Program Bercuti Sambil Bekerja

Ladang Anggur Bulong, Yarra Valley, VIC. © Tourism Victoria & Cormac Hanrahan

Program Bercuti Sambil Bekerja

Merancang untuk tinggal dan bekerja semasa anda melawati Australia?

Jika anda berumur antara 18 dan 30 tahun dan memegang pasport negara atau wilayah yang mengambil bahagian dalam program Bercuti Sambil Bekerja Australia, anda mungkin layak untuk memohon visa 12 bulan yang membolehkan anda bekerja di Australia semasa anda berada di sini.

Program Bercuti Sambil Bekerja oleh Kerajaan Australia, yang termasuk visa Bercuti Sambil Bekerja dan visa Bekerja dan Bercuti, ialah program pertukaran budaya yang membolehkan pengembara muda melanjutkan cuti mereka sambil mendapatkan wang melalui pekerjaan jangka pendek. Jika anda bekerja di kawasan rantau Australia, dalam keadaan tertentu, anda mungkin boleh melanjutkan lawatan anda selama 12 bulan lagi.

Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan Kerajaan Australia menguruskan kesemua urusan imigresen kekal dan sementara bagi negara Australia termasuk permohonan visa. Laman web mereka akan memberitahu anda semua yang anda perlu ketahui tentang cara program Bercuti Sambil Bekerja berfungsi, negara yang mengambil bahagian, jenis visa yang anda perlukan untuk masuk ke Australia, kelayakan anda dan cara memohon: www.immi.gov.au/visitors/working-holiday/.

Visa Bercuti Sambil Bekerja (Subkelas 417) & Visa Bekerja dan Bercuti (Subkelas 462)

Program Bercuti Sambil Bekerja terdiri daripada dua jenis visa: Visa Bercuti Sambil Bekerja (Subkelas 417) dan visa Bekerja dan Bercuti (Subkelas 462) bergantung pada negara tempat tinggal anda. Lihat di bawah bagi senarai negara yang layak bagi setiap visa.

Jika anda ingin mengambil bahagian dalam Program Bercuti Sambil Bekerja Australia, anda perlu memohon untuk mendapatkan visa anda sebelum anda tiba. Jenis visa ini membolehkan anda tinggal dan bekerja di Australia dengan semua jenis pekerjaan sama ada kerja sepenuh masa, separuh masa, sambilan, syif dan sukarela selama 12 bulan. Anda boleh meninggalkan dan memasuk semula ke Australia beberapa kali selagi visa itu sah.

Anda boleh juga belajar selama maksimum empat bulan di Australia di samping bekerja semasa percutian anda.

Anda perlu memenuhi keperluan kesihatan, karakter dan kewangan yang tertentu serta mengisytiharkan bahawa anda akan menghormati nilai hidup Australia dan mematuhi undang-undang Australia sebelum visa diberi. Anda juga perlu mempunyai tiket pulang balik atau untuk meneruskan perjalanan atau dana yang cukup untuk tambang bagi meninggalkan Australia. Insurans kesihatan daripada negara anda sendiri juga disarankan.

Program Bercuti Sambil Bekerja tidak sesuai untuk mereka yang mencari pekerjaan tetap atau belajar sepenuh masa di Australia. Jika sebab utama anda datang ke Australia adalah untuk mencari pekerjaan atau belajar, anda hendaklah bertanya tentang visa perniagaan atau visa pelajar yang lebih sesuai dengan keperluan anda.

Baca keperluan visa Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan Kerajaan Australia dengan teliti untuk mengetahui kelayakan dan tanggungjawab anda sebelum memohon. Terdapat bayaran yang tidak akan dikembalikan apabila anda mengemukakan permohonan anda.

Visa mana yang patut saya mohon?

Mohon visa Bekerja dan Bercuti (Subkelas 462) jika anda dari:

• Argentina
• Bangladesh
• Chile
• Indonesia
• Malaysia
• Poland
• Turki
• Thailand
• Uruguay
• USA

Mohon visa Bercuti Sambil Bekerja (Subkelas 417) jika anda dari:

• United Kingdom
• Kanada
• Belgium
• Denmark
• Estonia
• Finland
• Perancis
• Jerman
• Hong Kong
• Itali
• Jepun
• Malta
• Belanda
• Norway
• Republik Ireland
• Republik Cyprus
• Republik Korea
• Sweden
• Taiwan

Kami juga sedang berunding dengan sebilangan negara lain, jadi lawati laman web Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan untuk mendapatkan kemas kini yang terkini. www.immi.gov.au

Visa Cuti sambil Bekerja Kedua

Jika anda hendak tinggal lebih lama dan meneruskan cuti sambil bekerja anda, anda boleh memohon visa Bercuti Sambil Bekerja kedua yang membolehkan anda tinggal selama 12 bulan lagi.

Untuk layak memohon, anda mestilah memegang atau sebelum ini telah memegang visa Bercuti Sambil Bekerja (subkelas 417), dan telah melengkapkan tiga bulan bekerja dalam pekerjaan yang dinyatakan di kawasan rantau Australia semasa memegang visa Bercuti Sambil Bekerja (subkelas 417) yang pertama. Semak untuk memastikan bahawa kerja yang anda buat dan kawasan rantau Australia tersebut layak mengikut garis panduan ini.

Anda boleh memohon visa Bercuti Sambil Bekerja kedua sama ada anda masih mempunyai visa Bercuti Sambil Bekerja atau setelah visa anda luput tarikh.
Untuk maklumat lanjut mengenai permohonan visa Bercuti Sambil Bekerja kedua: www.immi.gov.au/Visas/Pages/417.aspx.

Bekerja secara sah

Kerajaan Australia mempunyai undang-undang yang ketat berkenaan pekerjaan bukan warganegara dan hukuman kerana menyalahi undang-undang. Jangan sekali-kali cuba bekerja tanpa visa yang betul. Jika visa Bercuti Sambil Bekerja anda luput tarikh dan anda belum meninggalkan Australia atau memohon visa lain, anda menghadapi risiko ditahan dan kemungkinan dihantar pulang. Anda juga mungkin tidak akan dibenarkan untuk kembali ke Australia dalam tempoh masa tertentu.

Terdapat pilihan visa yang lain jika anda ingin tinggal sementara atau selama-lamanya di Australia pada penghujung tempoh cuti sambil bekerja anda.

Untuk butiran lanjut mengenai bekerja di Australia termasuk lawatan melalui visa Bercuti Sambil Bekerja, layari laman web Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan Kerajaan Australia di: www.immi.gov.au/Work/Pages/Work.aspx

Tourism Australia telah bekerjasama dengan monster.com untuk mewujudkan laman web kerja kosong yang tersedia untuk pelawat yang bercuti sambil bekerja.

Maklumat tentang peluang kerja menuai di kawasan rantau Australia boleh didapati di laman web Harvest Trail Kerajaan Australia. www.harvesttrail.org.au

Klik di sini untuk mendapatkan jawapan bagi beberapa Soalan Lazim tentang program visa Bercuti Sambil Bekerja oleh Kerajaan Australia

Ketahui tentang pengalaman bercuti sambil bekerja pelawat lain di www.facebook.com/AustralianWorkingHoliday#!/AustralianWorkingHoliday.

Idea Lebih Lanjut mengenai Australia