Merancang perjalanan ke Australia?

Merancang perjalanan ke Australia?

Kami telah mengumpulkan maklumat perjalanan berguna yang anda perlukan, termasuk visa, kastam, beli-belah bebas cukai dan insurans.

Penerbangan

Banyak syarikat penerbangan terbang ke Australia dan harganya agak berbeza. Oleh itu, buatlah perbandingan anda sendiri sebelum membeli. Pertimbangkan tempoh penerbangan dan sebarang perhentian yang wajib. Mula dengan menghubungi syarikat penerbangan yang utama atau agen pelancongan Aussie Specialist tempatan anda.

Pengangkutan ke lapangan terbang
Semua lapangan terbang antarabangsa di Australia mempunyai pengangkutan awam biasa seperti bas, keretapi dan teksi serta kenderaan peribadi ke pusat bandaraya. Bas ulang-alik juga sedia ada dan membawa anda ke tempat penginapan.

Krus
Banyak kapal krus antarabangsa bersinggah di bandaraya Australia, dan terdapat peluang untuk mengambil lawatan darat dan kembali ke kapal kemudian atau tinggal lebih lama dan terbang balik selepas itu. Kebanyakan kapal krus bersinggah di pantai Australia semasa bulan musim panas.

Visa
Melainkan jika anda ialah warga Australia atau New Zealand, anda memerlukan visa untuk masuk ke Australia. Pemegang pasport New Zealand boleh memohon visa semasa ketibaan di Australia. Semua pemegang pasport lain mesti memohon visa sebelum meninggalkan negara anda. Anda boleh memohon pelbagai jenis visa, termasuk visa pelancong dan visa kerja semasa bercuti, di Konsulat Australia yang terdekat dengan anda. Untuk maklumat lanjut, layari laman web kerajaan Australia berkenaan Visa & Imigrasi

Kastam dan kuarantin
Undang-undang kastam Australia melarang anda dari membawa dadah, steroid, senjata, senjata api dan haiwan yang dilindungi ke dalam Australia. Sesetengah barang biasa seperti makanan, buah-buahan, telur, daging, tumbuhan, biji benih, kulit dan bulu yang segar atau dibungkus juga dilarang. Tiada had untuk mata wang tetapi anda perlu mengisytiharkan jumlah wang melebihi $10,000. Untuk maklumat lanjut, layari laman web kerajaan Australia berkenaan Kastam & Kuarantin

Ubat-ubatan
Ubat yang dibawa masuk ke Australia untuk kegunaan peribadi tertakluk kepada kawalan dan mesti diisytiharkan semasa ketibaan anda. Adalah disarankan untuk membawa preskripsi atau surat dari doktor anda yang menyatakan keadaan anda dan ubat yang dibawa. Untuk maklumat lanjut, layari laman web Medicare Australia 

Pemvaksinan
Anda tidak memerlukan pemvaksinan kecuali jika anda datang dari, atau telah melawat negara yang mempunyai jangkitan demam kuning, dalam tempoh masa 6 hari sebelum ketibaan anda. Baca lembaran fakta kerajaan Australia berkenaan Demam kuning

Insurans
Mengambil polisi insurans perjalanan yang merangkumi kecurian, kehilangan, kemalangan dan masalah perubatan adalah sangat disarankan. Jika anda merancang untuk melakukan aktiviti sukan lasak seperti menyelam skuba, terjun bungee, bermotosikal, berski dan juga meredah belukar, pastikan bahawa polisi anda melindungi anda sepenuhnya. Kerajaan Australia mempunyai perjanjian setanding dengan beberapa negara lain yang meliputi perkhidmatan kesihatan bersubsidi terhad untuk rawatan perubatan melalui Medicare. Untuk maklumat lanjut, layari laman web Medicare Australia 

Beli-belah bebas cukai
Anda boleh membeli belah bebas cukai selepas anda membeli tiket penerbangan anda. Terdapat had jumlah barang yang boleh dibawa masuk termasuk kuantiti alkohol dan rokok. Anda perlu mengisytiharkan barangan yang melebihi had ini di Kastam. Anda juga perlu tahu tentang had kuantiti bendalir yang boleh dibawa ke dalam pesawat. Untuk maklumat lanjut, layari laman web Kastam Australia

Petua perjalanan yang berguna
Mata wang, komunikasi, kesihatan dan keselamatan serta membeli-belah semuanya merupakan aspek yang penting dalam perancangan perjalanan anda ke Australia. Jika anda mempunyai kecacatan atau akan datang dengan seseorang yang mempunyai keperluan khas, anda juga perlu tahu tentang kemudahan yang ditawarkan. Pelajari lebih lanjut

Iklim Australia
Iklim Australia berubah-ubah merentasi benua ini, dari panas dan topika di hujung utara ke nyaman dan bersalji di selatan. Musim kami bertentangan dengan musim di hemisfera utara. Antara bulan Disember dan Februari ialah musim panas untuk kebanyakan kawasan Australia, dan musim basah di kawasan tropika utara. Musim sejuk Australia dari bulan Jun ke Ogos pada umumnya adalah sederhana, tetapi menawarkan salji di rantau pergunungan selatan dan hari terang dan kering in negeri utara. Adalah penting untuk melindungi anda dari sinaran matahari Australia dengan topi, kemeja dan krim pelindung matahari SPF30+. Untuk maklumat lanjut, layari laman web Biro Meteorologi Kerajaan Australia

Zon masa
Australia mempunyai tiga zon masa: Eastern Standard Time (EST) untuk negeri-negeri timur, Central Standard Time (CST) untuk Wilayah Utara dan Australia Selatan dan Western Standard Time (WST) untuk Australia Barat. CST adalah setengah jam di belakang EST dan WST adalah dua jam di belakang EST.

Penjimatan ‘Daylight’
Kebanyakan negeri Australia memutarkan jam mereka satu jam ke depan semasa tempoh Daylight Saving New South Wales, Wilayah Ibu Negeri Australia, Victoria, Tasmania dan Australia Selatan melaksanakan langkah ini dari awal bulan Oktober ke awal bulan April. Wilayah Utara, Australia Barat dan Queensland tidak mempunyai Daylight Saving.

Idea Australia selanjutnya