www.australiaforall.com atau www.nican.com.au

Kawasan Taman Negara & Belantara Australia: www.environment.gov.au/parks

Biro Meteorologi Kerajaan Australia: www.bom.gov.au

Pengurusan Kecemasan Kerajaan Australia: www.em.gov.au

Jadilah Celik Matahari: www.sunsmart.com.au

Majlis Barah Australia: www.cancer.org.au

Penyelamat Nyawa Luncur Air Australia: www.sls.com.au

Persatuan Industri Selam: www.diveindustry.com.au