Pengangkutan di Australia

Pengangkutan di Australia

Anda tahu Australia ialah negara yang besar, tetapi anda mungkin tidak tahu betapa senangnya untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Pantai berbatu-batu panjangnya dan gurun yang menyentuh ufuk kesemuanya mudah dilawati. Ingin berlayar di Whitsundays, merentasi benua dengan kereta atau menikmati perjalanan keretapi melalui kanopi hutan hujan? Berikut adalah cara-cara berlainan untuk menerokai negara kami yang besar dan penuh kepelbagaian.

Udara

Terbang merupakan cara terbaik untuk merentasi jarak yang jauh dalam masa yang singkat. Anda akan mengurangkan masa perjalanan dan meluangkan lebih masa di destinasti untuk menikmati lanskap Australia dan gaya hidup santai kami. Syarikat penerbangan domestik Australia - Qantas, Jetstar, Virgin Blue, Rex dan subsidiari mereka semuanya terbang ke semua bandaraya ibu negeri dan pusat wilayah. Persaingan antara syarikat penerbangan domestik memastikan bahawa tiket yang murah sedia ada.

Pandu

Australia mempunyai jaringan jalan raya yang luas dan diselenggara baik. Jalan raya ini ialah antara laluan jalan lawatan yang tercantik di dunia. Beralih dari Sydney ke Brisbane melalui bandar tepi pantai yang santai dan daerah pedalaman yang subur. Alami Red Centre Australia dalam pemanduan epik merentasi gurun. Atau ikuti Great Ocean Road di Victoria di pantai tenggara kami yang menakjubkan. Anda akan mendapati syarikat sewa kereta di lapangan terbang utama, pusat bandaraya, subbandar dan tempat peranginan. Sewalah kereta, kenderaan pacuan empat roda, karavan atau motosikal dan terus ke lebuh raya.

Undang-undang memandu

Warga Australia memandu di sebelah kiri jalan raya, dengan stereng kereta di sebelah kanan kereta. Had laju maksimum di bandaraya dan bandar ialah 60km/j dan 50km/j di sesetengah kawasan subbandar. Di jalan desa dan lebuh raya, kelajuan maksimum biasanya ialah 110km/j. Untuk keselamatan anda, undang-undang jangan pandu ketika mabuk adalah berkuatkuasa, dan pemandu serta penumpang mesti memakai tali pinggang keselamatan setiap masa. Pemandu motosikal dan basikal mesti memakai topi keledar. Pelawat antarabangsa boleh memandu di Australia dengan lesen pemandu luar negara yang sah untuk kelas kenderaan yang sama. Anda patut membawa kedua-dua lesen tempatan dan lesen antarabangsa anda ketika memandu.

Bas

Perjalanan bas di Australia adalah selesa, mudah dan ekonomikal. Bas biasanya mempunyai penghawa dingin, lampu membaca, kerusi boleh laras dan video. Perkhidmatan adalah kerap, harga berpatutan dan cekap. Bas kebangsaan Australia, Greyhound, menawarkan pas untuk setiap bajet anda.

Kereta api

Perjalanan kereta api adalah cara yang menyenangkan, murah dan indah untuk menjelajah Australia. Perkhidmatan kereta api dalam negeri dan antara negeri menghubungkan bandar-bandar kita dan pusat serantau, manakala perjalanan kereta api merentas negara menawarkan pandangan unik kepada saiz dan kepelbagaian Australia. Pilihan perjalanan terdiri daripada perjalanan bajet hingga ke mewah, dan rangkaian pas rel boleh mengurangkan kos anda jika anda merancang untuk melihat sebahagian besar negara.

Kereta api Countrylink menyambungkan destinasi New South Wales dan juga berjalan sepanjang pantai timur Australia ke Melbourne, Brisbane dan Canberra. Kereta api VLine menghubungkan Melbourne dengan hab serantau di Victoria, Traveltrain meliputi Queensland dan TransWA merentasi Australia Barat.

Australia juga mempunyai perjalanan rel epik seperti The Ghan dan Indian-Pacific, yang merentasi benua ini, menawarkan keselesaan dan perasaan romantik era silam. Kereta api Indian-Pacific mengembara di antara Sydney ke Perth, berhenti untuk lawatan perhentian di Broken Hill, Adelaide dan Kalgoorlie yang kaya dengan emas. Ghan berlegenda mengembara di antara Adelaide dan Darwin, melepasi Red Centre Australia dan kawasan tropika Top End.

Pengangkutan awam

Semua bandaraya ibu negeri Australia mempunyai pelbagai jenis pengangkutan awam, termasuk keretapi, bas, feri, monorel, rel ringan dan tram. Teksi mengenakan caj mengikut meter.

Feri

Spirit of Tasmania mempunyai perkhidmatan feri penumpang dan kenderaan antara Melbourne dan Tasmania setiap malam. Perkhidmatan tambahan disediakan semasa masa sibuk musim panas. Feri Sealink menghubungkan Australia Selatan dan Kangaroo Island beberapa kali sehari. Feri menghubungkan subbandar di bandaraya ibu kota – feri berulang-alik antara Sydney Harbour, Swan River in Perth dan Brisbane River di Brisbane.

Berjalan kaki

Berjalan kaki merupakan langkah yang baik untuk bergerak dalam bandaraya kami. Justeru, bersedia untuk menggunakan laluan pejalan kaki kami yang lebar dan selesa. Anda juga boleh mencuba trek dan laluan Australia, antara yang terpanjang di dunia, perjalanan hebat ribuan kilometer yang memerlukan masa beberapa minggu.

Cari Penyewaan dan Pengangkutan