Petua/bahaya Perjalanan Australia

Petua/bahaya Perjalanan Australia

Sistem politik Australia yang stabil, jalan raya yang diselenggara baik, kadar jenayah rendah dan mutu perkhidmatan kesihatan yang tinggi menjadikannya negara yang selamat dan agak mudah untuk diterokai. Namun, adalah penting untuk mengetahui tentang potensi bahaya alam sekitar, seperti kebakaran semak belukar, ombak besar dan haba gurun yang melampau. Anda mesti bersedia sepenuhnya untuk perjalanan ke pedalaman dan perjalanan berkelana dalam belukar atau pendakian yang panjang, dan ambil langkah berjaga-jaga terhadap ikan jerung, buaya dan haiwan beracun. Dengan petua mudah berikut, anda dengan selamatnya boleh menikmati landskap Australia yang unik – dari pedalaman yang meluas ke pantai laut yang liar dan belantara yang suci.

Keselamatan Peribadi

Australia mempunyai sistem politik yang stabil dan kadar jenayah yang rendah di dunia dan oleh itu rakyat Australia mempunyai gaya hidup yang selamat. Secara umumnya, Australia merupakan destinasi yang selamat dan para pelancong menikmati pengalaman perjalanan yang lancar dari aspek keselamatan peribadi dan sekuriti. Namun, seperti semua perjalanan di rumah atau di tempat lain, anda patut mematuhi langkah berjaga-jaga yang sama dengan keselamatan diri dan harta benda anda.

Perlindungan matahari

Sang suria Australia amatlah kuat. Selalu pakai kemeja, topi, kaca mata hitam dan krim pelindung matahari SPF 30+, walaupun pada hari yang mendung. Jika anda meluangkan sepanjang hari di luar, aplikasikan semula krim pelindung matahari. Elakkan matahari pada tengah hari apabila matahari paling terik. Pastikan anda minum banyak cecair untuk mengelakkan penyahhidratan.

Kebakaran semak belukar – kebakaran secara umumnya

Rakyat Australia hidup dengan risiko kebakaran semak belukar. Tempoh bahaya adalah dari hujung musim bunga ke musim panas. Semasa tempoh ini, amalkan langkah berjaga-jaga yang mudah. Sebelum memulakan perjalanan, maklumkan diri anda tentang risiko kebakaran semak belukar melalui laporan TV, radio dan surat khabar. Bila berkhemah, gunakan pendiang atau tempat api yang ditetapkan dan patuhi tanda amaran di jalan raya dan larangan api. Jika anda mesti memulakan api, selalu padamkan sepenuhnya dengan air.

Berenang antara bendera

Pantai Australia yang cantik mempunyai bahaya tersembunyi dalam bentuk arus kuat yang dipanggil rips. Elakkannya dengan selalu berenang antara bendera merah dan kuning – ia menandakan kawasan paling selamat untuk berenang di pantai. Penyelamat berpakaian seragam merah dan kuning biasanya meronda pantai semasa bulan Oktober hingga April yang lebih panas, tetapi sesetengah pantai yang terkenal dironda sepanjang tahun. Jangan berenang bersendirian, pada waktu malam, di bawah pengaruh alkohol atau sejurus selepas makan. Selalu semak kedalaman air sebelum menerjun ke dalamnya dan jangan lari dan terjun ke dalam air dari pantai.

Ikan jerung dan buaya

Serangan ikan jerung di Australia jarang berlaku, tetapi ini mungkin mengakibatkan kematian jika berlaku. Jaringan ikan jerung di pantai Australia menjauhkan ikan jerung, tetapi anda boleh mengurangkan lagi risiko anda dengan selalu berenang antara bendera di pantai yang dironda dan jangan berenang pada awal pagi atau lewat petang. Elakkan dari berenang bersendirian, jauh dari pantai, di mulut sungai atau dekat dengan kawasan terjun ke air yang lebih dalam.

Buaya tinggal di sungai dan muara pantai merentasi bahagian utara Australia, selalunya bertukar habitat melalui laut. Apabila menghampiri habitat buaya, patuhi tanda keselamatan dan jangan berenang dalam sungai, muara, sungai pasang surut, kolam dalam atau pantai bakau. Dapatkan nasihat pakar tentang buaya sebelum berkhemah, menangkap ikan atau keluar dengan bot.

Haiwan beracun – ular, labah-labah dan ubur-ubur

Ubur-ubur berada dalam air tropikal dari November ke April. Dalam tempoh ini, anda hanya boleh berenang dalam kawasan dengan halangan ubur-ubur, yang didirikan di pantai-pantai yang paling terkenal. Anda juga perlu memakai pakaian perlindungan semasa berenang, bersnorkel atau menyelam di bahagian luar Great Barrier Reef. Selalu perhatikan tanda amaran.

Semasa berkelana melalui belukar atau semasa mendaki, anda boleh mengelakkan gigitan labah-labah dan ular dengan memakai kasut perlindungan dan gunakan akal minda anda. Jika digigit, dapatkan perubatan dengan segera. Kematian dari gigitan ular amatlah jarang dan hanya terdapat beberapa kematian dari gigitan labah-labah sejak anti venom disediakan pada tahun 1981.

 

Mengembara di Australia terpencil

Memandu melalui kawasan berceranggah dan terpencil di Australia memerlukan persediaan yang rapi. Sebelum memulakan perjalanan dengan kenderaan pacuan empat roda atau ke pedalaman, pastikan kenderaan anda dalam keadaan yang baik dan lengkap dengan GPS dan dua tayar lebih. Anda juga memerlukan peta yang baik, makanan tambahan, air dan petrol serta rancangan kecemasan. Rancang perjalanan anda dengan teliti dan beritahu pihak ketiga tentang jangkaan waktu ketibaan anda. Semak keadaan jalan sebelum memulakan perjalanan, berada dalam kenderaan anda jika ia rosak dan elakkan perjalanan dalam keadaan panas yang melampau. Jika memandu kenderaan biasa melalui kawasan terpencil, pandu perlahan pada jalan tidak bermaterai, berhabuk atau sempit dan selalu semak keadaan jalan raya sebelum keluar dari jalan utama. Telefon bimbit mempunyai litupan yang terhad di kawasan terpencil, jadi semak dengan syarikat telefon anda untuk litupan mereka.

Jalan kaki di belukar atau daki di belantara

Semasa merancang perjalanan ke dalam belukar atau pendakian, semak jarak dan tahap kesukaran perjalanan dan guna pemandu tempatan untuk perjalanan yang panjang dan mencabar. Jika anda berjalan tanpa seorang pemandu pelancong, beritahu seseorang mana anda pergi dan bila anda akan balik. Pakai kasut perlindungan, topi, krim pelindung matahari dan penjauh serangga serta peralatan cuaca basah, peta togografi dan air yang banyak. Ketika berjalan, baca peta dan tanda, berada pada jejak yang sepatutnya, di belakang penghalang keselamatan dan jauhi dari tepi cenuram. Jangan beri makanan atau bermain dengan binatang liar, anda mungkin dicakar atau digigit. Rancang aktiviti berjalan kaki pada musim panas dengan berhati-hati dan elakkan pendakian yang mencabar apabila matahari terlalu terik.

Idea Australia selanjutnya